Kredit foto: BH Online

Sewaktu beraksi di pentas Konsert AF Megastar Homecoming, penyanyi Idayu tidak dapat menahan emosinya sehingga menitiskan air mata.

Konsert minggu pertama yang berlangsung semalam menyaksikan bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketiga itu muncul selepas sekian lama menghilangkan diri.

Menurut Idayu, dia berasa sebak kerana mendapat semula peluang menyanyi di atas pentas besar selepas sekian lama dipinggirkan.

Sebenarnya saya rasa persembahan saya agak teruk sedikit tadi kerana terganggu apabila tidak dapat menahan sebak lalu menangis. Saya rasa terharu sangat apabila dapat menyanyi di atas pentas yang besar dan dihadapan penonton yang ramai. Dah lama saya tidak beraksi di hadapan penonton yang ramai ia satu penghargaan buat saya.
Sumber: Astro Gempak

Penyanyi berusia 32 tahun itu yang mempertaruhkan lagu Hurt dendangan asal Christina Aguilera pada konsert sulung AF Megastar mendapat tepukan berdiri daripada penonton, malah pujian melambung daripada juri pertandingan.

Dalam pada itu, Idayu berkata, dia hadir semula bertanding kerana ingin meraih sokongan terhadap bakat yang selama ini diketepikan.

Saya harap persembahan saya kali ini dapat membuka mata juri dan penonton tentang bakat yang saya ada selama ini. Setiap kali naik atas pentas saya akan bertukar menjadi orang lain dan ia seolah-olah seperti dirasuk. Itulah sebab saya boleh fokus dalam persembahan saya.
Sumber: Astro Gempak

Kesemua 24 penyanyi minggu pertama dan kedua bakal diadili sebelum hanya 12 daripada mereka akan dipilih untuk menyertai persaingan Konsert Mingguan AF Megastar. Senarai 12 peserta yang layak akan diumumkan di penghujung konsert kedua minggu hadapan.

AF Megastar disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria pada jam 9 malam, setiap Ahad. Dihoskan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)