Burger adalah salah satu makanan Barat yang tersangat popular sehinggakan menjadi antara makanan ruji di Malaysia. Hari ini anda boleh melihat makanan ini dijual di merata-rata tempat termasuklah di tepi jalan dengan harga yang berpatutan.
Namun, sanggupkah anda membayar untuk makan burger dengan harga melebihi RM25,000?
Ya, ini adalah harga burger termahal di dunia setakat ini yang dihasilkan di Belanda dan dijual kepada syarikat konglomerat Remia yang berpangkalan di Belanda dengan harga RM24,718.
BESARKAN TEKS A- A+
Hasil penjualan disumbangkan kepada bank makanan tempatan.
Digelar sebagai "Golden Boy", burger ini adalah cetusan idea Robbert Jan de Veen, pemilik restoran Belanda iaitu De Daltons.
Dalam satu temu bual, Robbert Veen menyatakan bahawa dia ingin menawarkan bantuannya kepada mereka yang paling terjejas disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Sebelumnya, rekod burger termahal di dunia dihasilkan pada tahun 2011 oleh sebuah restoran di Oregon, Amerika Syarikat dan harganya dianggarkan sekitar RM21,000 dengan berat 352kg.
Ketika sedang melayari internet, Robbert terjumpa rekod burger termahal di dunia ini dan walaupun ia berasakan ini sebagai sesuatu yang sangat cool, Robbert memutuskan untuk menghasilkan burger yang lebih mahal daripada itu dan boleh dihabiskan oleh seorang individu sahaja.
"Sekiranya anda mempunyai rekod seperti itu, anda harus menghasilkan burger yang boleh dimakan oleh seseorang. Kerana itulah burger yang paling mahal di dunia," kata Robbert Veen.
Robbert menambah bahawa restoran-restoran pada ketika ini ditutup dan tiada persaingan makanan disebabkan oleh pandemik ini. Walaupun penjualan makanan bawa pulang restorannya masih beroperasi, namun Robbert berasa agak tertekan.
(Robbert Jan de Veen dan Golden Boy)
"Saya merasa sedih melihat penderitaan orang ramai dan keadaan industri restoran yang suram, jadi saya memutuskan untuk menghasilkan burger termahal di dunia dan menyumbangkan seluruh pendapatan dari penjualan burger ini kepada badan amal untuk diberikan kepada masyarakat," kata beliau.
Hasil daripada burger ini, kira-kira 1,000 bungkusan makanan telah dibeli dan diedarkan kepada mereka yang memerlukan.
Untuk menghasilkan resepi untuk Golden Boy ini, Robbert mengambil masa lebih dari 5 bulan dan ia melibatkan banyak eksperimen menggunakan pelbagai ramuan yang sangat mahal.
Malah, pada hari bersejarah di mana burger ini dijual, Robbert mengambil masa hampir 9 jam untuk menyediakan Golden Boy.
Burger termahal ini terdiri daripada roti yang dihasilkan dengan menggunakan champagne Dom Perignon dan disaluti dengan daun emas, daging wagyu Jepun, ketam raja Alaska, 100% Iberico Vintage Jamon Joselito Bellota dan truffle putih serta kaviar Beluga.
Kemudiannya, ia disaluti dengan sos yang diperbuat daripada Kopi Luwak dan wiski Rare Cask Maccalan, serta mayonis kucai saffron salai yang diperbuat dari telur itik.
Akhir sekali, burger ini melalui proses pengasapan menggunakan wiski untuk menambah rasa kepada burger termahal di dunia ini.
"Oleh kerana roti burger ini disaluti dengan daun emas, jari anda akan menjadi keemasan selepas anda menghabiskan hidangan ini," kata Robbert .
Penghormatan untuk memakan hidangan yang sangat enak dan termahal di dunia ini diberikan kepada Persatuan Makanan dan Minuman Diraja Belanda iaitu Rober Willemse.
Sebagai perbandingan dengan pemegang rekod burger termahal di dunia sebelum ini, Golden Boy tidaklah mempunyai saiz sebesar itu dan boleh dimakan dengan mudah menggunakan dua tangan sama seperti burger yang biasa kita makan.
Golden Boy pertama dijual pada 28 Jun 2021 dan Robbert sedang mencari calon untuk pembeli Golden Boy Kedua.
Jadi jika anda mahu menghabiskan RM24,718 untuk menikmati burger ini, anda perlu memesannya 2 minggu lebih awal dengan wang pendahuluan sebanyak RM3,150.
Rujukan:
1. Robbreport
3. CentralO