Oleh pada 31 Jul 2019 kategori

Di Malaysia, burger adalah makanan popular dan mudah didapati di mana sahaja. Ini kerana banyak gerai atau stall burger yang dibuka tidak kira sama ada di kawasan bandar, taman perumahan malah juga di kampung. Gerai-gerai menjual burger ini biasanya dibuka pada awal petang sehinggalah ke lewat pagi.

Apabila bercerita tentang burger, orang ramai sudah sedia maklum bahawa Ramly Burger adalah jenama burger paling terkenal di kalangan penggemar makanan ini dan juga peniaga burger itu sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kalau disebut nama Ramly bin Mokni, mungkin ramai yang tidak tahu siapakah gerangannya lelaki ini. Akan tetapi, jika disebut Ramly Burger pasti semua orang tahu. Tidak kiralah sama ada muda atau tua, boleh dikatakan semua pernah merasai produk keluaran Ramly Burger ini. Cuma kisah pengasasnya sahaja yang tidak diketahui ramai.

Beliau adalah seorang yang begitu merendah diri. Pernah dia pergi membeli burger di gerai yang menjual jenama syarikatnya itu, tetapi penjual burger itu tidak mengenali bahawa dia adalah pengasas dan pemilik Ramly Burger yang sebenar.

Biografi ringkas pengasas Ramly Burger

dato ramly mokni dan isteri

Dato' Hj. Ramly Mokni dan Datin Hjh Shala Siah Abdul Manap. Credit : www.ramly.com.my

Pengasas dan pemilik Kumpulan Ramly, Dato' Haji Ramly bin Mokni, 64, adalah anak kepada petani yang dilahirkan di Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak. Beliau merupakan anak ke-8 daripada 16 orang adik beradik.

Disebabkan kehidupan yang susah di kampung, Dato' Haji Ramly telah dibawa oleh salah seorang abangnya untuk berhijrah ke Sekinchan, Selangor dan dia mula bekerja di sana sebagai seorang buruh. Kemudian, beliau mendapat kerja sebagai pemotong daging di Kuala Lumpur.

Sejak kecil, Dato' Haji Ramly bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Namun, dia tidak dapat meneruskan impiannya kerana ibu bapanya tidak mampu untuk menanggung pengajiannya dan akhirnya beliau 'terjebak' secara serius dalam bidang pemprosesan daging. 

raja burger ramly mokni

Credit : orangperak

Pada mulanya, beliau hanya menjalankan peniagaan secara kecil-kecilan di rumahnya di Flat Jalan Haji Hussien, Kampung Baru, bersama isterinya iaitu Datin Shala Siah binti Abdul Manap setelah setahun mereka mendirikan rumah tangga.

Keputusan itu diambil pada 1978 ketika negara sedang kecoh dengan isu halal haram berkenaan daging burger yang diproses untuk kebanyakan pasar raya, sebahagian besarnya milik orang bukan Islam yang diragui statusnya.

Berani dan bijak mengambil peluang

sejarah pengasas ramly burger

Dengan hanya berbekalkan modal RM2,000 tanpa sebarang mesin atau peralatan untuk membuat daging burger, beliau dan isteri berjaya menghasilkan kepingan daging burger sendiri. 

Beliau membuka gerai burger dan mula menjual daging burger mentah dan siap dimasak di sekitar Kampung Baru, Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut. 

ramly burger halal kiosk

Pada awalnya, perniagaan mereka kurang mendapat sambutan kerana masyarakat Malaysia pada waktu itu tidah begitu gemar atau mengenali burger. Berkat kesabaran dan kecekalan Dato' Haji Ramly dan isteri, jualan mereka semakin bertambah dari 200 keping sehingga 2,000 ke 3,000 keping sehari.

Kemudian pada tahun 1980, mereka mula membuka sebuah syarikat. Setelah empat tahun beroperasi, mereka kemudian berjaya membuka sebuah kilang di Bandar Tun Razak yang dapat menghasilkan kira-kira 10,000 keping burger mentah sehari.

Tidak mudah berputus asa

burger daging ramly

Cabaran terbesar mereka ketika mula membangun adalah apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan beberapa buah bank tidak yakin dengan produk yang ditonjolkan dan menolak permohonan pinjaman mereka dengan alasan orang Malaysia tidak begitu meminati burger. 

Walau bagaimanapun, usaha beliau berhasil apabila Bank Pembangunan dan Bank Malaysia Berhad telah bersetuju untuk meluluskan pinjaman kepada syarikatnya untuk memajukan lagi perniagaan.

Selepas itu, timbul pula fitnah burger keluaran syarikatnya tidak halal kerana mengandungi DNA babi sehingga menyebabkan Dato' Haji Ramly membuat laporan polis.

surat penafian produk ramly burger mengandungi dna babi

Dalam surat terbuka yang dikeluarkan pada Disember 2011, beliau mendakwa ia adalah satu fitnah untuk mensabotaj syarikatnya yang dimiliki 100% oleh keluarganya yang beragama Islam dengan 1,000 kakitangannya juga yang semua beragama Islam.

Ada juga segelintir pihak yang menaburkan fitnah bahawa beliau telah menjual perniagaannya kepada orang lain. Semua itu dihadapi oleh Dato' Haji Ramly dengan sabar dan tabah.

Usaha membuahkan hasil

ramly food marketing hq

Ramly Food Marketing HQ. Credit : ramly.com.my

Bermula dengan sebuah syarikat kecil, perniagaannya berkembang dari masa ke semasa. Syarikat utama Dato' Haji Ramly Mokni kini dikenali sebagai Ramly Mokni Holdings Berhad. Anak-anak syarikatnya pula adalah seperti Ramly Food Processing Sdn. Bhd, Ramly Mokni Marketing Sdn. Bhd dan banyak lagi.

Kemudian, Dato' Haji Ramly berjaya memperluaskan perniagaan ke tahap komersial apabila membuka pula Ramly Supermart Sdn. Bhd, Ramly Mokni Bakery Sdn. Bhd.

Syarikatnya juga telah dianugerahkan pengiktirafan sebanyak tiga kali oleh Bank Pembangunan seperti Anugerah Projek Terbaik (1982), Anugerah Pembangunan Pelanggan (1984) dan Anugerah Usahajan Jaya (1992) kerana prestasinya yang cemerlang.

kilang pemprosesan ramly burger

Kini, syarikatnya sedang giat dalam rancangan untuk menyiapkan kilang pemprosesan bernilai RM 1 billion di Taman Perindustrian Halal Had di Pulau Indah, Klang, Selangor, yang berkeluasan 8 ekar.

Dato' Haji Ramly Mokni ingin meningkatkan jualan tahunan Ramly Burger yang mencecah RM 1 billion setahun kepada RM 2 billion setahun. Selain itu, beliau juga ingin meningkatkan jumlah pengeluaran daging yang diproses setiap hari.

Rujukan:

1. Selangor Kini

2. iLabur

3. Ramly.com.my

4. Usahawan




Hakcipta iluminasi.com (2017)