Penyanyi Hafiz Hamidun tidak akan berhenti memberikan pendapat dan nasihat di laman sosial walaupun sejarah perkahwinannya sering diungkit netizen.
Kata Hafiz, dia berhak menyuarakan maklum balas dengan niat yang baik sebagai peringatan, sebagaimana pelayar lain yang bebas membuat perkongsian serta meninggalkan komen di laman itu.
"Apa kaitan antara isu perkahwinan saya yang sudah berlalu, dengan niat baik saya mahu menyuntik kesedaran kepada masyarakat supaya jangan memandang ringan terhadap dorongan membunuh diri?
"Teguran itu saya kongsi untuk memberi peringatan, jangan jadikan isu serius terutama bunuh diri sebagai sesuatu yang boleh menjadi gurauan. Banyak lagi perkara lain yang boleh dijadikan bahan lawak.
"Ada juga yang menyelar saya kerana menegur rakan artis itu secara terbuka, bukannya melalui mesej peribadi. Gurauan itu dilakukan secara terbuka, jadi saya perlu meluahkan teguran saya juga dengan cara sama supaya mesej itu sampai kepada semua orang," luah penyanyi lagu ketuhanan ini.
Namun dalam masa sama, Hafiz memberitahu nasihat yang dilayangkannya juga ditujukan buat peringatan kepada dirinya sendiri.
"Lagipun, semuanya berbalik kepada niat, selain pada masa sama ia turut menjadi peringatan kepada saya supaya fikir dulu sebelum membalas komen yang boleh memudaratkan insan lain," katanya.
Terdahulu, kelantangan aktres Fathia Latiff meninggalkan komen berbaur provokasi kepada Iqram Dinzly dalam video Instagram Secara Langsung, menarik perhatian Hafiz untuk bersuara.
"Bunuh diri tu haram. Tapi kalau suruh orang bunuh diri tu, (kalau bergurau sekali pun) memang tak lawak dan tak guna punya pemikiran," tulis Hafiz di Twitter.
Bagaimanapun Fathia tampil dengan permohonan maaf secara terbuka dan mendakwa komennya telah disalahertikan.
Kredit foto: Instagram Hafiz Hamidun
Sumber berita: BH Online