Manusia biasanya akan menangis dengan mengelurkan air mata sebagai satu ekspresi apabila terlalu sedih, marah ataupun gembira. Ianya adalah tindakan semulajadi kita sejak dilahirkan dan tidak ada apa yang perlu dimalukan.
Namun, terdapat sebilangan kecil manusia juga menangis sama seperti kita namun mereka tidak mengeluarkan air mata berwarna jernih, sebaliknya yang keluar dari mata mereka adalah darah. Lebih menghairankan, beberapa keadaan pelik ini direkodkan oleh beberapa individu yang berasal dari negeri Tennessee di Amerika Syarikat.
BESARKAN TEKS A- A+
Ia masih dianggap sebagai misteri dalam bidang perubatan, keadaan yang jarang berlaku yang menyebabkan seseorang mengeluarkan darah dari mata tanpa penjelasan. Ahli profesional perubatan menggelarkan keadaan ini dengan nama "haemolacria".
Apa itu Haemolacria?
Haemolacria adalah keadaan fizikal yang menyebabkan seseorang mengeluarkan air mata yang sebahagiannya terdiri daripada darah. Air mata yang keluar ini boleh kelihatan sedikit kemerah-merahan sehinggalah warna merah pekat seolah-olah ianya darah yang mengalir.
Haemolacria adalah gejala bagi sejumlah penyakit dan mungkin juga menunjukkan adanya ketumbuhan pada kalenjar lakrimal, iaitu tempat keluarnya air mata. Ia sering terjadi oleh faktor seperti bakteria konjungtivitis, kerosakan persekitaran atau kecederaan. Hemolacria akut boleh terjadi pada wanita yang subur dan mungkin disebabkan oleh hormon, sama seperti yang berlaku pada endometriosis.
Salah seorang individu yang memiliki keadaan unik ini adalah Michael Spann, 22 tahun yang tinggal di Antioch, Tennessee mengatakan bahawa dia kerap mendapat sakit kepala umpama kepalanya diketuk dengan tukul dan diiringi dengan air mata berdarah yang keluar dari matanya. Menurutnya lagi, keadaan ini biasanya berlaku kira-kira satu hingga dua kali seminggu.
Para doktor bingung mengenai penyebab keadaan tersebut dan juga mengapa ia berlaku terutamanya kepada penduduk Tennessee. Calvino Inman, juga menderita haemolacria, berkata, “Kadang-kadang, saya dapat merasakannya muncul seperti air mata. Saya rasa mata saya berair. Kadang-kadang, saya akan merasa kesakitan pada mata ketika ianya keluar".
Masih belum dapat dirungkai
Fenomena haemolacria telah membingungkan doktor selama berabad-abad lamanya. Pada abad ke-16, doktor Itali Antonio Brassavola telah mencatatkan penemuan terjadap seorang biarawati yang bukannya haid, akan mengeluarkan titisan darah dari mata dan telinganya setiap bulan.
Pada tahun 1581, doktor Flemish Rembert Dodoens memeriksa seorang gadis berusia 16 tahun yang mengeluarkan air dari matanya sebagai titisan air mata berdarah, bukannya melalui rahim," menurut laporan 2011 dalam jurnal The Ocular Surface.
Dalam tinjauan perubatan tahun 2004 yang dikarang bersama oleh Dr. Barrett G. Haik dari Institut Mata Hamilton University of Tennessee, ia digambarkan sebagai "air mata berdarah", suatu keadaan yang sering membingungkan kebanyakan doktor. Beliau kemudian menyimpulkan bahawa kes biasanya diselesaikan tanpa rawatan.
Tetapi sebahagian doktor yang lain mengatakan bahawa perubahan hormon sebagai penyebabnya, terutama yang berlaku pada wanita. Kajian tahun 1995 terhadap 125 subjek yang sihat mendapati bahawa "Menstruasi menyumbang kepada hemolacria atau sedikit darah yang wujud dalam titisan air mata".
Kajian ini turut melaporkan penemuannya bahawa "18 peratus wanita subur memiliki sedikit darah dalam air mata mereka, sementara hanya 7 peratus wanita hamil, 8 peratus lelaki, dan tidak ada wanita pasca-menopaus yang menunjukkan tanda-tanda air mata berdarah".
Kebanyakan kes berlaku di Teneessee
Walau bagaimanapun, setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang dapat membuat penjelasan mengapa kebanyakan kes yang berkaitan dengan haemolacria berasal dari Tennessee.
Namun, satu kes yang tidak melibatkan individu bukan dari Tennessee iaitu seorang wanita Chile berusia 20 tahun bernama Yaritza Oliva, yang pada bulan Jun 2013 dilaporkan mula mengeluarkan darah dari matanya.
Dia diberi ubat titis khas pada mata untuk meredakan kesakitan yang terjadi apabila pendarahan itu kerana keluarganya tidak mampu untuk mendpatkan khidmat pakar untuk mendiagnosis keadaannya.
Walaupun kajian mengenai hemolacria sudah ada dari tahun 1970-an, hanya sedikit yang diketahui mengenai keadaan fizikal yang jarang berlaku ini atau apa yang menyebabkannya. Peningkatan kes-kes yang jarang berlaku ini telah mendorong minat baru para profesional perubatan yang berharap dapat mencari penyebab dan penawarnya.
Kredit: