Filem-filem seperti Hachi: A Dog's Tale atau The Notebook pasti pernah membuatkan anda menangis sekurang-kurangnya sekali. Namun, ramai orang mempunyai persepsi bahawa menangis ketika menonton filem adalah petanda bahawa seseorang itu lemah.
Namun, tanggapan itu adalah salah sama sekali!
Seorang ahli neuroekonomi di Claremont Graduate University, Paul Zak, telah menjalankan satu kajian di mana beliau menegaskan bahawa mereka yang menangis semasa menonton filem adalah lebih mempunyai sifat empati di mana mereka tahu bagaimana untuk menangani emosi dengan lebih baik dan lebih kuat apabila berhadapan dengan cabaran harian.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan apa sebenarnya yang berlaku ketika seseorang menangis ketika menonton filem dan mengapa ia membuatkan mereka lebih kuat.
1. Peranan Oxytocin
Menurut Paul Zak, secara kognitif, walaupun mereka tahu bahawa filem itu tidak benar dan cerita yang mereka lihat di skrin adalah fiksyen, ia masih tidak dapat dielakkan bahawa mereka akan menangis apabila melihat babak-babak yang sangat emosional.
Dalam hal ini, oxytocin adalah hormon yang memainkan peranan.
Hormon ini berfungsi sebagai penghantar neuro dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang kita rasakan ketika menonton adegan-adegan menyentuh hati.
Kita secara automatik akan menghubungkan satu kisah dengan satu perasaan dan kemudiannya, kepada satu tindakan positif. Jadi, hormon ini menjadikan kita lebih empati dan membuatkan kita mempunyai sikap yang lebih terbuka terhadap dunia.
Selain itu, oxytocin juga menjadikan kita berasa lebih gembira dan bahagia.
2. Mereka tak takut untuk meluahkan emosi
Sebenarnya, individu yang tidak berasa malu untuk menangis ketika menonton filem adalah lebih kuat dari segi mental berbanding mereka yang cuba untuk menyembunyikan perasaan sedih.
Individu yang menangis tidak takut dihakimi atau dikritik orang lain. Menurut Paul Zak, hal ini juga disebabkan oleh kesan oxytocin.
Dengan mempunyai rasa empati terhadap orang-orang di sekeliling mereka, manusia tidak takut untuk menyuarakan pendapat atau pendirian mereka.
3. Kuasa yang dimiliki air mata
Kajian yang dilakukan juga menunjukkan bahawa mereka yang menangis ketika menonton babak sedih mengetahui kuasa penyembuhan yang dimiliki oleh air mata.
Menangis membuatkan kita berhubung dengan orang lain, kita belajar untuk melihat bahawa terdapat keadaan yang boleh memberi kesan positif dan negatif kepada persekitaran kita dan kita sebenarnya terdedah kepadanya.
4. Mereka tak lari daripada emosi
Antara sebab mengapa individu menangis kerana babak sedih juga disebabkan oleh mereka mengganggap bahawa adalah penting untuk mengekalkan perspektif tertentu terhadap apa yang berlaku terhadap kita dan kadang-kala adalah penting untuk kita menangis.
Dengan melakukan hal ini, ia membolehkan mereka mencapai kestabilan emosi yang lebih tinggi berbanding mereka yang menyembunyikan perasaan.
5. Mereka tak kisah tentang peranan atau jangkaan terhadap sesuatu jantina
Kita semua pernah dengar pepatah orang putih iaitu "Big boys don't cry".
Kebanyakan kanak-kanak lelaki di usia yang muda diajar bahawa menangis di khalayak ramai akan membuatkan mereka kelihatan lemah.
Walaubagaimanapun, ia sebenarnya hanyalah batasan yang tidak masuk akal. Kanak-kanak perempuan atau lelaki tidak mempunyai perbezaan jika mereka menangis ketika kecil.
Ia adalah tindakbalas manusia yang tidak mempunyai kaitan dengan jantina tertentu dan hal ini diketahui oleh mereka yang tidak takut untuk menangis di hadapan orang.
Mereka tidak takut dihakimi oleh orang-orang yang percaya bahawa menangis adalah sifat wanita.
6. Mereka menikmati hidup dengan sepenuhnya
Oxytocin berkait dengan kepercayaan di antara manusia.
Mereka yang mempunyai lebih banyak kepercayaan terhadap orang lain biasanya mempunyai tahap penghantaran neuro yang tinggi di dalam tubuh mereka dan sering menjalin hubungan yang lebih bermakna.
Mereka mengakui nilai tentang menghargai orang yang berada di sekeliling mereka.
Mereka juga hidup dengan lebih sempurna berbanding mereka yang mempunyai masalah kepercayaan dan berasa tertekan terhadap hubungan yang dibina dengan orang lain.
Rujukan:
1. Sunnyskyz
2. Elite Daily