Sekiranya anda seorang penggemar aktiviti ekstrim seperti mendaki gunung, mendaki Gunung Everest mungkin termasuk dalam senarai tempat pendakian yang ingin didaki sekurang-kurangnya satu kali seumur hidup. Bagi kebanyakan pendaki, dapat sampai ke Base Camp juga sudah cukup mengujakan dan merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan.
Sekiranya anda tidak tahu, Base Camp merupakan antara kawasan tumpuan utama bagi pendaki yang ingin mendaki Gunung Everest. Sekiranya anda ingin mendaki ke puncak Gunung Everest daripada arah selatan, kawasan Base Camp di arah selatan terletak di Nepal pada ketinggian 5364 meter manakala bagi pendaki yang mendaki daripada arah utara, kawasan Base Camp utara pula terdapat di Tibet pada ketinggian 5150 meter.
BESARKAN TEKS A- A+
Kawasan Base ini adalah kawasan paling selamat di Gunung Everest. Di sinilah mereka boleh membeli barang-barang kelengkapan untuk mendaki sebelum memulakan pendakian. Base Camp juga biasanya menjadi tempat berkumpul sebelum dan selepas ekspedisi pendakian itu dilakukan.
Purata seorang pendaki mati setiap tahun
Mendaki Gunung Everest bukanlah untuk seorang yang lemah fizikal dan semangat. Cuaca yang sejuk merupakan cabaran yang utama. Selain itu, setiap pendaki juga mempunyai risiko untuk dihempap runtuhan salji yang dikenali sebagai avalanche. Berikut adalah video kejadian avalanche yang pernah direkodkan di Gunung Everest.
Bermula daripada Base Camp, para pendaki biasanya akan memilih untuk berhenti di beberapa kem berikut sebelum sampai ke puncak Gunung Everest yang berada pada ketinggian 8848 meter:
- Camp I - 6035 meter
- Camp II - 6474 meter
- Camp III - 7158 meter
- Camp IV - 7906 meter
Berikut merupakan lakaran grafik graf kematian yang dicatatkan di Base Camp, Camp I, Camp II, Camp III, Camp IV dan puncak Gunung Everest. Graf ini telah dihasilkan oleh akhbar BBC dengan berpandukan data yang diperolehi daripada tahun 1920 hingga tahun 2015 mengambil kira jumlah kematian pendaki dan juga Sherpa, iaitu pemandu arah yang biasanya orang tempatan.
Pada tahun 2015, satu gempa bumi yang melanda Nepal pada magnitud 7.8 telah menghasilkan avalanche besar yang mengorbankan 21 orang. Ini merupakan rekod tertinggi kematian yang pernah dicatatkan dalam sehari. Akibat daripada avalanche ini, sekumpulan pihak penyelamat telah melakukan usaha menyelamat kira-kira 100 orang pendaki yang terperangkap di Camp I dan Camp II.
Mayat popular "Green Boots"
Bagi pendaki yang menemui ajal di Gunung Everest, mayat mereka biasanya tidak akan dibawa turun untuk dikebumikan kerana kesukaran untuk membawa mayat tersebut turun ke bawah. Dalam kebanyakan kes, mayat mereka dibiarkan sahaja di atas lapisan salji kerana kesukaran untuk menggali lapisan salji yang tebal.
Gambar di bawah bukanlah seorang pendaki yang sedang tidur sebaliknya merupakan seorang mayat lelaki yang lengkap berpakaian bernama Tsewang Paljor. Mayat ini juga digelar "Green Boots" kerana kasut hijau yang dipakainya dan dipercayai telah berada disitu kira-kira 20 tahun.
"Green Boots" sangat popular di kalangan pendaki dan ianya menjadi penanda aras dan jarak bagi para pendaki. Selain itu, kawasan mayat ini juga biasanya dijadikan tempat berehat bagi para pendaki sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Everest ataupun apabila turun ke Base Camp.
Antara mayat yang dikatakan paling lama di Gunung Everest adalah George Mallory yang dipercayai sudah berada di situ semenjak tahun 1924 lagi, kira-kira 30 tahun sebelum manusia yang didakwa yang pertama sampai ke puncak Gunung Everest, Edmund Hillary. Mayatnya hanya ditemui pada tahun 1999, 70 tahun selepas beliau melakukan pendakian. Terdapat juga teori mengatakan bahawa George Mallory mungkin orang pertama yang sampai ke puncak Gunung Everest.
Rakyat Malaysia yang sudah sampai ke puncak Gunung Everest
Mengikut rekod, Datuk M. Magendran adalah rakyat pertama dari Malaysia yang berjaya sampai ke puncak Gunung Everest. Rekod bersejarah ini dicatatkan pada tahun 23 May 1997.
Sehingga kini, dikatakan terdapat kira-kira 200 orang mayat yang sudah berada di Gunung Everest. Jumlah yang banyak ini sahaja sudah cukup menggambarkan betapa bahayanya pendakian ke Gunung Everest ini. Walau bagaimanapun, ianya tidak menghalang ramai pendaki dari seluruh dunia untuk menawan puncak gunung tertinggi di dunia ini setiap tahun.
Kredit: