Oleh pada 22 Oct 2019 kategori

Beberapa minggu lepas, aku bertemu beberapa orang kawan di New York dan berjanji untuk bertemu di sebuah restoran, yang ditempah menggunakan aplikasi 'Seated.' Melalui aplikasi itu, sebarang tempahan akan diberikan ganjaran yang agak lumayan nilainya - bagi kami ketika itu, selepas pesanan dibuat kami diberikan mata ganjaran bernilai $30 yang boleh digunakan di banyak kedai atau jenama lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Aku tiada masalah dengan sistem ganjaran seperti itu, namun tidakkah layak dikatakan ganjarannya terlalu pemurah? Memberikan orang lain ganjaran hanya semata-mata kita ke restoran tidak berbunyi seperti satu bentuk perniagaan sebenar. Bunyinya lebih mirip kepada satu plot bagaimana nak menabur duit sebanyak dan secepat mungkin.

Aku tanyakan pada kawan aku - apa logik disebalik semua ganjaran ini? Kenapa kita diberikan ganjaran hanya kerana kita menggunakan aplikasi itu? Yang lebih mengelirukan - berapa lama semua ini, khasnya model perniagaan seperti ini mampu bertahan?

Mereka sedang menabur duit untuk pelanggan secara percuma kan?

Tren start-up meletup dengan janji palsu

membeli belah zaman moden

Sekitar satu dekad lalu, beberapa syarikat berstatus 'pemula' atau 'start-up' bangkit, menjanjikan kepada kita perubahan kepada bagaimana kita bekerja, beriadah, makan, membeli belah, memasak, memandu, berjalan dan ada juga yang berjanji mengubah bagaimana kita tidur.

Perubahan yang dijanjikan menjadi sangat berpengaruh sehinggakan muncul 'start-up' baru bak cendawan lepas hujan yang menjadikan agenda perubahan corak hidup ini sebagai acuan perniagaan, menyebabkan lambakan syarikat start-up di Silicon Valley yang mahu 'meng-Uber kan kehidupan.'

Malangnya, jalan ceritanya sama. Janji melampau, tetapi keuntungan perniagaan mereka tidak kelihatan. Tidak diketahui kenapa syarikat-syarikat start-up ini merasakan mereka mampu menunggang fantasi menjanjikan sesuatu yang tinggi kosnya dengan meminimakan kos operasi syarikat.

Majoriti syarikat start-up yang masih beroperasi di Amerika Syarikat seperti Uber, WeWork, DoorDash, Lyft dan sebagainya dilaporkan akan menanggung kerugian lebih $14 billion tahun ini sahaja. Banyak syarikat start-up yang ada juga walaupun sudah beroperasi beberapa tahun, tidak pernah sekalipun mencatatkan keuntungan. Nilai syarikat mereka juga didapati jatuh sehingga 50 peratus.

penghujung kehidupan millenial 602

Kenapa ini berlaku? Ini kerana kebanyakan syarikat start-up cuba memaksimakan pertumbuhan pengguna dengan merendahkan harga seterusnya memberikan subsidi pada pengguna mereka. Dengan setiap penggunaan Uber misalnya, pengguna mendapat harga yang tak masuk akal tanpa perlu memikirkan kesannya pada syarikat itu sendiri. Inilah apa yang ditermakan sebagai 'Subsidi Hidup Generasi Milenial.'

Berikutan situasi ini, kebanyakan pendana yang sebelum ini menyokong penuh idea syarikat start-up mula berubah pandangan, kesan akibat ketiadaan keuntungan serta kos yang tinggi dikeluarkan hanya untuk mengekalkan 'corak gaya hidup' yang dijaja pada pelanggan.

Semakin banyak pihak pemegang kapital serta pengasas syarikat start-up mula kembali kepada ideologi lama - keuntungan sangat penting. Atas sebab itulah pengguna-pengguna aplikasi 'corak hidup moden' ini perlu bersedia dengan kenaikan harga yang diramalkan akan berlaku mendadak.

Betulkah syarikat start-up tak terima untung?

lyft rai ipo syarikat

Memang sukar untuk menerima realiti bahawa syarikat start-up lebih banyak mengeluarkan duit daripada menerimanya. Ini kerana tidak ramai sedar bahawa tawaran dan ganjaran yang ditawarkan mereka, sebenarnya tidak berpadanan dengan harga yang kita bayar. Terlalu rendah!

Sebagai contoh - sebuah syarikat start-up menawarkan langganan pembekalan kepada pelanggan mereka bahan-bahan masakan, siap dengan video cara memasaknya dengan harga $100 sebulan untuk empat kali penghantaran. Murah kan? Jadi pelanggan menggunakan perkhidmatan itu selama 3 ke 4 bulan, sebelum merasa yakin mereka boleh melakukannya sendiri.

Jadi pada bulan kelima, pelanggan membatalkan langganan itu. Ini bermakna nilai yang telah pelanggan itu keluarkan pada syarikat itu adalah $400 untuk empat bulan. Ini bermakna syarikat tersebut perlu menggantikan pelanggan yang telah berhenti dengan pelanggan baru bukan?

Untuk mendapatkan pelanggan baru, kosnya sudah pastilah tinggi. Katakanlah untuk mendapatkan 100 orang pelanggan baru, syarikat itu perlu membelanjakan $50,000 untuk tujuan pengiklanan. Jadi secara purata mereka perlu mengeluarkan $500 seorang hanya untuk menggantikan seorang pelanggan, yang berbelanja hanya $400 pada syarikat tersebut.

Fantasi hidup senang dan belanja rendah

generasi millenial malaysia

Inilah yang berlaku pada salah sebuah start-up di Amerika Syarikat bernama 'Blue Apron.' Secara puratanya menurut Blue Apron, kos bayaran yang mereka terima untuk setiap seorang pelanggan hanya $460 sementara kos untuk mendapatkan seorang pelanggan baru adalah $400.

Dari luar, Blue Apron kelihatan seperti sebuah syarikat yang gah namun sekiranya diteliti dengan betul, model perniagaan mereka sebenarnya adalah sistem duo-subsidi di mana mereka akan mensubsidikan harga makanan dalam usaha untuk mengekalkan harga yang murah dan yang kedua, mensubsidikan pihak pengiklanan walaupun pulangan pengiklanan pada mereka tidak menepati sasaran jumlah pelanggan yang diharapkan.

Disebabkan model perniagaan itu, tidak lama selepas di-IPO-kan, nilai syarikat tersebut jatuh 95 peratus daripada harga bukaan asal.

Kisah sama turut berulang pada banyak syarikat start-up lain. WeWork yang menyediakan sewaan pejabat secara mudah rugi $1 billion setahun. Lyft dan Uber yang merevolusikan industri sewa kereta bakal kerugian $8 billion tahun ini, kerana kedua-dua syarikat lebih banyak membelanjakan dana untuk menarik minat pelanggan baru melalui potongan diskaun, promosi serta kredit percuma pada pengguna.

Diramalkan beberapa tahun akan datang, sistem subsidi yang dirajai syarikat start-up selama lebih sedekad ini akan kembali terhempas ke bumi. Harga akan perlu dinaikkan. Generasi milenial yang selama ini hidup mewah atas bantuan subsidi aplikasi-aplikasi yang menawarkan pelbagai ganjaran, perlu belajar bahawa setiap perkara ada harga yang patut ditetapkan.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel The Millennial Urban Lifestyle Is About to Get More Expensive terbitan The Atlantic pada 15 Oktober 2019.




Hakcipta iluminasi.com (2017)