Setiap dekad, pasti ada saja wabak yang melanda dunia mengorbankan ribuan nyawa dan kita; walaupun mempunyai kepakaran teknologi, seakan gagal membendungnya.
Kemajuan yang pesat dari segi teknologi membantu mengubah cara hidup manusia hidup, membolehkan kita bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan sistem pengangkutan moden dalam masa singkat - dalam perspektif lain, kemajuan itu turut sama menyumbang kepada penyebaran wabak yang berlaku dengan lebih pantas.
BESARKAN TEKS A- A+
Penyebaran wabak khasnya wabak Covid-19 yang belum ada penawarnya, telahpun menggugat malah menjahanamkan banyak industri dunia tanpa kita sedari berikutan kesannya yang luas. Industri manakah yang paling teruk terjejas dengan penyebaran pandemik terbaru dunia ini?Industri pelancongan menjadi mangsa utama
Industri pelancongan berhadapan kemerosotan
Di antara semua industri yang terjejas, industri pelanconganlah yang menjadi mangsa nombor satu penyebaran wabak Covid-19. Ini kerana dengan wujudnya pengenalan larangan kemasukan pelancong dari luar ke negara-negara tertentu serta larangan rakyat mengunjungi negara lain, aktiviti pelancongan pasti menerima kesan buruk yang sehingga kini belum nampak penghujungnya.
China sudah pastilah yang paling terjejas, diikuti oleh negara-negara yang melaporkan kes-kes Covid-19 terbanyak, termasuklah negara kita. Selain daripada mengurangkan kemasukan matawang luar ke dalam negara tarikan pelancong, pengendali syarikat penerbangan dan perkapalan mengalami kemerosotan perniagaan - disebabkan oleh kekurangan penumpang apabila banyak negara menghalang rakyat mereka keluar negara, seperti di China dan Itali.
International Air Transport Association atau IATA meramalkan jumlah kerugian yang bakal ditanggung secara keseluruhan oleh semua syarikat penerbangan, disebabkan Covid-19 adalah sekitar RM270 billion, dengan kerugian terbesar bakal melibatkan syarikat penerbangan di Asia.
Bagaimana wabak mengubah budaya kerja masyarakat dunia
Berikutan daripada penyebaran wabak Covid-19 yang semakin tidak terkawal, banyak syarikat terpaksa memperkenalkan sistem bekerja dari rumah - dalam memastikan kelangsungan perjalanan syarikat tidak terganggu dan tahap kesihatan pekerja pula tidak diabaikan.
Dua kilang di Pulau Pinang yang dikatakan terdedah kepada jangkitan wabak ditutup dan semua pekerja diberikan arahan untuk bekerja dari rumah, sementara kilang tersebut dibersihkan dan diperiksa tahap kesihatannya.
Syarikat-syarikat gergasi juga terpaksa mengambil pendekatan serupa, dengan Twitter yang mempunyai pejabat di seluruh dunia mengeluarkan arahan agar semua pekerja mereka mula bekerja di rumah secara mandatori. Ini selepas arahan agar pekerja syarikat tersebut yang berpusat di Hong Kong, Jepun dan Korea Selatan mula bekerja di rumah sejak 2 Mac 2020.
Banyak pihak menyarankan agar majikan-majikan di seluruh dunia mempersiapkan syarikat dan pekerja mereka dengan polisi serta etika yang perlu dipatuhi, akibat daripada perubahan ini. Oleh kerana tidak ada siapa mampu menjangka berapa lama situasi ini bakal berlanjutan, besar kemungkinan 2020 bakal memperlihatkan kepada kita adakah benar produktiviti sektor-sektor industri dapat kekal pada tahap optimum - seandainya pekerja bekerja bukan di pejabat.
Kesan besar pada industri minyak
Bagi negara seperti kita yang bergantung dengan ekonomi berasaskan petroliam, penyusutan harga minyak sudah pastilah akan memberikan kesan buruk yang besar pada tahap kemampuan negara kita bersaing.
Seandainya permintaan terhadap minyak jet daripada industri penerbangan menurun, secara tak langsung negara-negara pengeksport minyak akan kehilangan sumber pendapatan.
Kesatuan negara pengeluar minyak OPEC pada 5 Mac 2020 mengambil keputusan mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 1.5 juta tong sehari, bagi menstabilkan harga yang kian menjunam akibat kekurangan permintaan.
Statistik menunjukkan kadar penurunan harga minyak mentah dalam tempoh setahun ini daripada Mac tahun 2019 sehingga Mac 2020, adalah pada kadar dua ganda. Pada 2019, harga minyak berlegar sekitar $65 dollar satu tong. Bermula daripada 11 Januari 2020 sehingga artikel ini ditulis, harga minyak mula turun sebelum perbincangan antara negara OPEC pada 9 Mac 2020, gagal menemui kata sepakat.
Ini menyebabkan harga minyak turun mendadak dari $50 dollar lebih setong purata pada 9 Mac, kepada $35 dollar satu tong dalam tempoh tak sampai lima hari.
Dari satu aspek, kita akan dapat petrol lebih murah namun dalam satu aspek lain, negara akan kehilangan hasil yang nampaknya perlu ditampung dengan perubahan atau pengenalan sistem percukaian baru - bagi menggantikan sumber yang terkesan disebabkan wabak ini.
Apa nasib anda?
Bagi mereka yang tidak terlibat dengan industri-industri yang terjejas teruk akibat penularan wabak ini, anda boleh menarik nafas lega. Namun bagi pekerja-pekerja khasnya pekerja syarikat penerbangan, carigali minyak, perhotelan, jualan, penternakan dan beberapa industri lain - pasti situasi ini menimbulkan bimbang pada anda.
Banyak majikan yang terjejas teruk terpaksa mengambil langkah melakukan tindakan drastik. Malindo Air misalnya, dilaporkan mengarahkan agar pekerja bercuti selama 2 minggu tanpa gaji disebabkan oleh kurangnya permintaan terhadap penerbangan syarikat tersebut.
Syarikat Malaysia Airlines (MAS) juga terpaksa melaksanakan langkah serupa yang lebih drastik, mengarahkan agar 13 ribu pekerja mereka memilih skim pemotongan kos operasi - dalam usaha mengurangkan kerugian yang ditanggung. Ini disebabkan oleh pembatalan lebih 2,000 penerbangan yang telahpun dijadualkan dari bulan Mac sehingga bulan April akibat kebimbangan penumpang terhadap masalah wabak ini.
Beberapa tindakan pemotongan kos operasi yang dilaksanakan mendapat kritikan masyarakat yang merasakan apa yang berlaku tidak adil pada pekerja. Bagaimanapun, Datuk Shamsuddin Bardan, pengarah eksekutif kepada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia atau MEF menyifatkan situasi yang ada memaksa tindakan sebegitu diambil.
Beliau menyifatkan majikan tidak banyak pilihan, sama ada mengurangkan jumlah pekerja dengan proses pemberhentian beramai-ramai atau memotong kos operasi, agar pekerja dapat terus dilantik walaupun terpaksa bercuti tanpa gaji.
Beliau menyarankan agar kerajaan mewujudkan garis panduan menghalang majikan daripada memberhentikan pekerja dalam waktu-waktu genting ini, kerana kesan jangka panjangnya lebih buruk berbanding pekerja diwajibkan bercuti tanpa gaji.