Saban hari rungutan berkenaan kos sara hidup yang meningkat kedengaran.
Harga barang naik, inflasi, kegagalan majikan menawarkan kenaikan gaji dan kegagalan kerajaan menangani masalah kewangan dengan berhemah dikatakan faktor utama kenapa kita semakin terhimpit dengan beban kos hidup.
Walaupun demikian, di bahagian kita juga sebagai pengguna - kita sendiri sebenarnya menyumbang kepada peningkatan kos hidup. Namun jarang kita hendak mengakuinya.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima punca kos sara hidup kita makin meningkat daripada perspektif corak hidup kita sendiri.
1. Kita makin malas
Benarkah kita makin malas? Ya. Kita makin malas.
Dengan kemudahan teknologi yang ada, banyak perkara yang kita pindahkan tanggungjawabnya kepada pihak lain dengan alasan masa untuk kita melakukannya sendiri terlalu berharga berbanding belanja yang perlu dikeluarkan.
Satu masa dahulu, kita biasa membayar sekitar RM2 hanya untuk penghantaran makanan segera.
Kini pesanan makanan secara penghantaran sudah jadi sesuatu yang norma dan caj penghantaran tinggi juga dianggap biasa. Ini menunjukkan semakin ramai orang lebih suka menanggung kos penghantaran yang dikenakan, berbanding keluar membeli sendiri makanan.
Lebih memburukkan keadaan, harga makanan yang kita pesan juga sama meningkat berbanding kita membelinya sendiri disebabkan ada komisyen syarikat penghantar di dalamnya.
Situasi kemalasan ini belum mengambil kira tabiat sesetengah keluarga yang sudah 'malas' nak keluar membeli barang keperluan sendiri. Mereka lebih sanggup mengupah servis penghantar, yang bukan saja mengenakan caj penghantaran bahkan turut mengenakan caj tambahan kepada harga barangan.
2. Kita digalakkan tukar barangan secara tahunan
Salah satu faktor yang berlaku meningkatkan kos kepada ramai pengguna khasnya pengguna barangan elektronik, adalah faktor yang digelarkan 'planned obsolescence'; rekaan tempoh hayat dalam setiap barangan elektrik dan elektronik yang kita gunakan.
Kami sudah membicarakan berkenaan taktik ini secara panjang lebar. Rujuk pautan di atas.
Pengeluar produk zaman sekarang tidak lagi mengamalkan pendekatan merekabentuk produk mereka untuk tahan lama, kerana dengan mempercepatkan proses tahap lupus sesuatu barangan kita perlu bertukar peranti dengan lebih kerap.
Jika satu masa dahulu ibu bapa mampu mewariskan telefon, televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan sebagainya kepada anak cucu - situasi ini tidak lagi boleh berulang kerana setiap produk direka dengan jangka hayat pendek.
Kebanyakan pengguna yang terkesan akan berdepan tekanan untuk menggantikan produk mereka yang belum rosak dan masih boleh digunakan, menambah kos kepada tahap kemampuan kita.
3. Langganan bulanan kita makin bertambah
Generasi terdahulu hanya menanggung dua jenis bil bulanan, iaitu bil air dan bil elektrik. Kita yang hidup dalam zaman internet, mungkin membayar bil air, elektrik dan juga bil internet. Ada juga yang melanggan TV satelit.
Dengan perkembangan teknologi internet, pakej-pakej langganan bulanan kita setiap bulan juga sudah semakin bertambah.
Ramai kami yakin ada pakej langganan kepada penyedia video atau audio secara strim. Ada juga keluarga yang membayar bayaran bulanan untuk pakej akaun konsol permainan video, stor aplikasi, akaun judul permainan video dalam talian dan bermacam lagi pakej yang perlu dilanggan.
Mungkin bagi anda yang dah biasa hidup perlu ada semua itu, anda melihat semua itu sebagai keperluan.
Realitinya banyak beban kewangan yang ditanggung dalam era sekarang sebenarnya hadir daripada keinginan kita untuk mendapatkan hiburan.
Tidak cukup dengan itu, ramai juga antara kita tak cukup dengan WiFi di rumah mesti ada juga langganan perkhidmatan internet mobil yang membolehkan kita berhubung di mana saja.
Semua itu kos dan beban tambahan kepada kewangan yang meningkatkan beban kepada kita.
4. Permintaan kita makin besar
Disebabkan oleh teknologi yang sudah jadi semakin murah, banyak peranti, peralatan dan perkakasan yang dulunya hanya mampu dimiliki golongan berkemampuan kini sudah mampu dibeli kumpulan berpendapatan rendah.
Ini mewujudkan situasi di mana permintaan masyarakat terhadap apa saja perkakas atau kemudahan yang menyelesakan kehidupan, menjadi satu kebiasaan yang dimiliki orang ramai.
Bagaimanapun keinginan untuk memiliki sesuatu, walaupun pada awalnya tampak murah sebenarnya memberi impak jangka masa panjang kepada sesiapa yang menggunakannya.
Sebagai contoh pendingin hawa dikatakan perkakas wajib bagi menangani masalah hawa panas Malaysia. Membeli dan memasangnya mudah.
Namun tidak ramai mengambil kira kos menggunakannya. Sampai bil, terbeliak biji mata. Bila kadar harga elektrik dirombak, mulalah kita nak mengata-ngata.
Samalah situasinya dengan kereta. Semua orang ada impian memiliki kenderaan sendiri. Tetapi tidak ramai mengambil kira kos petrol, kos insurans dan kos servis yang bakal perlu ditanggung seandainya nafsu nak memiliki kereta sendiri dipenuhi.
Permintaan kita makin hari semakin menjurus kepada keinginan untuk hidup selesa. Tetapi tidak ramai yang sanggup nak menanggung kos untuk hidup selesa.
5. Kita kurang bersyukur dengan apa yang kita ada
Satu perkara cukup sukar untuk kita sebagai pengguna mengelak adalah persaingan tidak rasmi bersaing sesama kita.
Ramai ada rasa ego untuk memiliki sesuatu yang lebih baik berbanding kenalan kita, yang kita percaya perlu dituruti agar kita tidak merasa terkebelakang.
Sebagai contoh - ramai bersaing tanpa kita sedar dalam cuba mendapatkan model telefon pintar terbaru atau model kenderaan yang baru dilancarkan.
Anda mungkin mengaku anda bukanlah pengamal persaingan sebegini.
Tetapi cuba fikirkan dalam perspektif berbeza; adakah anda rasa malu sekiranya anda masih menggunakan barangan lama berbanding orang lain?
Pasti ramai merasai perasaan sebegini.
Usaha untuk 'memenangi' orang lain dan perasaan malu yang timbul kerana gagal menyaingi pihak lain ini sebenarnya datang daripada sumber serupa saja; ego kita sendiri.
Ini sebenarnya yang mendorong nafsu kita untuk berlumba-lumba memiliki sesuatu yang baru atau bertindak melindungi ego kita, sekiranya kita kurang berkemampuan.
Dalam dunia yang semakin materialistik di mana pengeluar produk mempunyai pelbagai kaedah memaksa pemasaran mereka kepada anda, mungkin kita sebagai pengguna perlu mengambil pendekatan berbeza; buang rasa perlu bersaing atau kesian pada diri sendiri, bersyukurlah dengan apa yang kita ada.
Dalam erti kata lain, kaedah paling berkesan dalam melawan kos sara hidup yang semakin naik sebenarnya adalah dengan menaikkan kadar syukur kita dengan apa yang kita telah ada.
Tulis ayat di atas senang, tetapi realitinya tak sesenang yang kita sangka, kan? Memang susah nak bersyukur bagi manusia biasa ni.