Oleh pada 17 Mar 2018 kategori

Dalam masyarakat kita ramai juga yang layak bergelar Profesor, namun bukan semua Profesor sama.

Sebelum kita mengenali perbezaan pangkat Profesor yang ada, baik kita fahami dulu serba sedikit latar belakang gelaran Profesor; a pengertian dan makna disebalik gelaran ini?

Professor adalah gelaran yang diberikan kepada individu bertaraf pakar yang terlibat dalam bidang akademik, mula digunakan semenjak kurun ke 14 bagi menamakan individu-individu yang berkebolehan mengajar cabang-cabang ilmu pada waktu itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perkataan 'Profesor' yang digunapakai sekarang datang daripada perkataan Perancis lama 'professeur' serta perkataan Latin 'professor' - memberi makna seseorang 'cikgu atau guru paling atas dalam cabang ilmunya.'

Seorang Profesor dianggap pakar dalam bidangnya, berupaya berperanan besar dalam bidang akademik, pembangunan negara dan juga industri berkait kepakarannya.

Kategori lantikan Profesor

profesor khoo kay kim dalam bilik bacaan

Untuk dilantik menjadi seorang ahli akademik berpangkat Profesor, seseorang individu itu perlu memenuhi lima kriteria penting iaitu syarat penyelidikan dan penerbitan, syarat pengajaran dan penyeliaan, memenuhi tahap sanjungan akademik dan kepimpinan akademik.

Beliau juga perlu menyumbangkan khidmat kepada universiti dan masyarakat serta mampu memberikan khidmat nasihat dalam bidang perundingan/jaringan industri dan klinikal.

Terdapat 12 gelaran Profesor yang digunakan di negara kita, kesemuanya dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu 'Profesor sebagai kerjaya' dan 'Professor bergelar.'

Profesor sebagai kerjaya merangkumi Profesor Diraja, Profesor Ulung, Profesor, Profesor Klinikal, Profesor Laureate, Profesor Kursi, Profesor Universiti, Profesor Praktis dan Profesor Pelawat.

Manakala profesor bergelar meliputi Profesor Adjung, Profesor Emeritus dan Profesor Kehormat.

Wujud dua jawatan lain turut bergelar Profesor iaitu Profesor Madya dan Penolong Profesor, namun kedua-duanya diletak di luar lingkungan jawatan Profesor yang diiktiraf. Jadi kami tidak akan mengulas tentang kedua-duanya.

1. Profesor Diraja (Royal Professor)

profesor diraja ungku aziz

Profesor Diraja adalah gelaran tertinggi yang hanya boleh dianugerahkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Oleh kerana gelaran ini dianugerahkan oleh pemerintah tertinggi negara kita, hanya di Malaysia gelaran ini digunakan. Ada seorang pemegang gelaran ini di negara kita, siapa lagi tak lain tak bukan Profesor Diraja Ungku Aziz.

2. Profesor Ulung (Distinguished Professor)

profesor ulung harith ahmad

Gelaran ini diberikan kepada individu yang diiktiraf kebolehan dan keupayaannya sebagai seorang ahli sarjana yang telah memenuhi tiga syarat utama yang diperlukan.

Profesor Ulung diakui telah menjalankan penyelidikan dan penerbitan yang diiktiraf berimpak tinggi dan membawa lonjakan kepada bidang akademik serta diiktiraf pengetahuannya.

Dalam negara kita, hanya lima individu yang dilantik sebagai Profesor Ulung. Individu dalam gambar di atas adalah Profesor Harith Ahmad dari Universiti Malaya.

3. Profesor

Gelaran Profesor diberikan kepada ahli akademik yang mencapai kemahiran berstatus pakar dalam bidang ilmunya serta diiktiraf oleh ahli-ahli akademik lain.

Ciri-ciri yang dilihat sebelum seseorang itu layak bergelar Profesor adalah penyelidikan dan penerbitan yang telah dijalankan, kemahiran dalam bidang pengajaran dan penyeliaan serta impak individu tersebut kepada universiti dan masyarakat.

4. Profesor Klinikal

Profesor Klinikal merupakan gelaran yang diberikan kepada anggota profesion yang dilantik pihak Universiti yang terlibat secara langsung dalam bidang pengajaran praktikal pelajar, majoritinya datang daripada profesion perubatan.

Mereka yang bergelar Profesor Klinikal berkhidmat dengan melatih pelajar-pelajar khusus dalam bidang praktikal dan tidak diwajibkan terlibat dalam perkara-perkara berkait dengan pengetahuan teori pelajar.

5. Profesor Laureate

noam chomsky profesor laureate

Profesor Laureate adalah kumpulan individu yang telah diiktiraf kemahirannya di peringkat antarabangsa, khasnya individu yang telah menjalankan penyelidikan dan penerbitan yang mampu menjadi rujukan di seluruh dunia.

Jawatan ini boleh disandang berdasarkan tempoh lantikan dan istimewanya, boleh juga dianugerahkan kepada individu-individu yang tidak bergelar 'Profesor' secara rasmi semasa lantikan berjalan.

6. Professor Kursi

kursi usim bersama tan sri muhyiddin

Kursi adalah badan yang ditubuhkan untuk melakukan penyelidikan yang telah ditetapkan sasarannya dalam skop yang sangat fokus.

Sebagai contoh Kursi Kepimpinan Wanita di buka di UKM atas cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam usaha memastikan isu kepimpinan wanita dapat dikaji oleh pakar dan penyelidik bagi mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam peringkat pembuat keputusan.

Jadi jawatan Profesor Kursi diwujudkan untuk individu akademik yang dikenalpasti pakar dalam bidang tersebut serta mampu memacu sasaran dan matlamat yang telah ditetapkan sejak mula Kursi tersebut diadakan.

Individu yang dilantik tidak semestinya berstatus Profesor tetapi mereka dibenarkan menggunakan gelaran Profesor Kursi sepanjang lantikan mereka dalam Kursi tersebut.

Gelaran tersebut akan gugur secara automatik selepas tamat lantikan.

7. Profesor Universiti

Gelaran ini diberikan kepada individu akademik yang telah mencapai kecemerlangan dalam beberapa bidang yang disertai dan diterokai, dengan penilaian dilakukan berdasarkan kemahiran dan pengetahuan individu tersebut dalam bidang yang di luar bidang kemahiran asal individu tersebut.

Senang cerita - mereka yang bergelar Profesor Universiti ini adalah individu yang pakar dalam beberapa bidang yang mempunyai cabang yang berbeza dan mungkin juga melangkaui fakulti yang berlainan, bukan dalam kelulusan asal mereka.

8. Profesor Praktis

Profesor Praktis adalah mereka yang datang daripada bidang professional yang mempunyai kepakaran dalam bidang mereka.

Individu yang dilantik ini mempunyai kelayakan pendidikan, pengiktirafan industri serta telah pun menyumbangkan kemahiran dalam membantu membangunkan program-program di universiti, dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan yang ditawarkan.

9. Profesor Pelawat (Visiting Professor)

Profesor Pelawat boleh dianugerahkan kepada individu yang sudah bergelar Profesor ataupun tidak bergelar Profesor.

Individu yang dilantik sebagai Profesor Pelawat adalah mereka yang diundang untuk mengajar di sesebuah institusi pendidikan dalam satu tempoh waktu yang ditetapkan, sama ada secara sepenuh masa atau separa masa.

Oleh kerana jawatan ini bergantung kepada lantikan, gelaran itu akan gugur apabila tamat tempoh kontrak lantikan individu tersebut.

10. Profesor Emeritus

profesor emeritus khoo kay kim

Gelaran Profesor Emeritus diberikan kepada individu yang telah pun menamatkan perkhidmatan mereka (selalunya selepas persaraan) dalam jawatan Profesor. 

Kebanyakan universiti meletakkan syarat tempoh minima perkhidmatan 10 tahun.

Profesor Emeritus dipilih menerusi sumbangan yang telah beliau berikan selama tempoh berkhidmat, reputasi, rekod perkhidmatan serta impak beliau kepada institusi.

Beberapa negara Scandinavia memberikan gelaran ini secara automatik selepas persaraan Profesor di negara mereka. Gelaran ini boleh digunakan selama-lamanya di negara kita, walaupun bekas Profesor itu sudah pun tidak lagi melibatkan diri secara langsung dengan dunia akademik.

11. Profesor Adjung (Adjunct Professor)

Gelaran ini diberikan kepada individu-individu bukan akademik yang dijemput untuk berkongsi kemahiran, ilmu dan pengetahuan kepada institusi pendidikan.

Individu yang dipilih adalah mereka yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam profesion mereka, serta diiktiraf berkemampuan tinggi.

Individu yang banyak menyumbangkan kepakaran mereka dalam bidang pentadbiran dan penyelidikan selalunya dikategorikan layak diberikan lantikan ini.

Bagaimanapun, lantikan ini tidak membawa gelaran 'Profesor' kepada penerimanya, walaupun dia dilantik ke dalam jawatan tersebut.

12. Profesor Kehormat

profesor kehormat chef wan

Profesor Kehormat adalah gelaran profesor yang boleh diterima sesiapa saja, tidak semestinya melibatkan ahli akademik atau pakar dalam sesuatu profesion.

Apabila gelaran ini diberikan kepada seseorang individu, selalunya pemilihan dibuat berdasarkan sumbangan yang telahpun dibuat individu tersebut sebelum itu.

Gelaran ini juga bebas diberikan oleh mana-mana institusi pendidikan kepada mana-mana individu yang dirasakan layak, dengan ahli politik, artis dan selebriti yang banyak sumbangannya pada dunia kerap dilantik sebagai Profesor Kehormat.

Sama seperti Profesor Adjung, seseorang individu yang bergelar Profesor Kehomat tidak sepatutnya meletakkan gelaran tersebut pada namanya.

Chef Wan, tukang masak nombor 1 negara kita pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di UUM sebelum dianugerahkan gelaran Profesor Kehormat dari pihak yang sama hasil sumbangan beliau kepada institusi tersebut.

Rujukan

Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor Majlis Profesor Negara




Hakcipta iluminasi.com (2017)