Pada mada masa kini, satu-satunya medium perhubunngan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak adalah melalui perkhidmatan kapal terbang. Apabila melibatkan kapal terbang, sudah tentu ianya melibatkan kos yang tinggi.
Apabila musim perayaan, harganya boleh melonjak berkali ganda sehinggakan ada yang mengatakan bahawa dengan kos tambang pesawat yang sama, mereka sebenarnya boleh melancong ke luar negara!
BESARKAN TEKS A- A+
Jika anda terbang secara berseorangan, ia mungkin tidak menjadi masalah. Namun, bagaimana pula bagi mereka yang berkeluarga? Sudah tentulalah kosnya agak tinggi. Tidak hairanlah mereka yang sudah berkeluarga yang mempunyai kampung halaman di Sabah atau Sarawak (atau orang Sabah/Sarawak yang pulang ke Semenanjung) mungkin hanya pulang setahun sekali.
Adakah terdapat alternatif bagi perkara ini? Malangnya, tidak.
Namun, tahukah anda satu ketika dahulu sebenarnya terdapat perkhidmatan feri yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan pulau Borneo. Ya, perkhidmatan feri antara dua kawasan ini sememangya pernah wujud satu ketika dahulu. Walaupun jarak antara keduanya agak jauh, perkhidmatan feri antara keduanya pernah wujud dan ianya mengambil masa sekitar 2 hari perjalanan dengan sebuah feri persiaran.
Malangnya, akibat beberapa masalah yang timbul perkhidmatannya ditamatkan tidak lama selepas pelancarannya.
Idea Tun Mahathir
Generasi sekarang mungkin tidak pernah tahu akan kewujudan feri ini yang dikenali ramai sebagai Feri Malaysia kerana tulisan besar pada badan kapal itu. Namun, nama rasminya yang didaftarkan di Pelabuhan Klang adalah Cruise Muhibbah. Feri ini merupakan feri penumpang untuk persiaran tapi dikhabarkan turut boleh membawa muatan kenderaan.
Idea mengenai keperluan mewujudkan perkhidmatan feri ini dicadanngkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dr Mahathir Mohamed (kini Tun) pada tahun 1982, kira-kira setahun selepas beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Dr Mahathir ketika itu berkata matlamat lain projek Feri Malaysia ini tidak lain adalah untuk merapatkan hubungan penduduk Semenanjung antara Sabah dan Sarawak. Beliau dipercayai mendapat inspirasi ini daripada kejayaan feri pengangkutan yang menghubungkan negara-negara Scandinavia antara Finland, Norway dan Denmark.
Bagi merealisasikan idea ini, satu kajian telah dibuat terlebih dahulu bagaimana ianya dapat dilaksanakan dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Untuk itu, syarikat perkapalan Perbadanan Nasional Shipping Line Berhad (PNSL) telah dilantik untuk menjalankan kajian terperinci mengenai perkara ini.
Akhirnya pada Jun 1984, PNSL telah menubuhkan sebuah anak syarikat iaitu Syarikat Feri Malaysia Sdn Bhd untuk menjayakan projek ini. Kepakaran seorang pakar dari Eropah telah ditagih sebagai Pengurus Besar dan penasihat projek ini.
Setelah laporan kajian dibuat dan diteliti, maka pada 27 November 1984 mesyuarat kabinet telah bersetuju untuk meluluskan projek ini. Sebuah feri telah dibeli dari Helsinki, Finland dengan kos sekitar RM50 juta.
Pada tahun 1986, feri ini akhirnya siap. Tempoh yang lama diambil memandangkan feri tersebut perlu melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dan menaiktaraf agar ianya sesuai dijadikan feri persiaran untuk perjalanan yang memakan masa berhari-hari lamanya.
Pelayarannya dari Finland ke Pelabuhan Klang mengambil masa kira-kira sebulan dan tiba di Pelabuhan Klang pada 6 Ogos 1986. Pada hari sambutan kemerdekaan tahun tersebut, Sultan Pahang kemudian membuat pelancaran rasmi khidmat Feri Malaysia di Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Sempena pelancarannya ini, ia telah melakukan perjalanan pertama ke Kuching dari Kuantan sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu. Tempoh perjalanan ke Kota Kinabalu adalah 2 hari dari Kuantan ini secara keseluruhannya mengambil masa 2 hari.
Feri dengan pelbagai kemudahan
Sejak daripada pelancarannya, pelbagai usaha promosi telah dilakukan memandangkan ianya merupakan perkhidmatan yang pertama seumpanya di Malaysia. Tempoh perjalanan selama beberapa hari mungkin terlalu lama, namun feri ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk para penumpang.
Daripada segi saiznya, berat kapal ini adalah kira-kira 7900 tan dan panjang 134 meter dengan 7 buah dek kapal. Kapal ini mampu memuatkan 600 hingga 650 orang penumpang pada satu-satu masa. Lebih menarik, feri ini mampu memuatkan 240 buah kenderaan.
Antara kemudahan yang disediakan adalah restoran, kafeteria, bar, kolam renang, kabin tempat tidur, tempat solat dan kemudahan asas yang lain. Memandangkan tempoh perjalanan yang panjang, terdapat juga beberapa aktiviti rekreasi yang dianjurkan seperti sukaneka, pertandingan mewarna, persembahan tarian dan lain-lain.
Penghentian operasi
Mungkin ada generasi kini yang tertanya, mengapakah perkhidmatan Feri Malaysia ini tidak lagi wujud pada masa kini?
Pada 18 Oktober 1987, telah berlaku kebakaran pada ruang enjin utama. Pada ketika itu, feri ini dalam perjalanan ke Kuantan dan berada kira-kira 5 km daripada Pulau Tioman, Pahang. Ketika tragedi ini, terdapat 300 orang penumpang dan 40 buah kenderaan di atasnya.
Mujur tiada kemalangan nyawa yang dilaporkan apabila kesemua penumpang berjaya diselamatkan oleh 2 buah kapal kargo yang berada berdekatan. Kesemua penumpang yang telah diselamatkan itu kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Kuantan. Kebakaran feri telah berjaya dipadamkan dan feri itu terdampar di lautan buat beberapa ketika.
Kajian lanjut yang dilaporkan oleh akhbar NST ketika itu mendakwa bahawa kejadian tersebut berlaku kerana kapal tersebut dipercayai telah terlalu usang dan sudah berusia 16 tahun. Ini bermakna kerajaan ketika itu hanyalah membeli feri terpakai dan menaik taraf dan membaikinya sahaja.
Selain faktor usianya yang sudah terlalu usang, kos operasinya yang tinggi dilaporkan sebagai penyebab tambahan mengapa perkhidmatan feri ini telah dihentikan buat selama-lamanya.
Sekiranya anda seorang penduduk Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung atau sebaliknya, adakah wajar sekiranya perkhidmatan feri ini diwujudkan semula sekiranya harga yang ditawarkan jauh lebih murah daripada harga tambang kapal terbang yang ada kalanya tidak masuk akal??
Kredit: