Ketika aku membesar di Brixton, aku dapati hanya ada tiga pilihan utama dalam hidup aku berdasarkan apa yang berlaku pada orang lain; terus menganggur, ke penjara atau mati muda.
Ramai orang di sekeliling aku sudah lenyap. Ramai ditembak atau ditikam semasa pergaduhan. Majoriti lelaki dewasa sekeliling aku ramai lebih banyak menghabiskan masa dalam penjara. Aku tak pernah terfikir tentang duit semasa mahu jadi pemain bola sepak. Semuanya bermula dengan minat. Bagaimanapun, apabila cita-cita sudah menjadi realiti, aku mula sedar tahap kewangan yang lebih baik boleh menukar nasib kami sekeluarga.
BESARKAN TEKS A- A+
Kami datang dari keluarga susah. Ayah aku seorang jurutera elektrik dan ibu aku setiausaha. Aku tinggal di kawasan perumahan kos rendah yang komunitinya agak terbuka dengan dadah. Dadah mudah diperolehi asalkan kita tahu dengan siapa kita bertanya.
Mula menerima teguran mesra orang ramai
Ketika aku mula menjadi pemain bola sepak professional, aku dihubungi ramai individu yang tak pernah bertegur dengan aku selama ini.
Mereka bertanya khabar, berminat mengetahui apa aku buat dan macam-macam lagi pertanyaan tentang hidup aku. Ayah menasihatkan aku, agar berhati-hati kerana mereka semua punya niat lain berbaik dengan aku.
Rakan baik aku mula mengambil dadah jenis kokain, tetapi kemampuan kewangannya terbatas. Atas sebab ketagihan, dia mula meminta duit daripada aku. Aku nafikan permintaan dia kerana aku tahu dia akan membelanjakan duit itu untuk dadah. Berang dia permintaannya aku tolak.
Tak lama selepas itu, aku terdengar kisah yang disampaikan kenalan aku - kawan karib aku sendiri sudahpun merancang mahu menculik salah seorang ahli keluarga aku untuk dijadikan tebusan. Nasib baiklah dia bermulut celupar, menceritakan rancangannya pada ramai orang lain membolehkan aku membawa keluarga ke tempat lain.
Hari pertama menerima gaji pemain professional
Anda masih ingat kali pertama anda menerima gaji anda?
Aku ingat jelas hari itu. Ketika itu aku baru bermain enam perlawanan. Sedang berada di gimnasium bersenam, Jamie Redknapp, bekas pemain tengah Liverpool yang ketika itu bersama aku di Tottenham datang kepada aku. Dia berkata aku patut gembira, esok hari gaji pertama aku.
Dia kata jangan terkejut dengan gaji yang bakal aku terima. Tak berkesan pun pesanan dia. Aku memang terpinga-pinga menerima gaji pertama aku. Jumlahnya lebih daripada gaji ayah aku setahun.
Malam itu aku tak dapat tidu kerana merasakan apa yang berlaku seakan mimpi.
Buat pertama kali dalam hidup, aku boleh buat apa saja aku nak buat selama ini. Aku mampu membantu emak ayah, adik, rakan-rakan. Bila dikenang kembali, ketika itu pemain remaja seperti aku sangat berisiko kerana menerima pendapatan yang sangat lumayan tiba-tiba.
Aku tidak tahu apa patut aku lakukan, jadi aku buat apa yang aku nak lakukan. Aku keluar membeli kereta, sebuah Mercedes C-Class dan seutas jam tangan Cartier.
Ketika di Turki bersama pasukan England bawah 20 tahun, Jermain Defoe (penyerang England) menunjukkan aku beberapa barangan kemas yang baru dia beli. Aku tak berlengah dan terus memesan beberapa barangan ketika itu juga. Gaji aku bulan itu, separuh daripadanya habis dalam masa dua minggu sahaja.
Situasi aku menjadi lebih buruk kerana ketika itu, aku dikelilingi mereka yang sentiasa bersetuju dengan aku.
Rakan aku yang nampak keburukan tabiat aku berbelanja tanpa berfikir memilih untuk diam, segan dengan aku atau tidak mahu mencari pasal.
Apabila aku lihat kembali, alangkah baiknya sekiranya mereka membuka mulut menegur aku. Usia muda memang mampu membuatkan kita buat keputusan tanpa berfikir. Apatah lagi bila kita muda dan duit bukan lagi satu masalah.
Duit sebagai motivasi pemain
Tak dapat aku nafikan duit menjadi tujuan utama sesetengah pemain yang aku kenal, berbanding karier atau kejuaraan. Zaman sekarang lagilah, terlalu ramai pemain muda yang cukup sekadar puas gembira hidup mewah. Tidak serius dalam kerjaya di atas padang dan latihan.
Aku pernah lihat pemain muda lain dengan selamba membakar helaian duit sambil angkuh berkata duit bukan masalah padanya. Ketika kami muda, bersendirian serta berjauhan dari keluarga, kami mudah bosan. Rakan aku di Tottenham Hotspurs ramai memilih untuk menghabiskan masa di kasino atau kelab tarian bogel. Pernah ada seorang kenalan aku habis £15,000 (RM82 ribu) gaji sebulan dia dalam masa sehari tanpa sebarang pulangan.
Duit yang banyak pada usia mentah memang mampu membuatkan ramai pemain muda leka, sehingga kita lupa asal-usul kita. Walau bagaimanapun, dengan duit yang aku terima itu, hidup aku mula berdepan risiko-risiko yang sebelum itu tak pernah ada.
Dirompak kenalan sendiri
Pada satu malam, aku berada di dalam kereta seorang diri di kawasan perumahan asal aku bercakap di telefon. Datang dua orang kenalan aku buat-buat hendak berbual. Siapa sangka malam itu aku dirompak orang yang aku kenali?
Masalahnya, oleh kerana mereka ahli komuniti di situ juga, bagi menutup mulut aku - aku diugut untuk tidak membuat laporan kalau mahu keluarga aku terus selamat. Bagaimana rasanya pulang ke tempat asal kita dan terpaksa berasimilasi dengan individu-individu yang pernah merompak kita, sehingga kita terpaksa berlakon macam tak ada apa berlaku?
Apatah lagi kita sedar mereka tidak segan untuk mengugut ahli keluarga kita hanya semata-mata mahu melindungi jenayah yang mereka lakukan. Apa yang aku lihat dengan mata aku sendiri bukan sekadar lelaki yang menyasarkan pemain bola sepak sebagai mangsa.
Golongan wanita pun turut sama. Ibarat musang berbulu ayam, wanita-wanita yang sebenarnya menyimpan motif jahat akan berlakon berminat dengan pemain-pemain yang aku kenal. Aku tahu beberapa orang pemain liga perdana Inggeris yang telah diperdayakan - mereka diajak pulang ke rumah gadis-gadis tersebut sebelum diserang beberapa orang lelaki yang memang menunggu mangsa. Gadis-gadis itu digunakan sebagai umpan.
Pada aku, walaupun aku pernah lalai dengan wang, syukurlah lama-kelamaan aku sedar aku tak mahu hilang 'kehidupan normal' aku sebelum itu. Aku mahu boleh balik ke rumah, beli makanan, melepak dengan kawan dan bersantai di mana aku suka tanpa ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap aku.
Bagaimanapun, bila kita dah mencapai tahap pemain professional liga perdana Inggeris, tak boleh nak dielak yang kita akan menjadi sasaran pihak-pihak tertentu; cuma persoalannya, sejauh mana kita akan terkena?
Bagi aku kehidupan sebagai pemain memang sukar. Aku sentiasa dalam dilema berikutan kemampuan kewangan aku. Banyak mulut yang akan mempersoalkan kenapa aku tak mahu pulang ke kampung.
Rakan lama aku menganggap aku lupa daratan. Sayangnya bila aku pulang - aku takut aku jadi mangsa rompakan kawan.
Rohan Anthony Ricketts adalah seorang pemain tengah England yang memulakan karier bersama kelab Arsenal, sebelum mencapai kemuncak karier bersama pasukan Tottenham Hotspurs.
Pernah mewakili pasukan kebangsaan England pada peringkat bawah 20, karier bola sepak beliau membawa Rohan mengembara ke seluruh dunia, menyertai liga di Hungary, Moldova, Jerman, India, Thailand, Hong Kong dan Bangladesh. Kini Rohan bermain dalam liga semi professional League 1 Ontario di Kanada.
Artikel ini adalah terjemahan daripada artikel 'The Diary of a Pro Footballer: The Truth About Footballers and Money' yang diterbitkan pada tahun 2013.