Setiap kali berlakunya gerakan rusuhan melibatkan kumpulan pelampau kulit putih, nama 'Antifa' akan selalu disebut-sebut, khasnya apabila isu hak masyarakat kulit hitam turut dibangkitkan.

'Antifa' sekiranya ingin difahami, diakui agak mengelirukan sejarahnya kerana pergerakan ideologi seperti ini bukan bergerak sebagai operasi formal; sebaliknya sebagai satu pergerakan idea atau sivil, yang sukar untuk direkodkan aktivitinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Nama 'antifa' kembali popular selepas insiden pembalingan telur oleh Will 'Eggboy' Connolly pada kepala Senator Fraser Anning di Australia, dalam insiden bulan Mac tahun 2019. Insiden itu dianggap satu tindakan yang selari dengan ideologi gerakan Antifa.

Ekoran rusuhan besar-besaran di Amerika Syarikat selepas kematian George Floyd pada bulan Mei 2020, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bertindak meletakkan Antifa secara rasminya; sebagai kumpulan pengganas berhaluan kiri.

Persoalannya di sini - siapakah Antifa?

Kebangkitan kumpulan fasis

mussolini pemimpin fasis

'Antifa' adalah singkat kepada 'anti-fascist', gerakan melawan pemikiran fasis yang dipercayai telah bermula sejak awal abad ke 20 lagi. Untuk itu, kita perlu melihat terlebih dahulu permulaan gerakan fasisme yang mendorong kepada antifa.

'Fasis' atau 'fasisme' merupakan satu bentuk ideologi yang menyokong kepada pemusatan kuasa sama ada dalam bentuk diktator, tekanan kepada pihak lawan dan semangat nasionalisme yang melampau - atau kesemuanya sekali.

Fasisme dikategorikan duduk di bahagian kanan sekali dalam spektrum ideologi politik; tegas, keras dan gemar menggunakan kuasa untuk mendiamkan musuh. Bagi golongan fasis, apa saja arahan dan keputusan yang diambil oleh pihak pemerintah yang mereka dokong, perlulah dipatuhi dengan akur tanpa bantahan.

Doktrin fasisme dikatakan bermula daripada penubuhan parti politik bernama Le Faisceau atau 'The Fasces' pada tahun 1925 di Perancis. Bagaimanapun, itu tidaklah menandakan fasisme hanya bermula pada era tersebut, cuma gelaran 'fasis' yang popular sehingga kini dipercayai berasal daripada parti tersebut.

Usaha sesebuah kerajaan atau pemerintah yang hendak mentadbir dengan menggunakan kaedah 'negara polis' layak dikatakan tergolong dalam kumpulan fasis, di mana rakyat tidak diberikan peluang untuk bersuara dalam menentukan hala tuju negara serta ditekan secara terbuka untuk patuh.

Perdana Menteri Itali, Benito Mussolini sering disebut sebagai pemimpin fasis paling terkenal, ekoran usaha beliau sejak zaman muda lagi menubuhkan Fasci Italiani di Combattimento atau Italian Fasci of Revolutionary Action - membawa ideologi fasisme kepada Eropah (pautan PDF) dalam skala besar serta mempopularkan istilah pegangan mereka sebagai 'ideologi fasisme.'

'Antifa' pula membawa ideologi yang bertentangan dengan apa yang dipegang kumpulan fasis, dilabelkan sendiri oleh Mussolini dan pentadbirannya sebagai 'anti-fascist' bagi memudahkan mereka mengkategorikan seteru politik mereka.

Mula digerakkan di Itali hasil gabungan kumpulan pekerja dan individu; 'anti-fascist' wujud secara semulajadi sebagai satu gerakan menentang kumpulan militia Milizia Volontaria per la Sicurezza Nazionale atau 'Blackshirts', yang nyata ampuh mempertahankan apa saja tindakan kejam Mussolini.

Pertempuran Jalan Cable

battle of cable street

Beberapa insiden telah berlaku melibatkan golongan fasis dan anti-fasis di Eropah, dengan sebuah pertempuran di London dikatakan merupakan antara yang terbesar berlaku semasa era awal perseteruan fasis melawan antifa.

Pada Oktober 1936, perarakan ahli British Union of Fascists (BUF) seramai 3,000 orang diketuai oleh ahli Parlimen Britain, Oswald Mosley diiringi 6,000 orang pegawai polis berdepan dengan sekatan lebih 20,000 orang dari bermacam lapisan masyarakat. 

Perarakan BUF yang dianjurkan merupakan perarakan bagi menyatakan sokongan kepada akta yang dinamakan 'Aliens Immigration Bill' serta kempen anti semitik bagi mengusir etnik Yahudi, yang menetap di situ.

cable street street london

Atas sebab itu perarakan itu diminta dibatalkan penduduk, berikutan kerisauan mereka terhadap sentimen negatif antara kumpulan fasis Britain dengan komuniti Yahudi di situ bakal membawa kepada keganasan.

Anggota polis Britain yang mengiringi BUF mengarahkan orang ramai bersurai bagi membolehkan perarakan diteruskan, namun orang ramai mula bertindak balas dengan agresif membaling bom buatan sendiri, batu, kayu serta apa saja objek keras yang boleh mereka lontar. Ini memaksa pihak polis sama ada unit pejalan kaki atau unit berkuda menyerbu kumpulan besar itu.

Tewas dan gagal menyuraikan penunjuk perasaan, akhirnya Mosley mengumumkan pembatalan perarakan tersebut - memberikan kemenangan kepada kumpulan anti fasis.

Insiden yang kini dikenali sebagai 'Battle of Cable Street' merupakan antara pertempuran terbesar tidak rasmi kumpulan rakyat 'antifa', seringkali disebut sebagai kejayaan terbesar melawan kumpulan fasis.

Berikutan pengaruh yang semakin kuat di Eropah, istilah singkatan 'antifa' sendiri diterima masuk ke dalam kamus Inggeris secara rasmi pada tahun 1946, memberikan kumpulan ini pengiktirafan untuk terus bergerak sebagai gerakan terselindung dalam sistem sosio dan ideologi di Eropah. 

Sejak dari itu, 'anti-fascist' lebih terkenal dengan nama baru mereka - 'antifa.'

Identiti aktivis antifa

gerakan anti fascist

Setiap kumpulan antifa bergerak secara sendirian, mempunyai autonomi sendiri dalam menjalankan aktiviti dan ini sangat menyukarkan untuk pihak berkuasa membaca apa yang akan mereka lakukan seterusnya.

Seorang aktivis 'antifa' dalam zaman moden mampu menggunakan pelbagai cara untuk menyebarkan ideologi, dengan menggunakan internet dan media sosial, rapat umum, ceramah atau forum kecil-kecilan.

Bagaimanapun, apa yang menjadi masalah dengan gerakan antifa - mereka tiada pimpinan tetap dan ramai di kalangan penyokong ideologi ini sendiri bersifat ekstrimis.

Mereka mempunyai matlamat untuk menggugat atau mengganggu sebarang bentuk acara atau majlis yang dirasakan menyokong penyebaran pemikiran kumpulan fasis atau dalam istilah modennya 'individu berhaluan kanan yang ekstrim.' Namun sesuatu yang kurang enak tentang antifa, mereka juga gemar menggunakan pegangan 'matlamat menghalalkan cara.'

Disebabkan ketiadaan kepimpinan yang menerajui serta merancang pergerakan, amat mudah untuk sesiapa saja menggunakan nama 'antifa' bagi menghalalkan keganasan; sama ada dalam bentuk kemusnahan harta benda seperti yang biasa berlaku sehingga menyebabkan kerugian pada individu tidak bersalah.

himpunan anyi fascist itali

Walau bagaimanapun, majoriti penyokong antifa percaya sebarang bentuk keganasan atau kekerasan hanya perlu dilakukan, disebabkan oleh keperluan untuk mereka mempertahankan diri.

Malangnya, semakin ramai peserta mula menyebabkan kecederaan atau kematian orang lain atas nama antifa.

Aktiviti-aktiviti antifa disertai individu-individu yang gemar menggunakan taktik yang dikenali sebagai 'black bloc'; memakai pakaian hitam serta menutup muka dengan topeng atau topi keledar, agar wajah mereka terlindung.

Tindak balas antifa kebiasaannya tidak diketahui apa penamatnya. Ada penyokong antifa yang anti keganasan tetapi ada juga yang menggunakan peluang itu untuk melakukan tindak balas keras.

Disebabkan oleh risiko itulah seandainya berlaku sedikit sahaja insiden kekerasan dalam rapat umum antifa - tidak menghairankan seandainya insiden itu boleh merebak menjadi besar disebabkan kewujudan pihak-pihak yang sengaja mengambil peluang, disebabkan peluang besar yang terhidang.

Adakah gerakan antifa baik atau buruk untuk masyarakat?

antifa himpunan black bloc

Dari satu sudut, banyak pihak melihat ideologi antifa sebagai sesuatu yang positif jauh berbeza dengan fasis, yang seringkali dikait sebagai pemikiran negatif.

Antifa melawan penindasan secara terbuka, berani bersuara dan yang penting, mampu bertindak balas. Bagaimanapun kelonggaran organisasi antifa itu sendiri merupakan kelemahan dan juga kekuatan utama gerakan ini.

Konsep gerakan sivil yang mereka amalkan membolehkan sesiapa saja menggunakan label antifa untuk menghalalkan apa saja tindakan yang dirasakan perlu.

Wujud beberapa organisasi kecil yang terbuka memperjuangkan ideologi antifa seperti Rose City Antifa di Portland, gerakan antifa terawal ditubuhkan di Amerika Syarikat sejak tahun 2007 - namun organisasinya layak dikatakan tiada struktur tetap.

Pengkritik gerakan antifa menyatakan kebimbangan tentang situasi ini, kerana yakin seandainya terjadi sesuatu yang di luar jangkaan tiada siapa yang mampu mengawalnya.

Mereka menyifatkan penyokong antifa juga tidak ada hala tuju, bergerak mengikut arus cuba menghalang atau menjatuhkan siapa yang mereka percaya fasis - tanpa benar-benar jelas apa dan siapa yang mereka cuba kejarkan.

Perusuh atau penjaga keamanan?

antifa gerakan aktivis

Dalam zaman media sosial yang memudahkan sentimen dihangatkan, diramal lebih ramai akan mudah mengikut ideologi antifa dek pegangan mereka yang nyata lebih idealistik, menawarkan kebebasan tanpa kongkongan kerajaan yang ditagih minda segelintir individu.

Penyokong kuat antifa percaya antifa menyanggah pembodohan yang dilakukan pemerintah atau kerajaan; dan itu menjadi teras utama tarikan ideologi tersebut kepada mereka yang baru hendak berjinak dengan aktivisme.

Isu utamanya - adakah antifa mempromosikan keganasan?

Sudah banyak kes ancaman yang dinamakan sebagai 'doxxing' berlaku melibatkan individu-individu tidak dikenali dikatakan berjuang atas nama antifa, mengancam komuniti kecil serta individu yang mereka rasakan melawan kehendak mereka.

Label antifa kini kerap digunakan mewakili kelompok penunjuk perasaan anti kerajaan seperti di Amerika Syarikat, Britain dan Eropah, yang mensasarkan reaksi keras terhadap kumpulan polis. Ini kerana antifa percaya polis adalah tali barut utama yang melindungi kerajaan. Mesej anti fasisme juga semakin kerap dilaungkan dalam rapat umum yang ada, sama ada yang bersifat ganas atau lebih konservatif.

Satu persoalan yang gagal dijawab mana-mana pihak; daripada ribuan yang hadir, berapakah jumlah sebenar pendokong ideologi antifa?

Tiada siapa tahu. Adakah ketidaktentuan itu satu rahmat atau satu malapetaka, pada mana-mana masyarakat yang di dalamnya terkandung ramai pendokong pemikiran antifa?




Hakcipta iluminasi.com (2017)