Kredit foto: bm.therakyatpost.com
Penyanyi Faizal Tahir terharu apabila dicalonkan buat kali kedua dalam anugerah berprestij MTV EMA 2017.
Faizal atau Ahmad Faizal Mohammad Tahir menerima pencalonan dalam kategori Artis Asia Tenggara Terbaik.
Bagaimanapun penyanyi itu memberitahu usaha kerasnya selama ini bukanlah kerana mengejar pengiktirafan atau populariti.
“Sepanjang terbabit dalam dunia seni, saya tidak pernah meletakkan populariti dan trofi sebagai keutamaan. Apa yang lebih penting bagi saya adalah kualiti dan karya diterima ramai," katanya memetik laporan portal Harian Metro.
Pun begitu, penyanyi berusia 38 tahun itu tetap bersyukur dengan penghargaan yang diberikan terhadap kariernya di peringkat antarabangsa.
“Mampu menghadiahkan karya terbaik buat pendengar sudah cukup bagi saya. Apabila dicalonkan buat kali kedua dalam MTV EMA 2017, ia satu penghargaan besar dan sangat bermakna,” dedahnya.
Terdahulu, Faizal pernah dicalonkan dalam kategori sama iaitu pada tahun 2015.
Tuah tidak menyebelahi beliau apabila trofi kemenangan disandang artis dari Vietnam, Son Tung M-TP.
Lain-lain saingan Faizal dalam kategori ini ialah Isyana Sarasvati (Indonesia), The Sam Willows (Singapura), Slot Machine (Thailand), James Reid (Filipina), Dam Vinh Hung (Vietnam) dan Palitchoke Ayanaputra (Thailand).
Sumber berita: Harian Metro