Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Penyanyi Sissy Imann terpaksa akur apabila perjuangannya dalam program realiti Big Stage terhenti setakat di konsert keempat yang berlangsung sebentar tadi di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Pada konsert bertemakan 'Cover Tapi Bukan Aku' itu, Sissy mendendangkan lagu Senggol Senggolan Cubit Cubitan sebelum ditempatkan di kedudukan tiga terendah oleh juri profesional yang terdiri daripada dua juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir, bersama juri undangan, Mas Idayu.
Selain Sissy, dua lagi peserta di kedudukan terbawah ialah Tajul dan Ariff Bahran, namun penyingkiran salah seorang daripada mereka ditentukan menerusi undian aplikasi Tik Tok oleh penonton di rumah.
Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Malah Faizal yang ditanya tentang 'Imuniti Unlock' yang ingin digunakannya, bagaimanapun memilih untuk menyelamatkan Ariff berbanding Sissy.
Kesemua peserta dicabar membawakan lagu di luar lingkungan zon selesa masing-masing.
Penyanyi yang berjaya melangkah ke konsert kelima minggu hadapan ialah Syafiq Farhain, Sarah Suhairi, Ariff Bahran, Tajul, Baby Shima, Wani Kayrie dan Afieq Shazwan.
Big Stage dikemudikan gandingan pengacara Aliff Satar dan Sherry Al-Hadad.
Disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria, setiap Ahad, jam 9 malam.