Kredit foto: Instagram Anas Tahir & The Star

Penyampai radio Zayan, Anas Tahir enggan penglibatannya dalam dunia seni dibayangi populariti abang beliau, penyanyi Faizal Tahir.

Walaubagaimanapun, Anas yang berusia 34 tahun itu akui masih ramai yang menyedari pertalian mereka kerana wajah yang saling tak tumpah.

"Bagaimana hendak tumpang populariti abang saya, sedangkan saya sendiri tidak pernah mengaku yang kami mempunyai pertalian darah.

"Namun, saya tidak boleh lari kerana orang pasti akan bertanya kerana rupa saya ada iras abang saya juga.

"Apa-apa pun terus-terang saya katakan, saya tidak suka dikaitkan atau dikenali sebagai adik kepada Faizal Tahir.

"Bukan sebab kami bergaduh atau apa, cuma saya rasa sedikit tidak selesa.

"Pernah dulu, bila orang tanya adakah saya adik Faizal saya terus beritahu saya anak tunggal dan tidak mengaku penyanyi itu abang saya," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Anas sebelum ini merupakan seorang jurutera, namun beralih ke bidang penyiaran sejak dua bulan lepas.

Dia yang juga pernah mencuba nasib dalam dunia nyanyian memberitahu tidak sekali-kali menyangka rezekinya berpihak sebagai penyampai radio.

"Saya suka bercakap dan seorang yang peramah, malah sebelum ini saya memang ada juga menyanyi tetapi tidak sehebat Faizal.

"Apabila dipanggil untuk uji bakat radio baharu ini, saya tidak teragak-agak untuk pergi.

"Namun terus-terang saya katakan, saya tidak meletakan apa-apa harapan pun.

"Tapi apabila saya terpilih, saya bagai tak percaya malah sempat mengalirkan air mata kerana terharu.

"Alhamdulilah dua bulan bergandingan dengan Mawi saya semakin selesa dan seronok dengan kerjaya baharu saya," katanya lagi.

Menerusi Zayan, Anas ke udara bersama Mawi dalam slot Salam Bros bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 hingga 10 pagi.

Selain Mawi dan Anas, radio baharu itu turut dikemudi penyampai Lin Ariffin, Raqib dan Falyq.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)