Oleh pada 08 Aug 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Ernie Zakri & Instagram Haqiem Rusli

Selepas lapan tahun menjadi artis di bawah syarikat rakaman FMC Music, akhirnya penyanyi Ernie Zakri berpindah ke organisasi baharu iaitu Rocket Fuel dengan alasan untuk merasai pengalaman persekitaran yang berlainan.

Namun, Ernie atau nama penuhnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 26, menafikan pengunduran terbabit kerana isu hangat yang melibatkan namanya dengan penyanyi Haqiem Rusli sebelum ini.

Katanya, selepas kontrak yang ditandatangani bersama FMC tamat setahun lalu, dia mula mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan kerjasama itu ataupun tidak.

ernie zakri pindah syarikat rakaman kerana haqiem rusli ini kenyataannya 2

Kredit foto: Instagram Ernie Zakri

“Perpindahan ini tiada kena mengena dengan kontroversi yang melanda Haqiem Rusli baru-baru ini.

“Kontrak saya dengan FMC Music telah tamat pada Ogos tahun lalu. Ketika itu saya baru sahaja menjuarai program Duo Star yang diterbitkan Astro.

“Jadi, saya mengambil sedikit masa untuk mempertimbangkan tawaran yang telah diunjurkan pada waktu itu,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Ernie kini meneruskan kelangsungan kerjayanya bersama syarikat naungan Astro itu.

Sebelum ini, Ernie didakwa mempunyai isu dalaman dengan FMC Music, syarikat sama tempat Haqiem bernaung.

Dalam pada itu, apa yang menggembirakan Ernie apabila tuah rezekinya dalam dunia hiburan semakin kencang apabila terpilih menggalas tanggungjawab sebagai guru vokal kepada barisan penyanyi yang menyertai program realiti Big Stage 2018 (BS 2018).

“Ini adalah peluang keemasan yang mungkin sukar untuk dilepaskan atau diperoleh pada masa akan datang.

“Jadi, saya akan galas tanggungjawab ini bagi memastikan amanah yang telah diberikan dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya harap, penonton berpuas hati dengan hasil kerja pada minggu pertama BS 2018 dianjurkan Ahad lalu,” katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)