Oleh pada 08 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli

Penyanyi Haqiem Rusli, mengaku tindakannya memuat naik foto bersama Neelofa di laman Instagram hanyalah sekadar gurauan untuk mengusik pengikutnya.

Haqiem atau nama lengkapnya Ridzuan Haqiem bin Rusli, 20, mengulas tentang reaksi peminat yang rata-ratanya kecewa dengan kiriman foto berkenaan.

"Keterangan gambar yang disertakan sekadar gurauan semata-mata. Malah, peminat juga turut berjenaka meluahkan 'kekecewaan' mereka. Bagi saya, perkongsian itu tidak perlu dipandang serius oleh mana-mana pihak.

"Saya meminati dan menjadikan kejayaan Neelofa sebagai pembakar semangat untuk mencapai apa yang diperolehnya. Kita lihat banyak perkara sudah dicapai Neelofa, semua itu perlu dibanggakan dan dijadikan contoh," katanya memetik portal BH Online.

Tentang keterbukaannya memuat naik foto bersama wanita di laman itu, Haqiem berkata ia tidak menjadi kesalahan dan melanggar prinsip beliau kerana Neelofa ketika itu berada dalam keadaan menutup aurat.

"Saya fikir tidak salah untuk memuat naik gambar bersama. Ini disebabkan Neelofa menutup aurat. Malah, ia tidak bercanggah dengan prinsip yang pernah saya beritahu sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Haqiem berpendirian menyunting gambar bersama peminat wanita sebelum dikongsi di laman sosial untuk mengelakkan dosa.

Menurutnya, dia mahu menjaga aurat peminat demi menutup aib dan mengelakkan fitnah.

Dalam perkembangan lain, Haqiem kini muncul dengan video single baharu, Jatuh Bangun di laman Youtube.

"Saya berhasrat untuk tampil dengan album yang memuatkan enam lagu dengan tiga daripadanya ciptaan sendiri," katanya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)