Kredit foto: Instagram Elvina Mohamad & Instagram Ayda Jebat
Aktres Elvina Mohamad menyifatkan dakwaan dia rapat dengan aktor Redza Rosli seperti sengaja ingin melaga-lagakannya dengan penyanyi popular, Ayda Jebat.
Elvin beranggapan gosip itu tidak perlu dibangkitkan kerana ramai yang sudah sedia maklum dengan hubungan mesra antara Redza dan Ayda.
"Sepanjang menjalani penggambaran drama Isteri Yang Diiktiraf, Ayda beberapa kali datang menjenguk dan menemani Redza di lokasi.
"Kalau hendak diikutkan, saya tidak banyak bercakap dengan Redza sepanjang penggambaran kecuali penting dan berkaitan hal kerja," katanya kepada Harian Metro.
Elvina berkata, adegan dirinya dan Redza berkejaran di lokasi yang dirakam dan dimuatnaik oleh penerbit drama, Sheila Rusly, telah disalahtafsir oleh segelintir pihak.
Kredit foto: Instagram Elvina Mohamad
"Biar saya jelaskan. Rakaman asalnya saya mengusik Arash Mohamad. Di lokasi saya memang rapat dengan Arash dan menganggapnya abang.
"Bukan saya sorang saja yang menganggapnya seperti abang malah semua pelakon begitu memandangkan sikap Arash yang sangat menyenangkan," katanya.
Menyambung cerita, Elvina berkata, ketika hari terakhir berada di lokasi tersebut, dia menyakat Arash dengan mengatakan beliau tidak bersungguh dalam melontarkan dialog.
Redza yang kebetulan terlibat dalam babak sama turut sama mengusik.
"Menyedari kami tidak serius membuatkan Sheila tidak berpuas hati dan mahu merotan kami berdua. Kami cuba lari. Tidak sangka adegan dirakam dan dimuat naik ke laman sosial," jelasnya.
Elvina dan Redza bergandingan sebagai teraju utama drama Isteri Yang Diiktiraf yang bakal menemui penonton di saluran RTM pada Ramadhan ini.
Elvina menegaskan, hubungannya dan Redza sepanjang tiga bulan penggambaran drama 30 episod itu adalah atas dasar profesional tanpa melibatkan soal peribadi.
Sumber berita: Harian Metro