Kredit foto: Instagram Alvin Chong
Pelakon Alvin Chong kecewa dengan tindakan sesetengah netizen yang seperti tidak sensitif dengan isu agama yang dianutinya.
“Isu sering orang cakap pada saya adalah mengenai agama. Ramai bertanya, pintu hati saya tidak terbuka hatikah untuk memeluk Islam?" katanya kepada Harian Metro.
Oleh yang demikian, tindakannya mendekati aktres Emma Maembong sebagai rakan membuatkan ada yang tanpa mengambil kira perasaannya, meminta agar beliau ‘bersunat’ terlebih dahulu.
“Malah ada meminta saya ‘bersunat’ terlebih dulu kalau mahu berkawan dengan Emma Maembong,” katanya.
Kredit foto: Instagram Alvin Chong
Menganggap isu agama sebagai soal peribadi, bintang berusia 27 tahun itu menegaskan, menjadi haknya sama ada mahu kekal beragama Kristian atau memeluk Islam seperti diminta peminat.
Alvin membayangkan perasaan yang dihadapinya kini seumpama muslim yang menetap di luar negara namun digesa untuk menganut agama lain.
Tambahnya, ada pula segelintir pihak yang mengecam sekaligus tidak memperlihatkan peribadi seorang yang beragama Islam meskipun tampil berperwatakan alim.
“Saya ada ramai kenalan beragama Islam, malah pengurus saya sendiri seorang mualaf. Islam adalah agama indah tapi ia bukan masa saya lagi,” katanya.
Alvin ditemui di sidang media menandatangani kontrak pengurusan bersama Universal Music (Malaysia) yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada Rabu.