Oleh pada 16 Jul 2023 kategori

Jika anda tanyakan kepada pendokong-pendokong utama penggunaan kepintaran buatan atau AI, dalam isu-isu sensitif berkait dengan penjanaan gambar kurang elok oleh AI, biasanya jawapan yang dapat anda lihat sama saja.

"AI adalah alat, perkakas. Bagaimana manusia sebagai pengguna menggunakannya yang akan menentukan baik buruk kesan AI itu." Tidak salah jawapan sebegitu diutarakan, kerana semua perkara jika dinilai memang ada baik buruknya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pisau boleh memotong sayur, pisau boleh membunuh. Senapang boleh diguna memburu haiwan untuk dagingnya, senapang boleh diguna memburu manusia. Agama boleh memecah belah, agama boleh menyatukan. Semuanya terpulang kepada pengamalnya. 

Namun dua tiga bulan ini, laporan media tentang isu janaan gambar kurang senonoh atau pornografi hasil AI diguna untuk tujuan jahat semakin kerap kedengaran. Dalam membicarakan isu ini, ada banyak dilema yang sebenarnya wujud dalam membicarakan aspek etika dan moralnya. 

Malangnya aspek-aspek sebegini jarang mendapat tempat, walaupun secara statistiknya menurut laman web tertentu, rakyat Malaysia merupakan pengunjung utama laman lucah mereka jika dibandingkan dengan negara Asia lain.

1. Gambar tidak elok boleh diguna untuk mengugut pihak lain

ugut wanita edar gambar

Anda mungkin tahu anda tidak pernah mengambil gambar sendiri dalam keadaan kurang sopan. 

Tetapi dalam kebanyakan kes yang sudah dilaporkan, penjahat sudah nampak mula berani menggunakan taktik mengirimkan kepada tuan punya badan sendiri gambar mereka yang dijana AI untuk bermacam tujuan yang berbeza.

Apa yang akan anda lakukan sekiranya seseorang yang tidak anda kenali mengirimkan kepada anda gambar anda tanpa seurat benang pun, tanpa ada apa-apa permintaan. Adakah anda akan mendiamkan diri? Melakukan laporan polis? Mengeluarkan video memperjelaskan apa yang sedang berlaku tanpa disuruh? 

Dilema ini pasti akan muncul secara lebih besar tak lama lagi, disebabkan perkembangan teknologi AI yang pesat dan bersifat terbuka. Minat masyarakat dunia terhadap AI yang mempunyai kemampuan mencipta imej, visual atau video tidak elok sudah lama diketahui kita. 

Jadi seandainya anda terpaksa berhadapan situasi ini di masa akan datang, apa akan anda lakukan?

2. Revenge porn palsu akan berleluasa

bahaya ai dalam penciptaan video palsu

Anda pernah mendengar tentang revenge porn?

Istilah ini mewakili kaedah yang digunakan segelintir individu, menyebarkan gambar bekas pasangan lama untuk membalas dendam akibat masalah atau isu yang menyumbang kepada perpisahan mereka.

Isu ini merupakan satu masalah yang besar di negara-negara maju dan kami yakin turut berlaku di Malaysia, cuma mangsa dan media kita jarang mahu melaporkannya secara terbuka. Semua kes sebelum ini biasanya dibuat berdasarkan bahan-bahan rakaman ketelanjuran, yang dilakukan semasa pasangan itu masih bercinta.

Dengan kemampuan AI, kes-kes sebegini tatkala ini sudah masuk ke tahap seterusnya di mana seseorang mangsa boleh berhadapan situasi sama - hanya dengan imej atau visual janaan AI semata-mata.

Apa yang menakutkan dalam kes direkodkan, kebanyakan mangsa (biasanya wanita) tidak tahu pun siapa yang mencipta atau menjana imej mereka. Cubaan untuk memadamkan imej palsu itu juga biasanya berdepan jalan buntu kerana pasti akan ada saja laman web lain yang memuatnaik gambar sama tanpa peduli cerita disebaliknya.

3. Masyarakat akan jadi sangsi antara satu sama lain

algoritma pengesan muka

Anda pernah ada kenalan atau saudara-mara yang pernah menjadi mangsa visual kurang elok mereka disiarkan tanpa kebenaran, ke internet?

Bagi mereka yang pernah berhadapan dengan situasi sebegitu, pengalaman yang mereka lalui harus kita akui memang sukar - walaupun apa yang berlaku adalah atas kecuaian atau kesilapan mereka sendiri.

Walaupun begitu di masa depan seandainya ada tersebar visual kenalan anda dan dia menafikan sekeras-kerasnya itu dia sebaliknya dia menyalahkan AI dan pihak tidak bertanggungjawab, pasti sukar untuk kita menentukan siapa yang bercakap benar.

Situasi sebegini boleh diburukkan lagi, sekiranya...

4. Sextortion bakal jadi lebih berleluasa

reveng porn bahaya

Revenge porn berlaku biasanya di antara dua bekas pasangan yang berpisah dalam pengakhiran yang kurang menyenangkan. Satu lagi kategori ugutan yang sudah berlaku dan diramal bakal menjadi lebih ketara akibat AI, adalah sextortion.

Sextortion adalah taktik ugutan yang dibuat oleh seseorang kepada seseorang yang lain dengan menjadikan bahan-bahan kurang enak mangsa sebagai timbang tara. 

Tujuannya dibuat boleh datang dalam pelbagai perisa; sama ada untuk mendapatkan bayaran wang, sengaja mencari pasal atau mungkin juga sekadar hobi gemar melihat orang lain susah.

Dan gambar-gambar itu boleh digunakan dalam pelbagai cara demi memenuhi niat jahat mereka.

5. Garis pemisah fantasi dengan realiti semakin kabur

deepfake tom cruise tik tok

Sebelum ini, penghasilan video-video palsu merupakan satu kemahiran yang memerlukan seseorang yang benar-benar pakar melakukannya bagi mendapatkan hasil yang baik. 

Dengan AI, apa yang dulunya memerlukan sentuhan pakar - kini boleh dilakukan dengan menggunakan telefon pintar, akaun dan mungkin juga sedikit perbelanjaan wang ringgit.

Pendokong teknologi AI tidak salah dalam mengatakan penyalahgunaan AI yang sedang berlaku, haruslah tidaklah menghalang AI daripada terus diangkat menjadi satu cabang teknologi baru bersifat perdana. Namun kita juga harus cakna tentang risikonya, kerana dengan AI - sesiapa saja boleh mengakses kemudahan serupa.

Berdasarkan kajian, servis bagi menghasilkan video pornografi palsu selama 5 minit di mana wajah seseorang ditampalkan ke badan video pelakon lain hanya memerlukan kos bayaran sebanyak $65 (RM288.50).

Walaupun usaha untuk mendakwa dan menutup penawaran servis sebegini dapat dilakukan, tidak susah untuk individu sama membuka semula tawaran lain dengan pakej sama di bawah nama perniagaan berbeza.




Hakcipta iluminasi.com (2017)