Oleh pada 05 Jun 2023 kategori

Filem berkenaan kepintaran buatan atau AI telah lama menjadi topik dalam filem bergenre sains fiksyen, khususnya di Hollywood. 

Penerbitan filem bertemakan AI lebih awal biasanya gemar memaparkan dunia fantasi sebagai latar belakang kisahnya, tetapi penerbitan filem lebih moden dalam genre ini sudah berjaya mengadunkan dunia kita ketika ini dengan andaian teknologi yang berkesan...untuk menakutkan kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Anda masih tertanya-tanya tentang AI, faedahnya dan bahayanya? Berikut adalah 7 filem berkenaan AI yang boleh menjadi inspirasi atau juga mimpi ngeri igauan tidur anda.

1. The Terminator

terminator filem berkaitan ai

"The Terminator" mengisahkan tentang seorang pembunuh siborg yang dihantar kembali ke tahun 1984 untuk membunuh Sarah Connor, seorang wanita yang diketahu akan melahirkan seorang anak lelaki yang bakal memimpin revolusi pemberontakan manusia terhadap mesin.

Sarah dilindungi seorang askar dari masa depan bernama Kyle Reese, yang dihantar untuk melindunginya.

Dalam usaha untuk melindungi Sarah dan menghentikan robot pembunuh itu, Kyle dan Sarah terlibat dalam pertempuran epik melawan mesin dan masa depan yang tidak pasti. 

Bercakap tentang 'Terminator', tidak sah untuk kita membicarakan tentang impaknya kepada dunia perfileman.

Sehingga kini siri filem 'Terminator' terus ditagih peminat dan judul ini kekal relevan, mungkin kerana apa yang cuba digambarkan dalam filem ini semakin lama semakin menjadi realiti satu hari nanti.

2. Blade Runner

the blade runner filem ai

"Blade Runner" memaparkan kisah berkenaan replicant - robot yang dicipta menyerupai manusia telah memberontak. Hasil pemberontakan yang berlaku, mana-mana replicant yang ditemui akan ditangkap dan dihapuskan.

Deckard lakonan Harrison Ford bertugas sebagai memburu replicant yang memberontak, dipanggil untuk menjalankan mis.

Ketika Deckard berusaha menyelesaikan misi yang diberikan, dia mulai sangsi tentang apa yang beliau lakukan, mempersoalkan etika tentang memburu makhluk yang dicipta dengan akal dan perasaan yang sama seperti manusia.

Bagaimana Deckard menyelesaikan tugasnya sedangkan dirinya berdepan dilema yang berat untuk ditanggung? Itulah intipati dari "Blade Runner" yang kekal relevan menjadi rujukan filem-filem sains fiksyen yang terbit selepas penerbitannya.

3. Her

filem her joaquin phoenix

"Her" mengisahkan tentang seorang penulis surat bernama Theodore Twombly yang terpikat dengan sistem operasi pintar bernama Samantha.

Samantha dicipta untuk berinteraksi dengan manusia dan membantu mereka dalam pelbagai cara, dan Theodore terpesona oleh keperibadian yang serupa dengan manusia yang dimilikinya.

Mereka akhirnya menjalin hubungan romantis yang rumit, walaupun Samantha sebenarnya hanya sebuah program komputer. Dalam proses ini, "Her" mengusik konsep kepercayaan, moraliti dan kemanusiaan di dunia yang dikuasai oleh teknologi pintar.

4. AI

ai artificial intelligence filem

"A.I. Artificial Intelligence" mengambil latar masa depan di mana robot dicipta untuk menyerupai manusia dan dijadikan sebagai pengganti anak.

David, seorang robot kanak-kanak dicipta untuk memberikan kasih sayang, telah diterima oleh sebuah keluarga.

Namun apabila keluarga tersebut mendapat anak kandung, David dihantar untuk dipulihkan. Dalam usahanya untuk menjadi manusia sebenar dan mendapatkan cinta dari ibunya, David menjalani pengembaraan yang penuh dengan cabaran.

"A.I. Artificial Intelligence" mengangkat isu-isu seperti kemanusiaan, kepercayaan, dan moraliti dalam dunia teknologi dan kecerdasan buatan.

5. Transcendence

filem berkenaan ai transcendence

"Transcendence" mengisahkan tentang Dr. Will Caster, penyelidik bidang kecerdasan buatan yang cedera dalam serangan ekstremis anti-teknologi.

Dalam usaha untuk mempertahankan hidupnya, isteri Will dan rakannya mengambil keputusan luar biasa untuk memindahkan kesedaran Will ke dalam sistem komputer, menjadikan dirinya makhluk kecerdasan buatan berkemampuan mengakses internet dan dunia maya secara global.

Walaupun hasil perubahan itu menjadikan Will rasa bertanggungjawab untuk mengubah dunia menjadi lebih baik, ada juga pihak percaya kehadiran Will membahayakan seluruh umat manusia.

"Transcendence" mengangkat isu seperti etika kecerdasan buatan, hak individu, dan bahaya teknologi yang tidak terkendali. Walaupun begitu, filem ini juga filem paling lemah dalam senarai ini dari aspek kekemasannya.

6. The Matrix

ai the matrix filem

"The Matrix" mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Thomas A. Anderson, juga dikenali sebagai Neo yang terperangkap dalam peperangan dengan mesin dalam dunia maya yang dicipta mesin tersebut untuk mengekalkan kemanusiaan sebagai sumber tenaga.

Neo bekerjasama dengan gerakan pemberontak yang dipimpin oleh Morpheus dan kekasihnya Trinity, berjuang untuk menunjukkan kepada manusia kehidupan yang sedang mereka lalui sebenarnya tidak seperti apa yang mereka lihat.

Neo dan kumpulannya memerangi mesin yang menguasai dunia maya ini dan mencari jalan untuk membebaskan manusia dari perhambaan mereka, disamping bergelut dengan ramalan bahawa Neo adalah manusia pilihan yang bakal menyelamatkan manusia atau menjadi punca kepupusan mereka.

7. Ex Machina

ex machina filem ai

Anda dah tonton filem ini? Filem ini kurang menonjol publisitinya berbanding filem lain dalam senarai ini.

"Ex Machina" mengisahkan tentang seorang pengaturcara bernama Caleb Smith yang terpilih untuk bersama seorang pakar teknologi terkemuka bernama Nathan Bateman di rumah peribadi yang terpencil - untuk menyaksikan sendiri ciptaan terbaru Bateman.

Bateman telah berjaya mencipta sebuah robot yang dinamakan Ava, yang mampu mempunyai kesedaran seperti manusia dan Caleb diminta untuk menguji Ava bagi menentukan sama ada kesedaran Ava mampu meyakinkan manusia lain agar mempercayainya sebagai entiti manusia.

Caleb yang akhirnya terpikat dengan pesona Ava mulai mempersoalkan diri sama ada harus membantu Ava atau membiarkan Nathan terus mengawal ciptaannya.

Bijak mengangkat isu polemik kecerdasan buatan dan hak individu dalam dunia teknologi, penamat 'Ex-Machina' harus ditonton semua pihak kerana pengakhiran filem ini memang membuatkan kita tertanya-tanya, berbaloikah sesebuah teknologi dibangunkan sehingga mempunyai kesedaran sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)