Pemimpin-pemimpin kerajaan khasnya di negara kita selalu menyebut tentang terma yang dikatakan sebagai 'Industrial Revolution 4.0' atau 'revolusi industri 4.0' dalam menceritakan berkenaan langkah-langkah yang akan diambil negara, dalam menyediakan prasaranan serta fasiliti yang lebih mampan di masa depan.
Revolusi Industri 4.0 atau RI4.0 sedap didengari serta kelihatan kompleks apabila diturutkan, namun sekadar mengetahui termanya saja tidak mencukupi. Sepatutnya setiap seorang rakyat Malaysia patut sekurang-kurangnya mengetahui secara asas apa sebenarnya yang terkandung dalam RI4.0 ini, bagi memberi peluang kepada kita mempersiapkan diri kelak.
BESARKAN TEKS A- A+
Persoalannya - apa itu Revolusi Industri 4.0 yang semakin popular ini?
Asas Revolusi Industri 4.0 ini adalah satu visi matlamat jangka panjang melibatkan bukan saja pihak kerajaan kita, malahan melibatkan kerjasama semua kerajaan dan syarikat-syarikat di dunia dalam membangunkan satu acuan atau rujukan yang jelas - sebagai panduan untuk menjalinkan aset-aset berbentuk fizikal yang digunakan dalam industri, digabungkan dengan teknologi bersifat digital.
Penggabungan ini sekiranya berjaya, akan mewujudkan kondisi industri yang menggunakan sistem yang dilabelkan sebagai 'sistem siber-fizikal' atau 'cyber-physical system' - dalam memacu perkembangan teknologi dunia.
Sistem siber-fizikal akan menjadi batu asas kepada semua pembentukan industri masa akan datang, di mana sistem itu akan dipecahkan kepada empat komponen peringkat bergantung kepada tahap teknologi yang telah berjaya dibangunkan ketika itu.
Empat peringkat Revolusi Industri 4.0
Tahap kematangan sesebuah industri, sistem sosial, masyarakat malahan sistem pentadbiran pada masa akan datang diukur melalui empat tahap dan peringkat berbeza. Peringkat pertama adalah peringkat yang dinamakan sebagai 'Peringkat 1 - Tengok' di mana usaha untuk mengumpulkan maklumat berkenaan tabiat orang ramai menggunakan sensor dan monitor, yang kemudiannya akan diterjemahkan kepada bentuk-bentuk data besar atau 'Big Data.'
Tahap kedua RI4.0 pula dinamakan sebagai 'Peringkat 2 - Fahami', di mana masyarakat perlu dilatih secara kognitif untuk mempunyai kemampuan menafsir maklumat yang telah dikumpulkan, untuk menukarkannya menjadi pengetahuan baru.
'Peringkat 3 - Persediaan' adalah langkah selanjutnya selepas peringkat 2, di mana industri mula mempunyai sistem digital yang mampu meramal sesuatu dalam skop tugasannya. Informasi yang telah ditafsir menjadi pengetahuan, pada peringkat ini akan digunakan untuk meramal sesuatu, bagi membolehkan persediaan dilakukan dengan bantuan 'kepintaran buatan.'
Sesebuah sistem itu akan dianggap matang apabila mereka berjaya mencapai tahap ke empat, yang dilabelkan sebagai 'Peringkat 4 - Laksana Automasi.' Dalam peringkat ini, mesin yang sudah mampu meramal akan bertindak melaksanakan sesuatu keperluan dengan bentuk pandu sendiri, serta mampu membetulkan ralat tanpa campur tangan yang banyak daripada manusia. Informasi yang telah disimpan pada tahap ini bukan saja sekadar mampu meramal sesuatu, malahan mampu membolehkan mesin bertindak balas dalam menyelesaikan sendiri isu yang perlu diselesaikan.
Setelah melalui kesemua peringkat inilah, baru sesebuah industri, masyarakat dan negara layak diiktiraf telah berjaya melaksanakan sistem siber-fizikal sepenuhnya.
Komponen terpenting dalam Revolusi Industri 4.0
Sehingga kini, belum ada lagi definisi tetap dalam mentakrifkan komponen-komponen yang terkandung dalam RI4.0. Ini kerana sifat RI4.0 itu sendiri berubah-ubah seiring dengan zaman dan teknologi yang berjaya dibangunkan. Jadi komponen-komponen RI4.0 boleh bertambah atau berkurangan secara sendiri.
Bagaimanapun, tiga orang penyelidik daripada Universiti Teknikal Dortmund telah pun menerbitkan satu reviu berkenaan komponen-komponen terpenting RI4.0 setakat ini. Dengan merujuk kepada penerbitan penyelidikan hasil tulisan penggiat industri, mereka berjaya meletakkan 8 komponen terpenting dalam RI4.0, dengan salah satunya adalah visiterbesar RI4.0 sendiri iaitu 'cyber-physical system' atau CPS.
Tujuh lagi komponen RI4.0 adalah Internet of Things (IOT), Smart Factory, Internet of Service (IOS), Smart Product, Machine-to-Machine (M2M), Big Data dan Cloud. Tiga yang terpenting adalah IOT, Smart Factory dan IOS.
Secara ringkas, IoT adalah teknologi di mana objek fizikal seperti telefon pintar dapat berhubung dengan perkakasan lain di sekitarnya, menggunakan sensor-sensor yang dipasang serta berkomunikasi dengan manusia dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang ada.
Smart Factory atau Kilang Pintar merupakan visi di mana sebuah kilang mampu beroperasi dalam kedua-dua keadaan virtual secara digital dan juga secara fizikal, dengan menggunakan sistem kawalan yang mengawal operasi secara senyap. Sebuah kilang pintar RI4.0 harus mencapai apa yang dikatakan sebagai 'Calm-system' atau 'sistem tenang' di mana sistem yang telah berjaya dibangunkan, mampu mengenalpasti solusi yang harus dilaksanakan dalam semua situasi.
Internet of Services pula adalah konsep di mana sesuatu peranti yang telah kita gunakan perlu mempunyai kesinambungan yang memudahkan kita beralih kepada peranti lain. Dengan membina apa yang didefinisikan sebagai 'wrapper', data dan informasi yang telah disimpan sekian lama oleh pengguna dapat dipindahkan ke peranti lain bagi membolehkan penggunaan secara terus dapat dilakukan.
Kita akan jadi apa di masa depan?
Begitulah serba sedikit apa yang dapat kami kongsikan berkenaan Revolusi Industri 4.0. Sekiranya anda tanya pada kami di mana kita dalam peringkat RI4.0 ini, sukar untuk kami berikan anda jawapan yang muktamad. Kita masih lagi bergantung harap kepada bentuk pekerjaan bersifat manual yang memerlukan tenaga pekerja.
Kita juga sangat bergantung dengan teknologi luar yang masuk dalam membantu kita mendekati RI4.0 berikutan kekurangan usaha membangunkan sendiri teknologi yang seiring dengan keperluan RI4.0.
Satu persoalan yang kerap penulis fikirkan berkenaan RI4.0 ini adalah betapa besarnya kepentingan informasi dan data kepada manusia pada zaman akan datang. Cabarannya adalah, adakah kita akan jadi pengumpul dan pelaksana informasi - atau hanya sekadar menjadi informasi dan maklumat yang dikutip, untuk disasarkan?
Rujukan