Laporan menyatakan robot, automasi dan kepintaran buatan akan mengambil alih tugas dan pekerjaan kita memang menakutkan, namun perlukah kita berasa bimbang?

Semua itu sebenarnya bergantung dengan bagaimana persepsi kita tentang teknologi; adakah kita seorang optimis atau pesimis? Ada sebuah kisah tentang sebuah keluarga dengan nama Snewing, yang tinggal di Liverpool selama hampir 4 dekad. Mereka menjadikan perniagaan pelapik kuda berasaskan kulit sebagai satu pendapatan lumayan, dipacu oleh keperluan penggunaan kuda sebagai satu bentuk pengangkutan penting.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, kemunculan kereta yang menggunakan enjin dan mampu bergerak sendiri, mengganggu perniagaan mereka serta beberapa peniaga lain yang berkongsi model perniagaan sama. Beberapa pengusaha lain mula mengubah model perniagaan, mengusahakan produk berasaskan kulit lain seperti pembuatan bola, tas tangan dan bagasi namun bagi keluarga Snewing, mereka cekal meneruskan perniagaan tradisi mereka dan terus dengan penghasilan pelapik kuda.

Tidak lama kemudian, perniagaan mereka terpaksa ditutup kerana tidak lagi mendapat sambutan.

KIsah ini hanyalah satu kisah ringkas yang membuktikan apabila sesebuah teknologi itu hadir - kita hanya boleh beradaptasi atau kita yang akan menjadi korban. Walaupun begitu, keluarga Snewing tidak berhadapan dengan satu cabaran yang hanya kita hadapi sekarang dalam zaman moden; perkembangan teknologi yang berlaku terlalu pantas.

Algoritma mengambil alih tugas manusia

robot yang dipasang dikilang

Pada zaman sekarang, algoritma komputer menjalankan urusan bernilai trilion dollar dalam industri kewangan. Kepintaran buatan dan mesin layan diri mula menggantikan individu yang bekerja sebagai operator di pusat panggilan.

Diramalkan tidak lama lagi kapal terbang dan kereta pun mampu bergerak secara automasi, menutup peluang pekerjaan pada juruterbang yang selama ini dipandang tinggi dan pemandu-pemandu teksi yang hidupnya memandu dari awal pagi. Robot sudahpun menggantikan manusia dalam banyak perkara berulang yang perlu dilakukan di kilang-kilang, hampir berdekad lamanya.

Namun kini robot sudah mampu menggoreng daging burger dengan sempurna, mengasingkan tomato mengikut kualiti dan menyusun batu-bata. Rumah diperbuat konkrit kini sudah mampu disiapkan menggunakan teknologi cetakan tiga dimensi bersaiz besar,  masa singkat sahaja diperlukan bagi tujuan pembinaan rumah tersebut.

The International Federation of Robotics mengumumkan dalam sektor pembuatan sudah ada 74 unit robot untuk setiap 10 ribu orang pekerja secara purata, berbanding 66 unit pada tahun 2015. Kenaikan paling tinggi berlaku di Asia, dengan China mencatatkan peningkatan paling ketara.

Mesin pekerja yang lebih efisien berbanding manusia

operator telefon bakal pupus

Automasi untuk perisian yang dipacu oleh keupayaan belajar mesin dan kepintaran buatan memang akan memberi impak besar pada status pekerjaan kita satu hari nanti.

Kepintaran buatan dikenal pasti bakal memberi kesan paling besar pada pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran tinggi. Itu pandangan yang dikongsikan Bernard Louvat, sebuah firma teknologi bernama Nuance. Menurut Bernard, manusia belum bersedia untuk menghadapi masalah yang bakal muncul.

Beliau meramalkan kesemua operator pusat panggilan akan pupus dalam tempoh 10 tahun lagi, kerana sebuah operator maya mampu mengendalikan hampir 80% panggilan yang masuk ketika ini, berbanding 5 tahun lalu yang hanya pada kadar 30%. Operator maya menurut beliau, adalah bukti keperluan untuk mengambil pekerja manusia semakin lama semakin berkurangan tahun demi tahun kerana kebolehan mesin mempelajari sesuatu semakin tinggi.

Syarikat telekomunikasi gergasi seperti AT&T ketika ini mengambil hampir 100,000 orang pekerja sebagai operator untuk mengawasi 120 juta pelanggan. Sekiranya pertukaran tenaga kerja berlaku, banyak pekerja hilang pekerjaan dalam tempoh waktu yang singkat.

Yang lebih menggerunkan, faedah positif yang bakal dimiliki AT&T terlalu besar atas pengorbanan ini. Kos yang dijimatkan membuktikan penggunaan teknologi lebih berbaloi dalam jangka masa singkat dan panjang, sementara tahap kepuasan pelanggan yang menelefon pun dilaporkan lebih tinggi bila komputer yang mengambil laporan, berbanding operator manusia.

Keperluan untuk adaptasi pantas zaman global

ilustrasi mesin ambil alih tugas manusia

Sebuah laporan oleh McKinsey Global Institute menyatakan 2 per 3 daripada kesemua jenis pekerjaan akan mengalami automasi dalam kadar sekurang-kurangnya 30 peratus pada tahun 2030. Ini bakal memberi kesan kepada 800 juta individu pekerja.

Walaupun begitu, laporan tersebut juga menyatakan dengan pengenalan teknologi ini, banyak jawatan baru akan diwujudkan. Revolusi Industri yang berlaku pada hujung abad ke 17, menyaksikan berlakunya pengenalan penggunaan mesin menggantikan pekerja tradisional dalam pelbagai industri.

Pertanian sebagai contoh yang menjadi punca pekerjaan 50 peratus penduduk Eropah, kini hanya tinggal 5 peratus tenaga kerja manusia. Perubahan mendadak itu pasti sukar diterima bagi yang tidak berjaya mengadaptasi diri, tetapi kebaikannya pelbagai jenis pekerjaan baru muncul kerana pertukaran itu menggantikan jawatan petani yang digantikan mesin.

Pada era sekarang, berlaku perubahan mendadak dalam ekonomi dunia. Sepanjang 30 tahun lalu, kita telah melihat adaptasi kepada ekonomi digital, kebangkitan penggunaan internet dan globalisasi komunikasi. Walaupun berlaku perubahan besar pada dunia, data daripada Bank Dunia menunjukkan jumlah pengangguran secara global sebenarnya menurun daripada 6.1% pada 1991 kepada 5.8% pada 2017, meskipun populasi dunia meningkat daripada 5.4 billion kepada 7.6 billion dalam tempoh tersebut.

Apa yang digelarkan sebagai 'automasi proses robotik' atau robotic process automation (RPA) akan mengambil alih kerja berulang-ulang seperti kemasukan data atau pengurusan gaji bulanan. Semua itu dianggap sebagai satu bentuk evolusi kepada pekerjaan, bukannya sesuatu proses yang sebenarnya yang mengambil alih pekerjaan. Ini dapat melahirkan pekerja-pekerja yang diperlukan dalam tugas yang lebih kreatif, berbanding sebelumnya.

Pesimis atau optimis?

isteri diganti dengan robot 127

Bagi Mary McDowell daripada syarikat penyelia konferensi video Polycom, beliau dapat melihat bagaimana kepintaran buatan akan mengambil alih tugas-tugas penting dalam syarikatnya. Penggunaan sistem pengenalan wajah untuk mengenal pasti siapa yang sedang bercakap serta satu sistem yang mampu memaparkan dokumen mengandungi statistik yang diperlukan ketika pembentangan sedang dibuat secara automatik, merupakan antara automasi yang diramalkan terjadi.

Mesyuarat atau pembentangan akan fokus sepenuhnya tentang pembentangan idea, tanpa perlu pembentang mengalihkan fokus kepada pertukaran slaid. Kelancaran pembentangan tidak lagi akan terganggu hanya kerana pembentang lain perlu bercakap. Semuanya akan jadi lebih lancar.

Golongan-golongan yang mempunyai pandangan optimis tentang pertukaran tenaga kerja ini tetap mengakui akan ada banyak pekerjaan yang memerlukan kemahiran rendah akan hilang digantikan mesin atau kepintaran buatan, jadi orang ramai perlu berusaha memiliki kemahiran baru untuk kekal relevan.

Individu pada masa depan tidak lagi boleh bergantung dengan kemahiran yang ada ketika ini, jadi seseorang itu perlu mempunyai kemahiran lain. Sistem pendidikan juga perlu ditambah baik, kerana pelajar perlu dididik untuk belajar tentang kemahiran berfikir, kebolehan mereka cipta, memupuk kreativiti, kebolehan analisa dan pengaturcaraan.

Penyelidikan yang dilakukan di United Kingdom mendapati permintaan untuk pakar dalam bidang kepintaran buatan meningkat tiga kali ganda berbanding sebelumnya. Ini membuktikan, memang benar teknologi akan mengambil alih pekerjaan manusia, tetapi pasti akan wujud peluang lain baru dibuka, jawatan-jawatan baru yang tidak pernah dianggap relevan sebelum ini. Yang penting kita perlu adaptasi.

Pastikanlah kita tidak terus berniaga pelapik kuda, ketika kereta dah mula banyak di atas jalan raya.


Artikel ini adalah terjemahan artikel asal 'How to cope when the bots take your job' tulisan Matthew Wall yang diterbitkan pada 16 Mac 2018.




Hakcipta iluminasi.com (2017)