Oleh pada 03 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Iqram Dinzly & Instagram Johan As'ari

Aktor Johan As'ari terkejut apabila videonya menari bersama Iqram Dinzly kecoh di kalangan netizen serta disalah tafsir.

Johan berkata, dia berjumpa Iqram di kediaman beliau di Ipoh, Perak kerana ingin menyapa khabar dan melawat sahabatnya yang menjadi tular itu.

"Rancangan saya pada awalnya untuk berjumpa Datuk Ustaz Kazim Elias di Ipoh, jadi dalam kesempatan itu saya singgah berjumpa dengan Iqram di rumahnya.

"Saya menari suka-suka sahaja untuk hiburkan Iqram dan saya sedar tentang rakaman secara langsung itu. Saya minta maaf dan tidak sangka pula orang salah tafsir sehingga menjadi tular," katanya memetik portal Mstar Online.

Isnin lalu, video secara langsung Johan dan Iqram menari menjadi tumpuan serta mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Dalam pada itu, Johan turut berkata, orang ramai haruslah memberi masa buat Iqram kerana tekanan dan masalah peribadi yang dihadapinya.

"Bagi saya dia okey sebenarnya, cuma perlu beri sedikit masa kerana ibunya yang masih dalam edah akibat kematian suami," ujarnya.

Pada masa sama, Johan turut membawa Iqram bertemu dengan Ustaz Kazim di kediaman pendakwah terkenal itu.

Kata Johan, dia bakal menuntut ilmu di madrasah kendalian Ustaz Kazim sejurus selesainya penggambaran sebuah drama.

"Saya menziarah Ustaz Kazim dan berniat untuk belajar dengan beliau selepas selesai penggambaran drama terbaru saya yang bermula 8 Januari ini," katanya.

Sumber berita: Mstar 




Hakcipta iluminasi.com (2017)