Kredit foto: Instagram Johan As'ari
Aktor, Johan As'ari, kecewa dengan tindakan seorang penceramah bebas menyelar rakannya, Iqram Dinzly secara terbuka, berhubung isu gelaran 'Che Mat' terhadap Nabi Muhammad SAW.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Instagram, Johan berkata, dia tidak reda apabila Iqram dituduh hanya berdasarkan fitnah yang didengar.
"Saya ada terbuka Youtube di mana saya ternampak seorang ustaz (yang saya tidak tahu siapa namanya) menuduh sahabat baik saya, Iqram di mana beliau percayakan satu fitnah (yang saya tahu datang dari mana datang sumber itu).
"Saya berharap ustaz terbabit datang berjumpa dengan saya atau saya tak reda ustaz menilai Iqram dengan secara begitu," katanya.
Terdahulu, Iqram ditemubual dalam rancangan siaran langsung Melodi untuk segmen baharu, Cerita Sini Habis Sini.
Dalam wawancara bersama penerbit Michelle Wee itu, Iqram menggelarkan Nabi Muhammad SAW sebagai Che Mat, lantas menerima kecaman hebat daripada netizen kerana tindakannya yang dianggap melampau.
Malah seorang ustaz menganggap gelaran yang diberikan pelakon itu adalah penghinaan terhadap Nabi Muhammad.
Perkara itu membuatkan Johan, 33, berasa sedih dengan cara pemikiran pendakwah yang mengkritik Iqram.
"Kata-kata keras ustaz tersebut telah mendapat puluhan ribu tontonan di Youtube yang saya sebagai umat Nabi Muhammad berasa amat bersedih hati dengan cara ustaz tersebut berfikir.
"Mufti sendiri beritahu penggunaan istilah 'Che Mat' yang digelarkan kepada Baginda Rasulullah adalah satu 'dosa besar' malah cara penyampaian mufti cukup lembut dan bersahaja," tulisnya.
Sementara itu, Johan berkata, dia yakin Iqram tidak mempunyai niat mempersendakan agama sebagaimana yang didakwa ramai.
"Saya percaya abang saya, Iqram jelas akan ketidaksengajaan beliau tersasul kata pada siaran langsung Melodi di TV3 tempoh hari dan telah memohon maaf," katanya.
Sumber berita: Mstar