Oleh pada 09 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Iqram Dinzly

Pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq Al-Asy'ary menyelar tindakan aktor Iqram Dinzly yang menggelarkan Nabi Muhammad SAW sebagai Che Mat dalam program Melodi yang bersiaran Ahad lalu.

Abu Syafiq menganggap gelaran yang diberikan pelakon itu sebagai satu penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

"Kita perlu berhati-hati memberi nama kepada Nabi Muhammad, Allah berfiman dalam Al-Quran, bahawa janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain).

"Itu perkara asas yang mana anak-anak kecil pun tahu tentang itu, bagaimana dia boleh bercakap di televisyen secara langsung dengan ditonton oleh semua masyarakat," katanya dalam tulisan di laman Facebook pada Isnin.

Iqram ditemubual dalam rancangan siaran langsung Melodi untuk segmen baharuĀ  Cerita Sini Habis Sini.

Dalam wawancara bersama penerbit Michelle Wee itu, Iqram meluahkan isi hati berhubung tuduhan yang mengatakan dia tidak waras selepas beraksi pelik di video Instagram Secara Langsung.

Sementara itu, Abu Syafiq berkata, perlakuan pelakon itu tidak wajar dipandang sepi oleh Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).

Tambahan pula, sebelum ini Iqram pernah menconteng kalimah Allah SWT di dahi yang turut dilihatnya seakan mempersendakan Islam.

"Sudah tiba masanya Jabatan Agama Islam Perak mengambil tindakan tegas terhadap pelakon ini. Jangan duduk senyap kerana Iqram sudah menghina nama Nabi secara umum," sarannya.

Dalam masa sama, dia turut berdoa agar Iqram mendapat hidayah serta bertaubat atas perbuatannya.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)