Kredit foto: Instagram Naim Daniel & Instagram Dayana Amerda
Penyanyi Naim Daniel kekal dengan pendirian supaya bekas kekasihnya, Dayana Emerda menghantar bukti menerusi kiriman emel berhubung hak cipta lagu Sumpah.
Naim, 23, berkata, dia sebelum ini pernah berhubung dengan ibu Dayana untuk bersemuka, namun permintaannya telah ditolak.
"Pihak Dayana nak buat sidang media pun tanpa pengetahuan saya dan pengurusan. Alhamdulillah, Allah permudahkan ada kenalan memberitahu saya tentang acara itu.
"Saya ada hubungi ibu dia untuk bertemu dan berbincang secara baik tetapi pihak sana yang tak nak sebab katanya nak selesaikan sidang media dahulu.
"Kalau permainan ini yang mereka pilih, saya okey dan tak pernah menghalang apa-apa. Tapi seperti yang saya katakan jika ada bukti, emel kepada saya.
"Wajar ke seseorang yang ingin menuntut sesuatu tetapi kita pula yang kena datang kepada dia?" kata Naim menurut laporan Mstar.
Beliau membuat kenyataan di sidang media pelancaran single Sembah yang berlangsung di Skyark Event Space, Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Terdahulu, selepas Sumpah diangkat juara di Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34), 9 Februari lalu, Dayana membuat tuntutan supaya ia didaftarkan sebagai karya bersama.
Sementara itu, Naim berkata, dia dan syarikat pengurusannya, WPW Entertainment mengalu-alukan sekiranya Dayana ingin menyelesaikan secara baik, apatah lagi beliau enggan perjalanan kariernya terganggu dek kemelut yang timbul serta ingin kekal dalam aura positif.
Kredit foto: Instagram Naim Daniel
"Senang sahaja, bagi segala bukti kalau dia nak selesaikan dengan cara elok sebabnya saya serta pengurusan saya memang berlapang dada.
"Insya-Allah, kalau dia tampil dengan bukti, pihak saya dan pengurusan akan berbincang dan kaji terlebih dahulu untuk melihat sama ada betul atau tidak.
"Barulah pihak pengurusan boleh mengambil tindakan selanjutnya. Tapi kalau mereka masih nak bermain dengan cara itu, terpulang.
"Daripada fikir isu itu, lebih baik saya fokus kepada orang yang saya perlu hargai iaitu peminat yang sentiasa menyokong dan mendoakan baik-baik," katanya.