Oleh pada 05 Dec 2019 kategori

Kredit foto: Instagram Nassier Wahab

   

Isteri penyanyi Allahyarham Datuk Nassier Wahab iaitu Datin Fatimah Abd Rauf mengimbas kembali detik permohonan maaf dibuat arwah terhadapnya pada Selasa lalu.

Fatimah, 56, bagaimanapun, tidak menyangka ia menjadi petanda arwah akan pergi buat selamanya pada pagi Khamis.

“Malam Selasa dia ada cakap dengan saya minta maaf kalau ada buat salah apa-apa tapi masa itu kita pun tak sangka dia nak pergi.

“Sebabnya sudah menjadi rutin biasa kami ulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan dan tambah darah, tapi rupanya pagi Khamis merupakan hari terakhirnya.

“Kita reda dan terima ketentuan Allah... saya mewakili arwah memohon maaf kalau ada salah silap dan ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan Abang Nassier,” katanya kepada Mstar.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Belah, Klang, Selangor anggaran jam 11.30 pagi tadi.

Rakan seperjuangannya yang hadir memberikan penghormatan terakhir termasuk Datuk Seri Shah Rezza, Datuk M. Nasir, Datuk Nash, Ramlah Ram, Zaiton Sameon, Rohana Jalil dan ramai lagi.

Terdahulu, pemilik nama Mohd Nasir Abd Wahab berusia 57 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya pada 12.45 pagi Khamis.

Dalam pada itu, Fatimah turut menceritakan momen terakhir mereka apabila beliau turut sama berada di sisi arwah yang ditahan di hospital.

   

nassier wahab meninggal 669

Kredit foto: Instagram Nassier Wahab

   

“Malam itu dia ditahan untuk tambah darah dan dalam pukul 11 malam semasa jururawat buat pemeriksaan mendapati dia suhu badannya sedikit tinggi.

“Lepas bagi ubat dia terus tidur... tapi selepas itu ada terbangun dan batuk-batuk sehingga nampak darah di bantal dan muntah teruk.

“Doktor beri bantuan kecemasan namun tiada sebarang tindak balas sehinggalah dia disahkan meninggal dunia,” katanya.

Difahamkan, Nassier sebelum ini menerima rawatan susulan melalui kaedah radioterapi dan kemoterapi selepas pembedahan dijalaninya pada 1 Jun lalu bagi membuang ketumbuhan pada rahang kiri akibat kanser gusi.

Bagaimanapun arwah selesai menjalani kemoterapi sejak sebulan lalu.

Penyanyi Memori Cinta Luka itu meninggalkan isterinya, Fatimah, bersama anak perempuan, Intan Najihah yang berusia 22 tahun.

   

Sumber berita: “Dia ada minta maaf... tapi masa tu tak sangka dia nak pergi” - Isteri tenang cerita perbualan akhir dengan Nassier Wahab

   




Hakcipta iluminasi.com (2017)