Google adalah salah satu syarikat teknologi terbesar dalam sejarah. Impaknya terhadap kehidupan seharian kita begitu besar sehingga perkataan "to google something" dimasukkan ke dalam Bahasa Inggeris sebagai kata kerja.
Hampir kebanyakan orang pada hari ini menggunakan perkataan "Google" seolah-olah ia menjadi pengganti kepada perkataan "search" atau "carian". Ia samalah seperti perkataan "Milo" atau "Maggi" di Malaysia yang merujuk kepada minuman koko dan mi segera kerana ia terlalu berpengaruh.
BESARKAN TEKS A- A+
Jika semua laman web unik di indeks Google dicetak, ia mampu menutupi seluruh Amerika dengan ketebalan lima helai kertas. Jika Google merupakan sebuah negara, ia akan menjadi negara ke-70 paling kaya di dunia.
Google akan menjadi lebih mengagumkan jika anda mengambil kira bahawa syarikat ini hanya wujud sejak tahun 1998 sahaja. Pengasas Google iaitu Larry Page dan Sergey Brin yang memulakan syarikat itu juga tidak menyangka betapa besar ia akan berkembang pada hari ini.
Google bermula pada bulan Januari 1996 sebagai projek penyelidikan oleh Larry Page dan Sergey Brin ketika mereka berdua merupakan pelajar PhD di Stanford University di Stanford, California.
Ketika itu, enjin carian konvensional yang ada menilai carian berdasarkan berapa kali istilah carian itu muncul di halaman. Page dan Brin mempunyai teori tentang sistem yang lebih baik dalam menganalisis hubungan sesama laman web.
Mereka menamakan algoritma ini sebagai PageRank. Ia menentukan pertalian laman web berdasarkan jumlah halaman dan kepentingan halaman yang dikaitkan semula ke laman asal.
Page dan Brin pada mulanya menamakan enjin carian baru ini sebagai "BackRub" kerana sistem semakan itu memeriksa pautan belakang (backlink) untuk menentukan kepentingan sesebuah laman.
Akhirnya, mereka menukar nama BackRub kepada Google. Namun, bagaimanakah mereka mendapat idea untuk menamakan syarikat mereka dengan nama "Google"?
Pada mulanya, Larry Page mahu menamakan syarikat dan enjin carian baru mereka sebagai "Googol". Googol adalah istilah matematik yang bermaksuk "10 kuasa 100".
Dengan kata lain, googol adalah 1 dengan 100 angka kosong di belakangnya. Penerangan ini mungkin tidak memberikan anda penuh betapa besarnya jumlah googol itu.
Sebagai contoh, dianggarkan terdapat sebanyak 10 kuasa 15 helai rambut di kepala setiap manusia di dunia, 10 kuasa 23 butir pasir di dunia dan 10 kuasa 82 zarah (atom) di seluruh alam semesta.
Jika anda mampu menghitung setiap atom yang wujud dalam alam semesta sekalipun, ia masih tidak melebihi jumlah googol.
Sebagai rujukan, ia sebenarnya masih kecil berbanding jumlah langkah yang boleh dilakukan dalam permainan catur iaitu 10 kuasa 120. Jika angka itu masih belum membuatkan anda pening kepala, anda boleh membuat carian apa itu "googolplex".
Perkataan googol ini dicipta oleh Milton Sirotta. Milton adalah kanak-kanak berusia 9 tahun yang juga anak saudara kepada ahli matematik Amerika, Edward Kasner. Apabila Kasner bertanya kepada Milton jika dia mempunyai idea untuk nombor 10 kuasa 100, kanak-kanak itu dengan berseloroh menjawab "googol".
Kemudian, Kasner mempopularkan konsep ini dalam bukunya berjudul Mathematics and the Imagination (1940). Bagi angka googolplex pula, Kasner mencadangkan bahawa ia boleh menjadi 10 kuasa googol. Menurut definasi Milton, ia adalah nombor 1 diikuti dengan menulis angka kosong di belakangnya sehingga anda letih.
Sergey Brin dan Larry Page
Googol tidak begitu penting dalam matematik tetapi ia berguna apabila membuat perbandingan mengenai sesuatu dalam kuantiti yang sangat besar seperti zarah dan kemungkinan hipotesis gerakan dalam catur.
Apabila Larry Page sedang mencari nama untuk syarikatnya, seorang rakannya bernama Sean Anderson telah mencadangkan nama Googolplex. Page menyukai idea tetapi ingin menggunakan nama yang lebih pendek sahaja iaitu Googol.
Page meminta Sean untuk memeriksa sama ada nama domain itu masih ada atau sudah diambil. Apabila Sean tersalah taip perkataan Google.com, Larry Page lebih menyukai nama domain itu dan memutuskan untuk menggunakannya. Maka, bermulalah legasi hebat Google Inc.
Walaupun pada waktu itu nama Google juga kedengaran sedikit lucu, ia adalah jauh lebih baik berbanding nama asalnya iaitu BackRub atau Googolplex. Kini, nama yang dicipta kanak-kanak berusia sembilan tahun dan kesalahan taip itu merupakan laman web paling banyak dikunjungi dalam sejarah.
Jika selepas ini seseorang bertanya kepada anda apakah maksud atau asal-usul perkataan Google, anda boleh menjawabnya dengan yakin.
Rujukan: