Sejak pertama kali ditubuhkan 20 tahun yang lalu, Google kini telah berkembang menjadi salah satu syarikat terbesar di dunia. Namun, fungsi utama Google dari dulu masih relevan dan kekal hingga ke hari ini. Setiap hari, ada sahaja perkara yang ingin di"google". Ada sebarang persoalan? Googlekan saja. Ada orang membuat carian Google berpuluh-puluh kali dalam sehari, malah ada yang lebih dahsyat sehingga beratus kali.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi sebuah produk yang sangat kerap digunakan, ada banyak lagi kebolehan dan keistimewaan Google yang anda mungkin tidak ketahui. Kami kongsikan beberapa panduan dan petua untuk membuat carian Google dengan lebih efektif:
1. Carian asas Google
Mungkin anda sudahpun tahu sebahagian atau kesemua panduan ini, namun kami sertakan bersama bagi mereka yang tidak begitu mahir.
Jika anda ingin membuat carian perkataan yang spesifik, seperti petikan kata-kata, buat carian menggunakan tanda petikan. (Contoh: "By increasing the good deeds we do, we will automatically have less time for bad deeds.")
Anda boleh mengetepikan keputusan carian dengan memasukkan perkataan khusus, cuma tambahkan simbol tolak (-) sebelum perkataan tersebut. (Contoh: "Mufti Ismail Menk -quotes")
Akhir sekali, anda juga boleh membuat carian khusus dari mana-mana laman web menggunakan format "site:iluminasi.com" atau apa sahaja laman web yang anda inginkan.
2. Carian reverse image
Carian imej Google merupakan satu alat yang sangat hebat untuk mencari gambar dalam talian. Tapi tahukah anda, anda juga boleh membuat carian menggunakan sebarang imej yang anda sudahpun ada? Misalnya, anda ingin mengetahui dari sumber manakah gambar tersebut diambil ataupun laman web manakah yang menggunakan gambar tersebut, anda hanya perlu klik butang kanan tetikus dan pilih "Search Google for Image."
Anda juga boleh memuat naik gambar tersebut melalui https://images.google.com/
3. Gunakan simbol asterisk bagi perkataan yang anda tidak ingati
Jika anda sedang mencari petikan ucapan atau teks namun anda tidak mengingati keseluruhan baris ayat, gantikan perkataan yang hilang itu dengan simbol asterisk (*). Kaedah ini akan memberitahu Google yang ada perkataan perlu digantikan di situ untuk mendapatkan keputusan carian yang lebih tepat. Cara yang sama boleh digunakan dengan lirik lagu atau tajuk berita yang anda ingat-ingat lupa.
4. Gunakan atau (OR) & dan (AND)
Penambahan perkataan AND atau OR dalam carian menggunakan huruf besar akan boleh membantu mengecilkan skop carian anda. Kaedah ini dipanggil Carian Boolean. Meletakkan AND di antara dua perkataan atau frasa carian akan membantu Google memaparkan keputusan menggunakan kedua-dua terma yang dimasukkan.
Manakala penggunaan OR akan memberitahu Google yang anda hanya mahu melihat keputusan pautan menggunakan salah satu atau kedua-dua terma carian.
5. Gunakan "related" untuk mencari keputusan pautan yang seakan-akan sama
Jika anda sedang melihat satu laman web spesifik atau artikel dan inginkan maklumat lanjut berkaitan subjek yang sama, tambahkan perkataan "related:" sebelum alamat laman web tersebut (contoh: "related:facebook.com")
6. Carian menggunakan julat nombor
Jika anda mencari keputusan carian nombor dalam julat yang khusus, ada cara mudah untuk melakukannya dengan Google. Hanya gunakan dua titik antara kedua-dua nombor. Ia boleh digunakan dengan nombor asas (1..10), tarikh (1950..1970), kewangan (RM500..RM1000) dan unit ukuran yang lain (40..50 liter)
7. Laman web 'tersembunyi'
Jika laman atau artikel yang anda cari sudahpun tiada dalam talian, anda masih boleh menggunakan Google untuk mendapatkannya. Selepas membuat carian, klik pada anak panah kecil berbentuk segi tiga di sebelah URL dan pilih "Cached". Anda akan dapat melihat versi laman web yang telah diarkibkan.
8. Cari keratan akhbar lama
Jika anda mencari artikel lama yang tidak pernah dimuat naik dalam talian, Google telah menyediakan laman berasingan khusus untuk tujuan itu. Hanya pergi ke https://news.google.com/newspapers untuk mencari keratan akhbar lama yang telah diimbas mengikut topik.
9. Carian jenis fail khusus
Anda juga boleh menggunakan Google untuk mencari fail mengikut jenis seperti PDF, fail audio ataupun Powerpoint. Cuma tambahkan "filetype:pdf" (atau apa saja sambungan fail yang anda inginkan) semasa membuat carian dan Google akan membantu anda mengecilkan skop keputusan carian secara automatik.
10. Widget carian Google
Google telah menambahkan berpuluh-puluh alatan berguna untuk mempamerkan terus maklumat yang diperlukan di halaman keputusan itu sendiri. Sebagai contoh, anda boleh taip "cuaca Kuala Lumpur" (atau mana-mana lokasi yang anda inginkan) untuk mendapatkan ramalan cuaca terkini.
Anda juga boleh bertanyakan pada Google tentang harga saham, skor sukan, waktu matahari terbit dan terbenam, definisi atau terjemahan perkataan, waktu tayangan filem, tukaran mata wang asing dan juga alamat IP anda. Selain itu, Google juga mempunyai widget tersendiri untuk mencari tiket kapal terbang, mengira menggunakan kalkulator, jam randik dan pengira detik.
Tidak dinafikan, hidup manusia kini sememangnya begitu mudah dengan kewujudan Google. Namun, harus diingatkan, jika anda mengalami sebarang masalah kesihatan, jangan sesekali mendiagnosis diri sendiri berdasarkan simptom yang diberikan Dr. Google. Pergilah berjumpa doktor sendiri untuk mendapatkan kepastian. Jangan sampai anda terkena penyakit Cyberchondria akibat terlalu mempercayai Dr. Google.