Kredit: Instagram @_chefwan58
Baru-baru ini, chef selebriti Datuk Chef Wan menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki penyanyi Dato' Sheila Majid yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby.
Turut membawa ibunya bersama, beliau berkongsi kisah menarik apabila permata hatinya itu mengambil peluang untuk menari sedikit mengikut rentak lagu yang dimainkan pada malam itu.
"Pesakit demensia dan Alzheimer seperti ibu saya mempunyai sikap tidak ambil peduli dan berada di dalam dunianya sendiri.
"Oleh kerana itu, dia berkeinginan untuk berjoget apabila mendengar muzik," jelasnya.
Menurutnya, disebalik jadual yang padat, kesanggupan membawa ibunya ke pelbagai tempat dipuji oleh salah seorang rakannya di majlis tersebut.
"Baguslah anda mahu bawa si ibu ke majlis sebegini dan tempat lain. Saya amat menyanjungi dan respek anda.
"Biarpun sibuk untuk menguruskan hal rumah dan perniagaan restoran, anda juga meluangkan masa untuk ibu tercinta," tulisnya memetik kata-kata rakannya itu.
Tambahnya, rakannya itu juga menempelak golongan anak yang tidak tahu menghargai jasa kedua ibubapa yang sudah berusia dan menganggap mereka sebagai beban.
"Terdapat juga warga emas yang mempunyai ramai anak, tetapi saling menolak untuk menjaga mereka sehingga ada yang bergaduh sesama adik-beradik.
"Anda menjadi contoh yang baik untuk masyarakat dunia tentang erti kasih sayang sebenar," pesannya lagi kepada Datuk Chef Wan.
Komen Pilihan
"Jika seseorang mahu mempunyai pasangan suami atau isteri yang baik dan kekal sepanjang hayat, lihat bagaimana cara dia melayan orang tuanya," tulis seorang netizen.
Sumber: Instagram Datuk Chef Wan