Ketika artikel ini ditulis, operasi khas kerajaan Russia yang dilakukan ke atas Ukraine masih berlangsung.
Dari laporan tentang perkembangan di sana apa yang berlaku telah layak dikatakan kempen jenayah perang, selepas penemuan banyak mayat orang awam yang dibunuh dalangnya tentera Russia.
Dalam semua kekejaman Russia di Ukraine, satu nama sedang semakin kerap kedengaran; The Wagner Group atau Kumpulan Wagner.
BESARKAN TEKS A- A+
Kumpulan Wagner adalah pihak yang didakwa bertanggungjawab melakukan pembunuhan kejam orang awam, khasnya yang berlaku di pekan Bucha; sebuah pekan dengan populasi hampir 37 ribu orang penduduk terletak dalam Kiev.
Siapakah Kumpulan Wagner dan apakah hubungan mereka dengan kerajaan Russia?
PMC Perang tidak rasmi Russia
The Wagner Group adalah angkatan perang berstatus private military contractor (PMC) atau kontraktor angkatan perang; bergerak secara bebas daripada pengaruh mana-mana kerajaan atau politik.
Jika anda ingin memahami apa itu sistem PMC, anda boleh rujuk dulu artikel kami tentang topik ini. Kami syorkan anda fahamkan dulu perbezaan antara PMC dengan angkatan pertahanan biasa.
Kumpulan Wagner di atas kertas adalah sebuah PMC, tetapi hubungan di antara mereka yang terlibat dalam kumpulan itu dengan individu-individu berpengaruh kerajaan Russia khasnya Vladimir Putin sendiri; menunjukkan Kumpulan Wagner sebenarnya bertindak sebagai proksi kerajaan Russia apabila ada operasi-operasi tertentu yang sulit perlu dijalankan.
Operasi yang dimaksudkan,biasanya merujuk kepada operasi yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa menyelia tatacara peperangan.
Walaupun Russia mempunyai unit khas dalam tentera iaitu Unit GRU yang sangat dikagumi mempunyai keupayaan untuk menjalankan operasi khas, ada ketikanya operasi ketenteraan perlu dijalankan luar daripada kebiasaan.
Di sinilah kumpulan askar seperti Kumpulan Wagner akan dikerah.
Penubuhan dasar PMC orang Russia
PMC yang bersifat antrabangsa merupakan kumpulan askar upahan yang bergerak sebagai skuad pertahanan persendirian, layak beroperasi secara rasmi di negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan China.
Walau bagaimanapun Russia mempunyai undang-undang yang menghalang penglibatan pihak awam dalam angkatan pertahanan secara persendirian.
Dalam perlembagaan Russia sendiri sudah termaktub larangan ini.
Tetapi satu insiden yang berlaku, menyebabkan Russia memilih untuk membenarkan PMC melibatkan warga Russia ditubuhkan, walaupun tidak diiktiraf perlembagaan mereka.
Semuanya bermula selepas kerajaan Qatar pada bulan Jun 2004 mensabitkan kesalahan ke atas dua warga Russia, atas tuduhan membunuh pemangku presiden Chechnya, Zelimkhan Yandarbiyev.
Kerajaan Russia ketika itu berdepan kritikan dan tuduhan keras masyarakat dunia mendakwa penglibatan kerajaan itu dalam insiden pembunuhan tersebut - walaupun di atas kertas, kedua-dua tertuduh dilaporkan bergerak sendiri.
Bimbang kejadian sama berulang, Russia memilih untuk memperkenalkan beberapa akta baru yang digarap agar mampu menyelia pergerakan firma-firma ketenteraan persendirian dan pada masa sama, membolehkan Russia 'tidak dilibatkan' dengan risiko pergerakan kumpulan ini.
Vladimir Putin sendiri mula menyuarakan sokongan agar sistem PMC yang mampu diselia dari balik tirai, diperkenalkan di Russia.
Dinamakan angkatan perang peribadi Presiden Vladimir Putin
Pada tahun 2012, organisasi KCCO atau Командование сил специальных операций (Pejabat Pentadbiran Angkatan Operasi Khas) ditubuhkan di Russia.
Tujuannya adalah untuk menyelia semua PMC yang berdaftar di Russia, bergerak secara sendiri serta tidak berkait dengan angkatan pertahanan Russia di bawah kendalian kerajaan.
Berbeza dengan Amerika Syarikat dan Eropah yang menggelarkan kontraktor tentera sebagai PMC, Russia menamakan kontraktor mereka sebagai Силы специальных операций atau CCO (Angkatan Operasi Khas).
Setiap syarikat pengendali CCO tidak dibenarkan mempunyai anggota tetap. Lantikan anggota skuad dan komander terlibat perlulah dilakukan dengan kaedah bersifat 1 tugasan 1 kontrak, berbeza dengan sistem di negara lain yang membenarkan anggota mencapai persetujuan sendiri dengan syarikat pengendali.
Syarat ini dikatakan perlu diperkenalkan kerana setiap CCO di Russia didakwa secara tidak rasmi, hanya bertindak berdasarkan arahan sulit yang dikeluarkan individu berpangkat tinggi dalam kerajaan atau angkatan tentera.
Sekiranya CCO di Russia dikuasai sepenuhnya komander bersifat kekal seperti di USA atau UK, kemampuan Russia untuk mengawal pergerakan CCO diramal terjejas.
Dalam masa yang sama, sistem yang memastikan pertukaran komander dan anggota ini juga memudahkan Russia menafikan penglibatan mereka dalam operasi yang berlaku.
Kumpulan Wagner dikatakan dimiliki Yevgeny Prigozhin, seorang individu berstatus oligarki di Russia yang cukup raoat dengan Putin.
Ekoran pengaruh tidak rasmi Putin, kini Wagner atau nama rasminya ChVK Wagner telah berkembang menjadi kumpulan CCO paling berpengaruh Russia.
Selain Kumpulan Wagner ada beberapa lagi CCO Russia beroperasi di serata dunia, seperti E.N.O.T yang aktif di Syria dan Feraks yang bertempat di Iraq, Afghanistan dan Sri Lanka.
Kenapa Russia memerlukan Kumpulan Wagner?
Duduk dalam kedudukan unik, CCO dari Russia seperti Kumpulan Wagner beroperasi dalam situasi yang jelas menguntungkan mereka
Kedudukan mereka samar-samar dalam segala aspek, tidak jelas apakah struktur organisasi CCO itu dan undang-undang manakah yang mengawal tindak tanduk mereka, kerana mereka tidak diiktiraf dalam sistem keadilan Russia.
Ini memberikan kelebihan kepada Kumpulan Wagner bertindak menggunakan apa saja cara yang dirasakan perlu.
Kerajaan Russia juga tidak perlu melaporkan jumlah korban melibatkan kumpulan CCO seperti Wagner di Parlimen.
Senang kerajaan Russia nak cuci tangan terhadap apa yang dah berlaku kerana kondisinya direka agar tidak ada pihak dipersalahkan, sekiranya CCO dari Russia melakukan jenayah perang semasa operasi.
Kumpulan Wagner terkenal di seluruh dunia selepas penglibatan mereka dalam krisis yang berlaku di Syria, Libya, Afrika Tengah, Mali dan kini Ukraine; di mana operasi yang mereka jalankan memegang etos 'matlamat menghalalkan cara.'
Apa yang membimbangkan, tidak ada pihak setakat ini dapat mengenalpasti atas arahan siapakah kekejaman demi kekejaman yang dilakukan oleh Kumpulan Wagner berpunca, sama ada anggota yang dilantik bertindak sendiri ataupun memang mereka diarahkan untuk bertindak sebegitu rupa sejak mula.
Melalui pintasan isyarat radio yang berjaya dilakukan agensi risikan Jerman BND, wujud petunjuk bahawa insiden pembunuhan beramai-ramai yang berlaku melibatkan penduduk Bucha didalangi Kumpulan Wagner.
Pembunuhan orang awam yang berlaku melibatkan mangsa yang diikat sebelum dibunuh dan dibiarkan saja mayat nereka bergelimpangan didakwa tindakan Wagner, dinafikan oleh Russia.
Lebih menarik, Russia mendakwa pembunuhan itu adalah helah Ukraine sebagai salah satu usaha memburukkan imej Russia di mata dunia.
Insiden serangan Bucha 1 April 2022
Setakat ini dianggarkan ada lebih 400 mangsa pelbagai status, sama ada orang awam dan juga anggota tentera telah terbunuh hanya di Bucha.
Beberapa pusara besar menempatkan mayat yang telah diseksa di temui di kawasan bernama Zabuchchya.
Apa yang kita tahu berdasarkan informasi yang dilaporkan, majoriti mangsa yang ditemui adalah orang awam tidak bersalah, dikenalpasti diseksa di beberapa lokasi sebelum dibunuh.
Beberapa lokasi berbeza menunjukkan kumpulan-kumpulan orang awam ditembak mati dalam keadaan tangan berikat di belakang tubuh.
Modus operandi yang dijalankan di Bucha mudah berdasarkan penjelasan saksi.
Kumpulan-kumpulan tentera pro-Russia akan menyerbu masuk mana-mana kediaman yang masih berpenghuni, dengan alasan mahu melakukan pemeriksaan dokumen dan alat telekomunikasi.
Penduduk yang didapati mempunyai sebarang maklumat atau data disifatkan anti-Russia akan dikumpulkan, sebelum di bawa ke lokasi berbeza untuk dibunuh.
Jalan lebih singkat, ramai terus ditembak mati di situ di kediaman mereka biasanya dalam bilik bawah tanah.
Kumpulan Wagner dinamakan sebagai angkatan yang bertanggungjawab bertindak dalam kempen pembunuhan di Bucha, walaupun kerajaan Russia terus kental menafikan apa yang telah berlaku.
Ketika ini dianggarkan ada lebih 1,000 anggota yang beroperasi secara kontrak dengan Kumpulan Wagner di Ukraine. Belum ditemui bukti jelas yang mampu menunjukkan siapakah mereka, kenapa mereka ada di sana dan atas arahan siapa mereka bertindak.
Apa yang kita tahu, mereka ada di Ukraine dan menurut saksi, skuad Kumpulan Wagner mampu membunuh dengan sewenang-wenangnya siapa saja tak kiralah orang tua, anak kecil dan juga wanita.
Sangat efisien kumpulan ini.