Penulis berkesempatan bertemu dengan seorang warga kita yang telah menikahi seorang wanita dari Russia. Menurut beliau, berbeza dengan wanita Asia, wanita Russia agak keras perangainya walaupun bergelar dengan suami sendiri.
Berikutan status perbezaan kewarganegaraan, mereka berhadapan beberapa kesulitan tetapi dalam masa yang sama mereka juga menikmati beberapa manfaat yang tidak ada di negara kita, ekoran kesudian dia mengikuti isterinya menetap di sana. Menurut beliau, kerajaan Russia memang menyediakan banyak bantuan hidup untuk rakyat mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Apabila dia ceritakan, wah memang banyak rupanya. Berikut adalah beberapa manfaat sosial yang ada dalam sistem kerajaan Russia bagi membantu kehidupan masyarakat di sana.
1. Perumahan percuma
Salah satu manfaat utama yang disediakan oleh kerajaan Rusia adalah perumahan percuma untuk warga yang layak, menyasarkan keluarga berpendapatan rendah, keluarga besar, veteran perang, orang kurang upaya dan mereka yang tinggal di perumahan yang usang.
Bagaimanapun untuk mendapat unit, proses ini memerlukan pemohon duduk dalam senarai menunggu yang memakan masa lama. Tetapi ramai sanggup bersabar kerana jika tiba waktunya, mereka akan diberikan sebuah apartmen baru.
Selain program perumahan, wujud juga program lain yang menawarkan akses lebih cepat kepada perumahan untuk keluarga yang baru hendak memulakan hidup, dengan syarat pasangan itu mampu menampung sebahagian daripada kos unit tersebut.
2. Bantuan kewangan
Seperti negara kita, skim saraan pencen disediakan untuk pesara kerajaan dan bekas anggota keselamatan tentera selain bantuan kewangan untuk orang kurang upaya.
Menurut individu yang ditemui penulis, selain bantuan-bantuan tersebut, dia dan isterinya yang kini memegang status sebagai pelajar turut mendapat bantuan elaun bulanan bagi membantu menampung perbelanjaan mereka dan seorang anak mereka.
Pendidikan di Rusia pula, yurannya percuma di semua peringkat dari pra-sekolah hingga universiti, termasuklah pendidikan rendah dan menengah serta kolej profesional. Pengecualian yuran ini dibuat bagi memastikan setiap warganegara Russia mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti.
3. Manfaat perlindungan ibu dan keluarga
Program bantuan kewangan khusus untuk ibu dirangka dalam memastikan perancangan keluarga di Rusia terus dapat dipelihara.
Program ini diperkenalkan untuk menggalakkan kadar kelahiran lebih tinggi, dengan menyediakan sokongan kewangan kepada keluarga setelah kelahiran anak kedua dan seterusnya.
Dana ini boleh secara bebas tak kiralah untuk menambahbaik fasiliti kediaman untuk anak, diguna sebagai belanja pendidikan anak-anak atau boleh juga dijadikan dana pencen ibu.
Kerajaan Rusia juga menyediakan pelbagai bentuk sokongan untuk keluarga yang mempunyai anak. Ini termasuk elaun bulanan untuk keluarga berpendapatan rendah, subsidi untuk penjagaan kanak-kanak dan akses percuma atau bersubsidi ke tadika.
4. Sistem insurans perubatan menyeluruh
Semua warganegara Russia dimasukkan ke dalam sistem insurans perubatan menyeluruh, menerusi caruman wajib, yang melayakkan mereka mendapat bantuan perubatan secara percuma.
Perlindungan ini merangkumi pelbagai perkhidmatan perubatan termasuklah rawatan untuk gangguan kesihatan mental.
Seperti kita, mereka juga mempunyai sistem klinik dan hospital awam dalam, memastikan setiap warganegara mempunyai akses kepada penjagaan perubatan yang diperlukan tanpa perlu mengalami beban kewangan.
5. Pengagihan tanah percuma
Sebagai usaha untuk menggalakkan penempatan dan pembangunan di kawasan terpencil, kerajaan Rusia turut menawarkan tanah percuma kepada warganegara mereka melalui program pemilikan tanah.
Di bawah skim ini, warganegara boleh memohon sehingga satu hektar (2.5 ekar!) tanah secara percuma selama lima tahun. Selepas tamat tempoh tersebut, pemilik tanah boleh membeli plot tersebut sekaligus menjadikan mereka pemilik penuh atau menyewanya dengan kontrak selama 49 tahun.
Tanah yang disediakan boleh digunakan untuk membina kediaman, diusahakan sebagai kawasan pertanian atau dijadikan tapak untuk memulakan perniagaan. Bagaimanapun berikutan lokasinya yang agak jauh serta kurang jalan akses, program ini kurang mendapat sambutan.
Oleh kerana itulah di bahagian Russia yang bersempadanan dengan China, kawasan tanah yang dibuka untuk program ini disewakan kepada pengusaha-pengusaha China yang menjadikan tapak itu sebagai kawasan pertanian, dengan kacang soya menjadi tanaman utama di sana.