Sejak zaman dahulukala, empayar, kerajaan ataupun negara yang merasakan mereka berkuasa menggunakan peperangan untuk meluaskan pengaruh ataupun menjatuhkan ancaman yang dirasakan perlu.

Sama ada anda melihat perang itu sebagai satu keperluan yang tidak boleh dielakkan ataupun hanya satu tindakan melulu yang membuang masa, ketika berlakunya konflik dan peperangan di antara dua atau lebih pihak - tamadun manusia sudah mempunyai etika dan undang-undang peperangan yang perlu diikuti pihak terlibat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terdapat 10 undang-undang perang yang diperkenalkan sebagai garis panduan, yang kami ringkaskan menjadi 5 perenggan. Kebiasaannya undang-undang ini diikuti, tetapi ada masanya juga demi memastikan misi tercapai - undang-undang ini terpaksa ditolak ketepi.

1. Orang awam dan fasiliti awam tidak boleh dijadikan korban

rakyat malaysia orang biasa

Setiap peperangan memerlukan anggota tentera bijak membezakan antara orang biasa dan lawan sebenar.

Dalam undang-undang perang wujud tiga golongan yang tidak boleh diserang iaitu orang awam, pekerja perubatan dan juga pekerja bantuan.

Berdasarkan kepada status ini jugalah semua fasiliti yang disifatkan untuk kegunaan awam seperti kawasan perumahan, sekolah, hospital, stesen pengangkutan awam, ladang, kebun, kandang haiwan peliharaan, stesen janakuasa elektrik dan bekalan air serta banyak lagi - semuanya turut tertakluk dalam kategori tidak dibenarkan untuk diserang.

Jika berlaku serangan secara sengaja - pelakunya dan pihak yang berkuasa mengarahkannya, boleh didakwa sebagai penjenayah perang di mahkamah antarabangsa.

2. Hanya boleh serang individu tentera dan fasiliti bersifat militari

angkatan tentera atm malaysia

Dalam situasi perang, apa yang boleh diserang oleh angkatan tentera terlibat hanyalah individu, lokasi dan objektif yang berkait dengan ketenteraan musuh seperti fasiliti, pengkalan dan gudang senjata.

Ini bermakna wujud keperluan untuk memastikan serangan yang bakal dilakukan tepat dan tidak tersalah sasar, tidak mengenai pihak-pihak bukan tentera.

Walaupun demikian wujud satu pengecualian unik; sekiranya fasiliti gunaan awam seperti balai raya, sekolah dan universiti ditukarkan untuk menjadi fasiliti ketenteraan - lokasi-lokasi seperti ini dianggap 'halal' untuk diserang kerana statusnya sudah bertukar.

3. Tentera perlu membenarkan pelarian menyelamatkan diri

pelarian perang kebebasan bergerak

Bagi ramai individu, berhadapan dengan situasi perang di tanah air sendiri bukan sesuatu yang sanggup mereka hadapi - jadi ramai memilih untuk melarikan diri ke negara lain, yang membuka sempadan untuk mereka masuk sebagai pelarian perang.

Pasukan tentera tak kiralah dari pihak mana pun baik yang menceroboh atau bertahan haruslah membenarkan kumpulan ini selamat menjalani perjalanan mereka.

Dalam situasi hangat dan kebetulan pula ada kumpulan pelarian berdekatan dengan titik konflik, konfrontasi haruslah dihentikan bagi memastikan kumpulan itu selamat bergerak sebelum pertempuran dimulakan kembali.

Sekiranya pertempuran perlu tercetus, pasukan tentera terlibat perlulah memastikan wujudnya koridor selamat sebagai laluan pelarian agar mereka tidak menjadi korban nyawa yang sia-sia.

4. Tahanan perang mempunyai hak untuk mendapat makanan, minuman dan rawatan

tahanan perang ada hak keselamatan

Dalam pertempuran, langkah terbaik untuk mengelakkan banyak nyawa terkorban adalah dengan meminimakan korban nyawa apabila misi utama operasi tersebut dicapai.

Selepas misi dipenuhi, pasti ada pihak musuh yang masih hidup berada dalam keadaan cedera ringan atau parah. PIhak musuh yang telah menyerah kalah dan ditawan haruslah diberikan akses kepada rawatan, bagi memastikan keadaan mereka stabil.

Selain itu tahanan perang juga dideklarasikan mempunyai hak untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman serta dibenarkan untuk menghubungi wakil keluarga mereka, bagi memastikan pihak keluarga tahu keadaan individu terbabit.

Tahanan perang juga tidak dibenarkan untuk diseksa, haruslah diperlakukan dengan baik bagi memastikan maruah mereka dilindungi.

5. Senjata yang digunakan perlu mematuhi syarat diskriminasi

periuk api senjata diharamkan

Dalam perang, senjata yang dianggap sah untuk tujuan konflik haruslah memenuhi syarat yang dinamakan sebagai garis panduan senjata diskriminasi.

Apa yang dimaksudkan oleh garis panduan ini - senjata yang digunakan haruslah mampu ditujukan secara tepat atau 'didiskriminasikan' hanya kepada elemen ketenteraan musuh semata-mata, baik anggota tentera, kenderaan tentera dan fasiliti ketenteraan.

Mana-mana senjata yang kesan penggunaannya tidak mampu dikawal penembaknya serta mempunyai kesan rawak yang tidak boleh dijangka, tidak dibenarkan sama sekali diguna ketika peperangan.

Terdapat 14 kategori senjata yang diletakkan di bawah kategori ini dianggap sebagai 'bukan senjata diskriminasi' iaitu :

Senjata berasaskan kimia dan biologi, nuklear, periuk api, racun, letupan udara daripada belon, roket V-1 dan V-2, bom kluster, jerangkap samar, peluru berpandu SCUD dan roket Katyusha ciptaan Kesatuan Soviet, bahan letupan yang memulakan kebakaran dan senjata yang mengubah bentuk muka bumi atas tujuan memusnahkan pihak lawan.

Sekiranya terbukti wujud penggunaan senjata-senjata ini ketika peperangan, pihak yang terlibat sebagai mangsa boleh melakukan pendakwaan memohon agar pelakunya dibicarakan sebagai penjenayah.


Walaupun wujud garis panduan ini, kita semua tahu agak sukar untuk benar-benar kuatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam Konvensyen Geneva, khasnya dalam situasi di mana pelakunya datang dari negara kuasa besar dunia.

Yang kerap didakwa sebagai penjenayah perang kerana melanggar garis panduan yang telah ditetapkan, jarang melibatkan pemimpin kuasa besar dunia walaupun bermacam jenis pelanggaran telah mereka lakukan.

Berulang-ulang kali pula itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)