Vladimir Putin adalah Presiden Russia ketika ini. Jika didengar kata pihak-pihak tertentu, dia dikatakan kejam, jahat, ego dan bermacam lagi tohmahan buruk padanya. Walau apa saja persepsi antara terhadap Putin, kami yakin anda akan dapat sesuatu daripada kisah hidup beliau.
Vladimir Putin lahir pada 7 Oktober 1952 di Leningrad. Ibunya seorang wanita bernama Maria sementara ayahnya yang juga bernama Vladimir, hidup dalam keadaan sederhana. Ayahnya seorang pekerja kilang kurang upaya; kehilangan kaki akibat letupan bom semasa perang dunia ke 2.
BESARKAN TEKS A- A+
Maria pula bekerja sebagai seorang penyapu sampah dan pencuci am, terpaksa melalui kematian dua anak kandung lelakinya; seorang meninggal ketika kelahiran dan seorang lagi meninggal akibat wabak yang tercetus semasa zaman perang.
Hidup Vladimir yang sederhana
Mereka sekeluarga tinggal di dalam sebuah bilik, berkongsi rumah apartment kecil dengan beberapa keluarga lain di Leningrad. Putin menjalani kehidupan susah semasa kecil. Nasibnya baik berjaya menyertai Leningrad School No.281, sekolah bagi pelajar terpilih di sana. Di sekolah, Putin menyertai sukan judo dan sambo; sejenis sukan tradisi Russia mirip campuran judo dengan gusti.
Putin bukanlah pelajar yang baik. Dia seorang yang bermasalah tetapi gurunya dapat melihat potensi dalam diri Putin. Dia peminat bahasa, mudah mengingat dan mindanya cerdas. Bermula pada gred ke 6 berkat dorongan gurunya, Putin mula mengubah sikapnya. Sedikit demi sedikit dia mula mengambil berat tentang pendidikan dan semakin aktif dalam bersukan.
Novel sebagai inspirasi
Rajin membaca, Putin mula menelaah novel. Salah satu novel paling berpengaruh dalam hidupnya mengisahkan tentang seorang pengintip Russia yang ditugaskan di Jerman. Bermula daripada inspirasi tersebut. dia menanam minat hendak menyertai agensi risikan KGB.
Dalam satu insiden - tanpa diundang, dia ke ibu pejabat KGB di Leningrad untuk menyampaikan permohonan menjadi ejen namun permintaannya untuk menyertai KGB tidak kesampaian. Ini kerana KGB akan menjemput individu-individu yang mereka rasakan layak menyertai mereka. Bagaimanapun, salah seorang pegawai di situ menasihatkan dia, jika Putin benar-benar berminat hendak menyertai KGB, dia perlu masuk dan menguasai jurusan undang-undang.
Selepas lulus cemerlang pada peringkat sekolah, Putin memasuki Leningrad State University pada tahun 1970 dalam jurusan undang-undang, selaras dengan nasihat yang dia terima. Dia berjaya menamatkan pengajian ijazah pada tahun 1975. Nasibnya baik pada tahun terakhir pengajian, Putin ditawarkan untuk menyertai KGB - menyertai bidang risikan secara professional.
Melihat potensi Putin, KGB menghantar beliau menyertai Andropov Red Banner Institute di Moscow dengan menggunakan nama samaran 'Platov.' Di sana dia melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran bahasa Jerman serta berjaya mendapatkan tali pinggang hitam dalam judo. Selesai dalam latihan, Putin kembali berkhidmat sepenuh masa dengan KGB.
Mula menjadi pengintip
Menggunakan kemahiran beliau berbahasa Jerman, Putin ditugaskan melakukan intipan di Dresden, Jerman Timur (pada masa itu) di mana dia bertanggungjawab mengawai gerak langkah beberapa orang anggota NATO.
Tugas Putin di Dresden, tidak kekal lama selepas runtuhnya tembok Berlin pada tahun 1989. Menyedari masyarakat Jerman ketika itu mula menyuarakan sentimen anti Soviet dan anti komunis akibat kejatuhan pemerintahan komunis di Jerman Timur, Putin mengambil langkah menyelamatkan diri dengan membakar semua rekod yang dikumpulkan selama 5 tahun bagi memadamkan bukti.
Perusuh anti komunis mula melakukan tunjuk perasaan di hadapan ibu pejabat KGB di Dresden, sehinggakan Putin sendiri terpaksa keluar memberikan amaran agar mereka tidak cuba memecah masuk. Sebarang bentuk pencerobohan akan dihalang dengan senjata api dan kekerasan.
Dia menghadapi kesukaran untuk kembali ke Soviet selepas pegawai-pegawai KGB tidak membantunya keluar dari Jerman dan kerajaannya sendiri tidak memberikan sebarang bantuan terhadap semua ejen KGB yang terkandas di Dresden.
Hampa dirinya ditinggalkan pemerintah sendiri, sejak itu Putin mula tidak mempercayai sebarang bentuk ideologi atau mana-mana pemimpin lain. Dia sedar hanya diri sendiri mampu mencorakkan masa depan dirinya dan negaranya. Perkara asas yang dipegang sebagai tonggak adalah kesetiaan pada negara, bukan lagi kepada agensi atau orang atasan.
Selamat kembali ke USSR
Putin selamat kembali ke Soviet selepas Jerman disatukan pada tahun 1990. DIa kemudiannya ditugaskan berkhidmat sebagai ejen risikan di Leningrad State University, menyamar sebagai Pembantu Pengarah di sana. Bagaimanapun, hidup sebagai seorang pengintip sudah tidak lagi membawa makna pada hidupnya.
Pertemuan Putin dengan seorang pemimpin bernama Anatoly A.Sobchak, yang ketika itu bertugas sebagai pengerusi kerajaan tempatan dan sedang bersiap sedia bertanding pilihanraya, membuka jalan pada Putin menyertai politik. Pada awalnya, Putin menjadi penasihat kepada Sobchak, kemudian dilantik menjadi pengerusi kepada Committee for International Relations di St. Petersburg City Hall.
Meninggalkan KGB dan menyertai politik
Putin meletakkan semua jawatannya dalam KGB bagi menumpukan perhatian pada politik selepas menyedari kesukaran yang bakal beliau hadapi dalam karier politik sebagai seorang yang masih bergelar ahli KGB.
Putin dilantik memegang jawatan Timbalan Datuk Bandar Kerajaan Tempatan St.Petersburg, bertanggungjawab besar mempengerusikan bidang kerjsama ekonomi antarabangsa. Beliau menjadi individu terawal yang membuka kemasukan pelaburan asing ke bandar St. Petersburg.
Menjawat pelbagai jawatan penting dalam kerajaan daripada tahun 1997 sehinggalah pada bulan Mac 1999, Putin ditawarkan jawatan setiausaha kepada Security Council of Russian Federation. Tidak lama kemudian, Putin ditawarkan oleh Presiden Russia ketika itu, Boris Yeltsin untuk menjadi Perdana Menteri Russia; dengan prospek untuk menggantikan beliau sebagai Presiden Russia yang baru.
Naik menjadi Presiden
Menjangkakan dirinya hanya mampu bertahan beberapa bulan selepas melihat nasib yang sama menimpa barisan Perdana Menteri sebelumnya, rakyat Russia menyambut baik pendekatan Putin dalam menangani isu masyarakat Chechens serta kemampuan beliau menyelesaikan krisis yang berlaku di kawasan pergunungan Caucasus di selatan Russia.
Pada 26 Mac 2000, Vladimir Putin dilantik menjadi Presiden Russia secara rasmi menggantikan Presiden Boris Yeltsin.
Sehingga kini, kehidupan sebenar Putin menjadi misteri kerana keengganannya menggunakan teknologi dalam hidupnya. Dia dilaporkan tidak menggunakan telefon bimbit dan jarang menggunakan internet. Semua berita berkaitan hal ehwal semasa dunia, akan dihantar kepadanya dalam bentuk dokumen bercetak yang dikepil dalam fail berwarna merah setiap hari dan diletak dimejanya.
Hidup yang sangat berahsia
Kehidupan peribadi Putin juga berbeza dengan banyak pemimpin dunia. Tidak ada sebaran gambar rasmi Putin dan keluarga dilakukan.
Wajah dua orang anak Putin jarang muncul dalam media dengan kedua-duanya dibesarkan dalam suasana sangat privasi, sehinggakan menggunakan nama samaran ketika di sekolah dan universiti.
Bekas isteri Putin, Lyudmila Putina selepas berlakunya perceraian mereka pada 2013, turut sama menghilangkan dirinya; mengotakan rungutannya selama ini yang rimas dengan status sebagai isteri kepada orang paling berkuasa di Russia. Mungkin sifat berahsia dan tidak mahu mendedahkan pelbagai perkara ini datang daripada latar belakang Putin yang satu masa dulu adalah seorang pengintip - kemudian diterapkan pada ahli keluarganya pula.
Ada juga pihak yang mengatakan masyarakat Russia memang mempunyai mentaliti sedemikian ekoran wujudnya banyak musuh yang sentiasa cuba menggugat hidup mereka. Walau apa pun, sangat jelas sekali ketokohan Vladimir Putin mencorakkan hidupnya dari zaman muda sehinggalah bergelar pemimpin nombor satu di Russia.
Jadi apa yang boleh kita belajar daripada kisah Vladimir Putin ini? Impikan sesuatu, buat secara serius.
Rujukan