Kredit foto: Astro Gempak

Penyanyi remaja, Aiman Tino, mencipta sejarah apabila muncul sebagai artis pertama mengeluarkan baju seragam sekolah di bawah jenamanya, Sweet Aiman Junior.

Aiman yang kini hangat dengan lagu Ku Hanya Sayang Padamu itu, terlebih dahulu tampil dengan produk kesihatan dan kecantikan, selain kurta serta haruman.

Menurut Aiman, 19, dia berusaha menjadi usahawan berdaya saing melalui kreativiti dan keberanian meneroka pasaran.

"Bidang keusahawanan sangat luas untuk diterokai dan mampu menjanjikan pulangan yang lumayan. Walaupun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi, tetapi usahawan perlu inovatif dalam meminimumkan risiko dan meluaskan potensi produk.

"Aiman juga perlu meneroka bidang keusahawan baharu, kaedah pembungkusan produk, perkhidmatan terkini, strategi pemasaran dan pasaran berbeza termasuk menggunakan media sosial," katanya memetik portal BH Online.

Majlis pelancaran pakaian seragam itu dilaksanakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pecah.

Produk di bawah jenama Sweet Aiman Junior itu merupakan kerjasama strategik antara Sweet Aiman dan syarikat kosmetik, Wonder Glow Cosmetics Sdn. Bhd. (Wonder Glow).

Sebagai pengenalan jenama tersebut, Aiman akan menyertai siri jelajah promosi yang bakal berlangsung di lapan Mydin terpilih.

Sumber berita: BH Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)