Kredit foto: Beautifulnara & tv14.my

Melihat bayangan silamnya dalam diri Aiman Tino, penyanyi Tomok yang pernah mencipta populariti bersama kumpulan New Boyz, mempunyai petua untuk diturunkan buat pelantun lagu Permata Cinta itu.

Tomok yang menganggap Aiman umpama dirinya sewaktu mula menyertai industri seni, berharap penyanyi muda berusia 19 tahun itu terus tabah menghadapi kecaman terutamanya daripada netizen.

"Aiman mengingatkan saya kepada zaman saya baru bertapak. Apabila melihat dia, saya nampak diri saya yang dulu. Gaya nyanyiannya juga sama ketika saya bersama-sama Newboyz.

"Ketika itu, saya juga tidak henti-henti dikritik," ujarnya menurut portal BH Online.

Tomok atau nama penuhnya, Shah Indrawan Ismail berkata, sebagai penyanyi senior perlulah sentiasa memberi semangat kepada penyanyi-penyanyi muda agar mereka terus bertahan dalam dunia hiburan.

giliran tomok buat kenyataan untuk aiman tino 2

Kredit foto: Instagram Tomok

"Kita tak mahu penyanyi muda sekarang hanya timbul dengan satu atau dua lagu, kemudian hilang.

"Sebagai penyanyi senior, kita harus memberi semangat kepada generasi pelapis dan terus menyokong antara satu sama lain," katanya yang mengecapi semula kegemilangan selepas menjuarai program realiti televisyen (TV), One In A Million (OIAM) musim ketiga.

Mengenai perkembangan terkini, sebagai penutup tirai tahun 2017, Tomok muncul dengan single terbaru berjudul Menanti Di Sini.

Kata bapa kepada dua anak, Arrian Shah Akid dan Andra Shah Iman ini, dia teruja dengan kemunculan single balada ciptaan Zul 2 By 2 itu.

"Sudah lama saya tidak merakam lagu balada. Lagu Menanti Di Sini bagai melepaskan kerinduan saya.

"Selama ini, balada dekat dengan jiwa saya. Apabila mendapat lagu ciptaan Zul 2 By 2 ini, saya terus tertarik. Lantas, saya fikir mengapa tidak merakamkannya," katanya.

Beliau berharap para peminat menerima baik single itu menjelang kehadiran tahun baharu 2018.

"Jika saya melancarkan single ini awal tahun depan, pasti saya perlu bersaing dengan ramai penyanyi lain," jelasnya.

Single Menanti Di Sini sudah boleh didengar di semua platform digital sejak semalam. Muzik video liriknya pula boleh ditonton di YouTube Monkey Bone - telah dimuat naik pada dua hari lalu.

Sebelum ini, Tomok tampil dengan single hasil kerjasama dengan Monoloque, berjudul Cinta Yang Paling Sempurna, dilancarkan pada Jun lalu.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)