Bruno Manser mungkin nama yang cukup asing bagi kita di Semenanjung Malaysia. Namun, bagi penduduk di kepulauan Borneo atau lebih tepat lagi di Sarawak, nama lelaki ini disanjung kerana pernah memperjuangkan nasib suku Penan di Sarawak.
Menariknya, Bruno Manser bukanlah seorang warganegara Malaysia sebaliknya seorang aktivis daripada Switzerland. Kerana keberanian dan usahanya memperjuangkan nasib orang pribumi suku Penan ini, ramai orang menggelarnya "lebih Penan daripada orang Penan sendiri"!
BESARKAN TEKS A- A+
Siapa itu Bruno Manser?
Tangkap layar dari filem
Bruno Manser lahir di Basel, Switzerland pada tahun 1954. Ketika berusia 19 tahun, beliau pernah dipenjarakan kerana enggan menyertai latihan ketenteraan yang diwajibkan kepada setiap remaja warganegara Switzerland. Setelah dibebaskan, beliau bekerja sebagai pengembala haiwan selama kira-kira 12 tahun.
Ketika inilah, beliau mula memupuk minatnya dalam penghasilan kraftangan dan ilmu perubatan terapi. Beliau juga mempunyai kebolehan mengikat batu bata, mengukir di kulit, memelihara lebah, menenun dan menghasilkan pakaian dan kasutnya sendiri. Dia juga kerap melakukan pendakian gunung dan pendakian teknikal.
Ketika berusia 30 tahun, beliau telah datang ke Terengganu, Malaysia dan tinggal bersama dengan sebuah keluarga warga tempatan. Pada tahun 1984 ketika sedang belajar lebih mendalam mengenai hutan di Malaysia, beliau telah diperkenalkan dengan sebuah suku nomad yang dikenali sebagai Penan.
Minatnya terhadap orang Penan ini tidak terhenti di situ. Beliau mahu berjumpa orang-orang Penan ini dan mahu mendalami kehidupan mereka dengan lebih dekat. Maka, pada tahun yang sama beliau telah terbang ke Sarawak dengan menggunakan visa pelancong.
Usaha menjejaki orang Penan
Setibanya di Sarawak, beliau telah menyertai sebuah ekspedisi di Gunung Mulu bersama sekumpulan orang kulit putih. Berbekalkan dengan keyakinan yang ada, beliau memulakan usaha pertama menjejaki penempatan orang Penan secara sendirian. Namun, usaha awalnya ini gagal berana beliau jatuh sakit kerana termakan tumbuhan yang beracun.
Usahanya selepas itu berhasil apabila beliau berjaya menemukan penempatan orang Penan di Long Seridan yang terletak di Sungai Limbang. Pada awalnya, beliau cuba mendekati kumpulan Penan ini namun kehadirannya tidak dialu-alukan. Mereka sekadar mengabaikannya.
Setelah beberapa minggu hidup bersama orang Penan, secara perlahan-lahan orang Penan mula menerima kehadirannya. Namun, hidupnya bukanlah mudah. Orang Penan bergantung pada hasil buah-buahan dan berburu dengan menggunakan teknik sumpitan. Maka, Bruno Manser perlu belajar bagaimana mahu hidup seperti mereka.
Keadaan menjadi lebih sukar kerana beliau tidak memahami bahasa yang digunakan suku Penan ini dan begitulah sebaliknya. Namun, lama-kelamaan Bruno Manser mula seronok hidup dalam kalangan suku Penan ini. Bahkan, dia juga sudah mahir berburu, memancing dan memakai cawat seperti orang Penan.
Kerana peribadinya yang sangat baik hati, orang Penan sangat selesa dengan kehadirannya. Malah, mereka menggelarkan beliau "Laki Penan". Ketua suku Penan, Along Sega juga menganggapnya seperti keluarganya sendiri. Sepanjang hidup dengan orang Penan, Bruno Manser rajin menulis nota dalam buku catatannya mengenai segala apa yang dipelajari daripada mereka.
Sementara itu, apabila berita mengenai Bruno Manser ini tersebar, media mula menggelarnya sebagai Tarzan Orang Putih. Tidak kurang yang mengecam dan menuduhnya bodoh kerana kerana mahu memilih hidup seperti orang Penan.
Ancaman industri pembalakan
Ketika hidup besama suku Penan ini, Bruno Manser sedar bahawa suku Penan sangat terkesan dengan aktiviti pembalakan yang berlaku di hutan-hutan di Sarawak. Aktiviti pembalakan ini menyebabkan air sungai yang digunakan tercemar, semakin kurang haiwan yang boleh diburu dan kemusnahan beberapa khazanah berharga di hutan.
Bruno Manser dan Along Sega mula mengajar orang Penan ini bagaimana untuk melakukan sekatan jalan bagi menghalang lori-lori balak ini daripada terus menggondol hutan mereka.
Selain itu, beliau mula mencari dan menyatukan suku-suku lain di hutan tersebut agar dapat bersama-sama mempertahankan hutan yang menjadi tempat tinggal mereka. Beliau umpama seorang ketua yang mengatur segala strategi dan mesyuarat antara suku-suku berlainan ini.
Tindakannya ini tidak disenangi oleh beberapa pihak berkepentingan dalam aktiviti pembalakan ini sehinggakan terdapat ganjaran ratusan ribu ringgit bagi sesiapa yang berjaya menangkapnya. Malangnya, beliau tidak dapat tinggal lebih lama di Malaysia kerana visa pelancongnya telah tamat tempoh pada tahun 1983.
Keputusan berat untuk kembali pulang ke tanah airnya terpaksa dibuat memandangkan ibu bapanya jatuh sakit.
Memperjuangkan nasib suku Penan ke peringkat antarabangsa
Bruno Manser membuat terjunan paragliding dan mendarat di hadapan rumah Ketua Menteri Sarawak, stunt yang telah menarik ramai pihak untuk membuat liputan tentang perjuangannya mempertahankan nasib suku Penan
Walaupun telah pulang semula ke Switzerland, perjuangannya untuk membantu suku Penan ditindas oleh syarikat-syarikat balak ini tidak berakhir. Dia kembali hampir setiap tahun setelah meninggalkan Sarawak untuk memberi bantuan kepada suku tersebut. Kebiasannya, beliau sering memasuki kawasan-kawasan ini secara haram dengan melintasi sempadan melalui Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
Pada 17 Julai 1991, semasa sidang kemuncak G7 ke-17, Bruno Manser memanjat naik ke sebuah tiang lampu setinggi 30 kaki di luar pusat media sidang kemuncak tersebut. Setelah sampai di puncak, beliau membuka sepanduk yang memaparkan mesej mengenai keadaan hutan hujan Sarawak.
Tujuannya tidak lain hanyalah ingin membuka mata masyarakat mengenai nasib suku Penan yang dianaktirikan kerana kerakusan industri pembalakan.
Kemudian pada tahun 1991, Bruno Manser menubuhkan Bruno Manser Fonds (BMF), sebuah dana yang dirancang untuk membantu memulihara hutan hujan dan penduduk pribumi di Sarawak. Dia menguruskan dana dari rumahnya di Basel, Switzerland.
Selain dari mendapat perhatian media, perjuangannya itu juga menjadikannya musuh kepada Ketua Menteri Sarawak ketika itu. Keadaan ini memaksa Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu secara terbuka meminta orang luar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalam Sarawak.
Bruno Manser juga pernah beberapa kali membuat tawaran untuk bekerjasama dengan pihak negeri Sarawak dalam memperjuangkan nasib suku Penan. Malangnya, surat yang pernah dihantarnya tidak pernah di balas.
Pada tahun 1999, beliau secara senyap-senyap telah masuk ke Kuching, namun kehadirannya tidak disedari polis kerana telah mencukur mukanya dan memakai baju sut. Beliau telah menyewa paraglider untuk mendarat di rumah Taib Mahmud waktu Hari Raya dan memberikan sebuah kambing mainan sebagai tawaran perdamaian.
Akibat tindakannya ini, beliau telah dimasukkan ke penjara dan dihantar pulang ke Switzerland. Walau bagaimanapun, tindakannya ini berjaya menarik perhatian ramai pihak. Beberapa saluran televisyen antarabangsa seperti Universal Studios dan National Geographic mula membuat liputan.
Kehilangan misteri Bruno Manser
Bruno Manser sedar bahawa perjuangannya semakin lemah apabila suku Penan terpaksa menjual tanah-tanah mereka kepada syarikat-syarikat pembalakan kerana masalah kewangan. Pada tahun 2000, beliau cuba untuk masuk ke Sarawak sekali lagi melalui Kalimantan.
Tiada siapa yang dapat menyangka bahawa inilah kali terakhir beliau memasuki Sarawak sebelum hilang secara misteri. Pada 15 Februari 2000, Bruno Manser dan Paleu (seorang lelaki Penan) telah memulakan perjalanan mereka ke Sarawak. Mereka turut ditemani oleh John Kuenzli (setiausaha BMF) dan sekumpulan krew penggambaran.
Selepas satu ketika, hanya Bruno Manser dan Paleu (serta anaknya) sahaja yang meneruskan perjalan sehingga ke sempadan Kalimantan-Sarawak. Perjalanan ini mengambil masa kira-kira 2 minggu dengan berjalan kaki, mendaki gunung dan menaiki bot.
Bruno Manser kali terakhir dilihat membawa beg galas seberat 30 kilogram oleh rakannya dari Penan, Paleu dan anak lelaki Paleu pada 25 Mei 2000. Mereka menemani Manser sehingga ke anak kaki Bukit Batu Lawi. Bruno Manser kemudian menyatakan niatnya untuk mendaki gunung itu sendiri dan meminta Paleu meninggalkannya di sana.
Itulah kali terakhir kelibatnya dilihat. BMF dan sekumpulan orang Penan berusaha mencari Bruno Manser namun usaha tersebut tidak menemuinya. Namun, tidak ada pasukan pencari yang sanggup mencari di kawasan batu kapur curam sepanjang 100 meter terakhir yang membentuk puncak Bukit Batu Lawi.
Ada kemungkinan beliau telah jatuh di sisi gunung, tetapi mayatnya dan barang-barangnya tidak dijumpai. Setelah ekspedisi pencarian tidak membuahkan hasil, mahkamah sivil di Basel-Stadt mengisytiharkan Bruno Manser mati secara sah pada 10 Mac 2005.
Kredit: