Negeri Sarawak boleh dianggap unik kerana mempunyai populasi buaya yang cukup banyak. Apabila berbiacara mengenai buaya di sana, kita pastinya pernah mendengar mengenai seekor buaya lagenda yang dikenali orang tempatan dengan nama Bujang Senang.
Bujang Senang merupakan antara buaya terbesar di dunia dan telah hidup dan mengganas di sepanjang Sungai Batang Lupar sejak tahun 1941 lagi. Buaya gergasi ini telah berjaya dibunuh pada tahun 1992 selepas ianya membunuh seorang wanita Iban. Buaya ini mati setelah ditembah oleh pihak polis dan pemburu Iban dalam usaha selama 4 jam.
BESARKAN TEKS A- A+
Bujang Senang merupakan buaya dari spesies Crocodylus porosus (buaya air masin) dan berukuran kira-kira 20 kaki panjang ketika mati ditembak. Tidak dapat dipastikan berapakah manusia yang sudah menjadi korbannya. Tengkorak Bujang Senang kini dipamerkan di Muzium Sarawak di Kuching, Sarawak.
Jelmaan pahlawan hebat Iban
Bagi kebanyakan pembaca, Bujang Senang mungkin hanya sekadar haiwan biasa. Mungkin kerana saiznya yang begitu besar dan telah membunuh begitu ramai manusia menyebabkannya begitu digeruni. Namun, bagi orang Iban yang tinggal di kawasan Sungai Batang Lupar, mereka percaya Bujang Senang adalah jelmaan manusia.
Selain saiznya yang besar, buaya ini juga dianggap unik kerana mempunyai garisan putih di belakang badannya. Garisan ini tidak terdapat pada mana-mana buaya biasa di Sarawak. Ia seolah-olah menguatkan mitos bahawa buaya ini adalah jelmaan seorang pahlawan Iban yang disumpah satu ketika dahulu.
Satu ketika dahulu, terdapat seorang pahlawan Iban bernama Simalungun. Simalungun terkenal kerana kekebalannya dan digeruni musuh kerana Simalungun akan memenggal kepala musuh yang tewas di tangannya. Akibat ilmu kebalnya, Simalungun tidak akan tercedera apabila terkena senjata musuh.
Kerana ilmu kebal yang dimilikinya ini, maka musuh-musuhnya mula mencari jalan untuk melemahka ilmu yang dimlikinya itu. Salah satu strateginya adalah dengan menculik isterinya dan memaksa isterinya itu untuk membocorkan rahsia ilmu kebal yang dimilikinya. Penculikan ini juga dibuat atas motif balas dendam akan musuh-musuh yang pernah dibunuh olehnya.
Berang dengan musuh yang telah menculik isterinya, Simalungun telah pergi bersemuka dengan musuhnya itu. Namun, sebaik isterinya dibebaskan, wanita itu mati ditombak dan mayatnya jatuh ke dalam sungai. Keadaan ini menyebabkan Simalungun mengamuk dan dia segera terjun ke sungai untuk mendapatkan tubuh isterinya itu.
Ketika itulah, musuhnya mula menyedari kelemahan pahlawan hebat ini. Simalungun dipercayai tidak kebal apabila berada dalam air. Setelah bertarung hebat, Simalungun akhirnya tewas. Dia dibunuh dan mayatnya dan isterinya telah dicampak ke dalam air Sungai Batang Lupar.
Mengikut kisah mitos yang diperturunkan dari generasi ke generasi ini, mayat Simalungun dan isterinya yang telah dicampak ke dalam sungai itu telah disumpah menjadi buaya besar yang akan membalas dendam terhadap musuh dan keturunannya.
Sama ada anda hendak percaya atau tidak, terpulanglah kepada anda. Seperti mana kisah-kisah rakyat atau mitos yang diperturunkan daripada generasi ke generasi seterusnya, kisah Bujang Senang ini mungkin tidak lari daripada tokok tambah.
Sebagai contoh, ketika kisah kewujudan buaya Bujang Senang ini popular pada awal-awal dahulu, ada yang mengatakan bahawa saiznya sebesar sebuah bas. Namun, apabila haiwan ini dibunuh pada tahun 1992, saiznya hanyalah sepanjang kira-kira 20 kaki.
Kematian Bujang Senang
Bujang Senang mula menjadi buah percakapan penduduk apabila ia membaham seorang pemimpin tempatan, Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali di Sri Aman pada 1982. Ketika kejadian, beliau bersama abangnya yang bernama Kebir ke sungai untuk memancing udang.
Ketika itulah, Bujang Senang tiba-tiba muncul dari air dan membaham sebelum mengheretnya ke dalam air sungai. Abangnya Kebir yang berada berdekatan cuba menyelamatkan namun gagal. Ketika itulah Kebir perasan sssuatu yang aneh pada belakang badan buaya tersebut dimana terdapat satu garisan berwarna putih di belakang badannya.
Serangan tersebut menggemparkan penduduk kerana ianya melibatkan seorang pemmimpin tempatan yang terkenal. Malah, pihak polis juga telah melancarkan operasi khas selama 5 hari bagi mengesan buaya yang mengganas itu namun hampa apabila usaha tersebut gagal.
Peristiwa pembunuhan Bujang Senang berlaku pada bulan Mei 1992 setelah buaya gergasi itu membaham seorang remaja perempuan Iban yang sedang menyeberangi sungai yang dikatakan airnya hanya setinggi paras lutut. Remaja tersebut yang bernama Dayang anak Bayang ketika itu bersama ibunya.
Perisitiwa itu telah menyebabkan kemarahan penduduk kampung berdekatan dan puluhan daripada mereka telah mengadakah usaha bersama dengan pihak polis untuk menjejaki dan membunuh buaya tersebut. Setela kira-kira 4 jam, mereka berjaya mengepung buaya tersebut tetapi cubaan membunuhnya dengan lembing dan tembakan peluru biasa gagal.
Seorang dukun Iban yang hadir dalam usaha membunuh buaya itu kemudiannya mencadangkan buaya tersebut ditembak dengan peluru paki. Kira-kira 40 das tembakan peluru paku sepanjang 10 sentimeter dilepaskan dan kira-kira 22 daripadanya mengenai kepala Bujang Senang yang dipercayai menjadi penyebab kematiannya.
Kredit: