Ketinggian adalah sesuatu yang berada di luar kawalan manusia. Perkara yang menentukan ketinggian seseorang individu adalah genetik, walaupun ada dakwaan bahawa pemakanan boleh membantu meningkatkan ketinggian.
Purata ketinggian rakyat Malaysia bagi lelaki dan wanita adalah 159.4 sentimeter, iaitu ke-8 paling rendah di dunia. Dan bagi Broc Brown, kita pasti kelihatan sangat kerdil. Broc Brown adalah secara rasminya ditabalkan sebagai remaja paling tinggi di dunia dan bakal menjadi manusia paling tinggi di dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebelum berusia 18 tahun, ketinggian Broc mencecah 233 sentimeter, dan kini dia terus membesar. Ketinggian Broc Brown bertambah pada kadar 15.24 sentimeter setahun.
Dan jika dia mengekalkan kadar ini, remaja 19 tahun dari Amerika Syarikat ini dengan mudah dapat mengalahkan manusia tertinggi di dunia, Sultan Kosen yang berketinggian 248cm.
Dilahirkan dengan saiz dan berat normal
Darci Moss Elliot dari Michigan, Amerika Syarikat melahirkan Broc Brown dengan saiz yang sihat dan normal iaitu berat kurang daripada 3.6 kg dan panjang 56 cm. Namun apabila Broc mula membesar, perkembangan ketinggiannya menjadi sangat menonjol. Di awal usianya, ketinggian Broc sudah jauh meninggalkan rakan sebayanya.
Ketika dia memasuki tadika, pemerhatian mengejutkan berlaku yang membuatkan mereka terpaksa mengukur dua kali.
Broc yang berusia 5 tahun sudah mencapai ketinggian 157cm dan ini merupakan perbezaan yang tersangat ketara berbanding ketinggian purata berusia 5 tahun di Amerika Syarikat iaitu kurang daripada 120cm.
Namun, keluarganya masih tidak tahu mengapa perkara ini boleh berlaku. Dan ketika ini, Broc sudah menyamai tinggi ibunya. Ibunya yang tidak lagi boleh mengabaikan ketinggian anaknya yang luar biasa, Darci menjadi semakin prihatin.
Zaman kanak-kanak yang berbeza
Ibu saudaranya, Stacy Snyder berkata Broc tidak berpeluang menaiki basikal ketika kecil kerana terlalu tinggi.
"Apabila anda cuba mengajar kanak-kanak 5 tahun yang sama tinggi dengan anda untuk menaiki basikal, ia sangat sukar. Anda tak boleh mengimbanginya" jelas Stacy Snyder.
Selain daripada hobi biasa yang diminati oleh Broc, ibunya menyedari bahawa adalah semakin sukar untuk melakukan aspek-aspek seharian untuk menjaga anaknya itu disebabkan terlalu tinggi.
"Apabila anak anda yang berusia 5 tahun tercedera ketika bermain dan berlari kepada arah anda, anda akan mendukungnya,". Namun bagi Darci, dia tidak boleh berbuat demikian kerana saiz Broc sama dengan saiznya, membuatkan dia mengalami sakit belakang.
Tanpa berlengah lagi, keluarga Broc membawanya untuk berjumpa doktor bagi mengetahui apa yang berlaku kepadanya. Baru berusia 5 tahun, Broc telah didiagnosis mempunyai penyakit yang menyerang 1 dalam 15,000 orang.
Menghidap Sindrom Sotos
Doktor mengesahkan Broc mengalami masalah genetik dikenali sebagai Sindrom Sotos yang juga dikenali sebagai "cerebral gigantism".
Sindrom Sotos adalaha masalah genetik dimana pesakit terdedah kepada pertumbuhan fizikal yang berlebihan, terutamanya pada tahun-tahun awal kehidupan sehinggalah remaja.
Broc juga dikatakan tak akan dapat hidup lama kerana masalah kesihatan ini. Setakat ini tiada rawatan untuk sindrom ini dan mereka yang mempunyai masalah genetik dilayan secara simptomatik.
Broc bukan sahaja tinggi daripada rakan sebaya, tetapi juga menonjol dalam kalangan penghidap sindrom ini. Ketika berusia 11 tahun, ketinggian Broc sudah mencapai 183cm dan menjelang usia 14 tahun, dia kelihatan seperti gergasi dengan ketinggian 213cm.
Masalah kesihatan lain disebabkan oleh Sindrom Sotos
Pertumbuhan badan Broc terus menunjukkan peningkatan. Kesan lain daripada sindrom ini adalah masalah pada jantung, tulang belakang melengkung, gangguan kurang tumpuan dan hiperaktif (ADHD) serta masalah pembelajaran.
Dia juga dilahirkan dengan satu buah pinggang oleh itu Broc tidak boleh mengambil ubat penahan sakit walaupun berasa tidak selesa. Ketinggian yang luar biasa membuatkan Broc terpaksa menempah segala keperluan asas. Antaranya termasuklah katil khas yang berharga RM4,000.
Broc juga terpaksa menempah baju, seluar, kasut dan juga stokin untuk kegunaan harian. Stokin khas yang dihasilkan untuk Broc berharga RM80 sepasang.
Dia tidak berpeluang untuk membeli pakaian seperti orang lain. Hari-hari yang dilaluinya tidaklah mudah di mana dia mengalami kesukaran untuk berdiri dalam tempoh yang lama, berjalan melepasi pintu dan menaiki kereta.
Selain itu, aktiviti luar dilakukan dengan tidak selesa di mana dia sukar untuk duduk di atas kerusi awam, menontong wayang dan banyak lagi.
Rujukan: