Keluarga merupakan satu elemen paling penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat. Peranan ibu dan bapa mempunyai pengaruh besar dalam mencorak hidup generasi akan datang di negara kita.
Walaupun mempunyai agama Islam sebagai agama rasmi dan disokong oleh masyarakat beragama lain, kadar kehamilan anak luar nikah di negara kita juga sebenarnya menakutkan. Masalah sosial di kalangan generasi muda kita sebenarnya adalah satu gejala serius yang sepatutnya mendapat perhatian umum, khasnya ibu bapa sendiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Kami sudah membincangkan berkenaan statistik jenayah rogol yang telah berlaku di negara kita. Apa yang membimbangkan, wujud beberapa persamaan apabila dilakukan perbandingan secara ringkas, dengan beberapa negeri yang mencatatkan kejadian kes rogol tertinggi di Malaysia, juga mencatatkan jumlah kes hamil luar nikah dan kes buang bayi paling tinggi.
Kebimbangan ekoran peningkatan kes hamil luar nikah
Majoriti kes remaja hamil luar nikah melibatkan golongan remaja yang didapati tidak bersekolah, apabila diukur dalam lingkungan umur 10 hingga 19 tahun.
Statistiknya menurut negeri pula seperti berikut - lima negeri di Malaysia yang mencatatkan jumlah kes remaja hamil luar nikah paling tinggi adalah Sabah, diikuti Sarawak, Selangor, Johor dan Pahang bagi tahun 2016. Secara purata, setiap bulan sebanyak 1500 kes remaja hamil menjadikan 50 kes dilaporkan dalam sehari.
Jika kita lihat statistik pada lima-lima negeri tersebut, dapat dilihat pendidikan pada peringkat sekolah menengah banyak membantu remaja mengelakkan diri daripada terjerumus ke lembah maksiat dengan kes yang melibatkan pelajar tidak bersekolah, berkali-kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang bersekolah.
Apa yang menarik untuk dibincangkan, antara kelima-lima negeri itu, negeri Johor mencatatkan jumlah tertinggi remaja yang berkahwin dan hamil.
Fenomena buang bayi yang meningkat
Gejala pembuangan bayi juga adalah satu masalah yang berlaku di negara kita. Secara statistiknya, kes pembuangan bayi sebenarnya tidaklah boleh dikategorikan sebagai kerap berlaku, tetapi impaknya pada masyarakat adalah sesuatu yang sangat sukar untuk ditelan - berikutan kekejaman yang sanggup dilakukan oleh ibu atau bapa bayi itu sendiri.
Dari tempoh 2010 hingga pertengahan 2016, Selangor mencatatkan jumlah kes buang bayi tertinggi di Malaysia dengan 157 kes, diikuti oleh Sabah dan Johor yang mencatatkan 84 kes, Kuala Lumpur 65 kes dan Sarawak sebanyak 49 kes.
Selangor juga mencatatkan jumlah tertinggi bayi-bayi yang ditinggalkan di dalam 'baby hatch' yang akan dijaga oleh pertubuhan kebajikan dan pengurusan rumah anak yatim kelolaan kerajaan ataupun diberikan hak penjagaan kepada keluarga yang mahu mengambil anak angkat.
Nilai nyawa bayi yang dibuang juga seolah-olah tidak dihiraukan. Dalam tempoh 2013 hingga 2015, seramai 296 bayi dibuang dengan hanya 103 bayi ditemui masih hidup, sementara selebihnya atau 193 orang ditemui sudah meninggal dunia.
Masalah ketagihan seksual segelintir masyarakat Malaysia
Terdapat beberapa faktor penyebab berlakunya peningkatan mendadak dalam hal sebegini. Antaranya adalah faktor keluarga yang dikatakan mempunyai jurang besar yang lama-kelamaan dilihat semakin besar. Ibu bapa tidak dapat meluangkan masa dengan anak-anak mereka berikutan tuntutan pekerjaan, dengan majoriti ibu bapa (57.8%) mengakui mereka hanya mampu meluangkan 1 ke 4 jam seminggu untuk anak-anak.
Selain itu, tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara mendapati golongan remaja secara majoritinya lebih gemar berhubung dengan ibu bapa sendiri melalui telefon.
Antara solusi yang dilihat mampu menangani masalah ini adalah dengan mempertingkatkan lagi pengaruh dan peranan ibu bapa terhadap anak-anak. Ibu bapa seharusnya bertindak sebagai contoh atau role-model kepada anak-anak mereka, serta memberikan pendedahan awal kepada anak-anak berkenaan isu seksual, baik dari perspektif agama mahupun daripada perspektif moral itu sendiri.
Masyarakat kita juga seharusnya lebih peka dengan masalah gejala moral golongan remaja dan mula bersifat lebih pro-aktif serta tidak takut, dalam menegur dan mencegah gejala-gejala buruk ini.
Secara statistiknya amat jelas sekali, sekiranya seorang remaja itu dapat ke sekolah dengan sempurna setiap hari - masalah seksual seperti kes hamil luar nikah dan kes pembuangan bayi dapat dikurangkan.
Jadi, kami menyeru supaya ibu bapa memastikan anak-anak anda ke sekolah kerana itu adalah langkah pertama dalam memberi mereka pendidikan dan kesedaran, yang akan membantu mereka di masa hadapan.
Rujukan