Sudah berpuluh tahun kawasan Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur menjadi sebutan orang ramai, disebabkan kontroversi yang sering melanda kawasan tersebut.
Kita semua pasti menyedari kedudukan Kampung Baru sebagai sebuah lokasi yang sangat bernilai untuk dibangunkan, serta mempunyai kedudukan yang sangat strategik kerana terletak betul-betul di kawasan yang rancak untuk pembangunan dari aspek ekonomi.
BESARKAN TEKS A- A+
Apabila berbicara tentang isu dan masalah pengambilan Kampung Baru, adalah sangat bagus sekiranya kita dapat meluaskan sedikit skop perbincangan kita untuk memastikan kita mampu menjawab satu persoalan - bolehkah kerajaan merampas tanah hak milik kita? Apa jawapannya?
Pengambilan tanah merupakan satu keperluan negara
Walaupun pahit untuk diperkatakan, kita sebagai rakyat perlu menerima bahawa milikan tanah bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak.
Ini kerana hak milik tanah di negara kita sebenarnya perlu mematuhi apa yang dinamakan sebagai Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menyebut bahawa proses pengambilan tanah yang dilakukan atas kepentingan masyarakat - boleh mengenepikan kepentingan atau hak seseorang ke atas milikannya, yakni tanah.
Akta tersebut juga memberi kuasa kepada pihak berkuasa setiap negeri untuk mengambil mana-mana tanah yang diperlukan bagi tujuan pembangunan, tak kiralah tanah tersebut merupakan tanah milikan individu pada asalnya atau dimiliki sesuatu badan yang sah. Semua itu boleh dilakukan asalkan tujuan pengambilan itu bakal memberikan keuntungan atau bertujuan untuk membangunkan ekonomi negara.
Jadi jelaslah di sini - walaupun kita adalah pemilik asal tanah itu walaupun sudah didiami bergenerasi lamanya, kerajaan Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mengambil atau dalam erti kata lebih kasar, merampas tanah itu daripada kita. Persoalan pokok sudah terjawab - jadi mari kita fahami rasionalnya.
Adakah pengambilan tanah itu bersifat mutlak dan tidak boleh dicabar?
Satu konsep yang perlu kita terima dalam isu-isu pengambilan tanah adalah penekanan untuk meletakkan kepentingan awam sebagai isu paling utama, berbanding kepentingan individu.
Walaupun begitu, ini tidaklah bermakna seseorang pemilik tanah yang tanahnya mahu diambil tidak boleh melakukan apa-apa dalam mempertahankan hak miliknya. Semua proses pengambilan tanah di negara kita boleh berlaku dalam 2 peringkat.
Peringkat pertama melibatkan semua proses pewartaan di mana kerajaan atau badan kerajaan negeri perlu menjelaskan dengan terperinci tujuan dan keperluan tanah tersebut perlu diambil hak miliknya. Tujuannya pula perlulah berdasarkan pada garis panduan di bawah;
a. Untuk tujuan awam
b. Untuk pembangunan ekonomi yang memberikan keuntungan pada rakyat Malaysia
c. Untuk tujuan perlombongan, pembangunan kediaman, pertanian, komerisla, pembangunan industri atau kawasan rekreasi
Sekiranya semua pihak yakni pembeli (badan kerajaan) dan penjual (pemilik asal) bersetuju dengan semua yang dibentangkan, pampasan akan dikeluarkan untuk bayaran kepada pemilik asal tanah tersebut.
Bagaimanapun, kebanyakan kes melibatkan Akta Pengambilan Tanah 1960 pasti akan mencapai proses kedua, di mana tawaran yang diberikan akan dicabar oleh pemilik di peringkat mahkamah atas pelbagai alasan seperti tawaran tidak munasabah, cadangan pembangunan bukan untuk faedah awam atau sekadar enggan berpindah.
Walaupun begitu, jarang sekali pemilik dapat mempertahankan kedudukan mereka apabila kerajaan sudah mewartakan cadangan untuk memajukan sesuatu kawasan. Jadi selalunya pemilik dan badan berkuasa akan ke mahkamah hanya untuk mendapatkan solusi tentang pampasan yang sepatutnya dibayar - bergantung kepada situasi yang ada.
'Freehold' atau 'leasehold' tiada bezanya?
Sekiranya anda rajin menelaah pemasaran-pemasaran hartanah di negara kita, sudah pastilah anda akan terbaca atau terlihat istilah 'pegangan bebas' atau 'freehold' dan 'pegangan pajakan' atau 'leasehold' dipaparkan.
Kami tidak mahu menulis perbezaan kedua-dua bentuk pegangan ini, tetapi apa yang perlu anda fahami adalah sesuatu milikan pegangan bebas tidak mempunyai sebarang bentuk kekangan masa diletakkan ke atasnya. Sementara pegangan pajakan pula mempunyai satu tempoh terhad di mana hartanah atau milikan itu akan kekal menjadi milik tuan punya asalnya.
Adakah ada beza di antara kedua-duanya apabila pemilik perlu berhadapan dengan Akta Pengambilan Tanah 1960? Tidak ada beza. Pegangan bebas tidak melindungi hak milik anda daripada diambil kerajaan. Kerajaan mempunyai hak untuk mengambil mana-mana bentuk tanah atau hak milik yang mereka rasakan perlu (untuk kepentingan awam) tak kiralah pegangan anda 'freehold' atau 'leasehold.'
Bezanya di sini - oleh kerana pegangan bebas mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding pegangan pajakan, pemilik sudah pastilah akan dibayar kadar pampasan yang lebih tinggi. Ini kerana nilai pampasan perlulah bergantung kepada harga pasaran sesuatu unit atau hak milik.
Selain itu, sekiranya pemilik gagal memperbaharui kontrak pegangan pajakan dan secara kebetulan perlu berdepan dengan Akta Pengambilan Tanah 1960, agak sukar untuk pemilik mempunyai hujah yang kukuh dalam memastikan jumlah pampasan yang diharapkan, akan dibayar pada dirinya.
Rujukan