Setiap kali menonton televisyen, kita sering terdengar isu-isu mengenai kesan perubahan iklim dan bahaya penggunaan bahan bakar fosil yang berlebihan. Sebenarnya, krisis ini sedang meningkat di tahap yang membimbangkan setiap hari.
Isu global warming ini juga sering menjadi tajuk 'panas' dalam arena politik tempatan dan antarabangsa. Sebahagian besar berdebatan melibatkan penggunaan bahan bakar fosil bagi memenuhi keperluan kita walaupun ia menghasilkan pelepasan karbon berbahaya.
BESARKAN TEKS A- A+
Seluruh dunia menyeru supaya dikurangkan penggunaan bahan bakar fosil dengan memperkenalkan penyelesaian seperti menghasilkan tenaga melalui teknologi hijau.
Antara soalan utama yang menjadi berbincangan adalah, bilakah planet kita akan kehabisan sumber bahan bakar fosil?
Apakah bahan bakar fosil?
Bahan bakar fosil adalah hidrokarbon biologi yang terbentuk beratus-ratus juta tahun lalu. Apabila bahan organik mati jatuh ke lantai laut atau paya, ia terdedah kepada keadaan tekanan tinggi dan melalui sistem pencernaan mikroorganisma. Ini akan mengakibatkan bahan organik itu menjadi kaya dengan karbon.
Bahan bakar fosil boleh diperolehi dalam pelbagai bentuk di seluruh dunia. Sebahagian besarnya adalah dalam bentuk minyak, gas asli dan arang batu. Berikut adalah penerangan lanjut mengenai bahan bakar fosil utama:
Arang Batu
- Arang batu adalah batu enapan berwarna coklat gelap atau hitam.
- Terbentuk kira-kira 360 juta tahun lalu.
- Biasanya terbentuk di bahagian bawah kawasan paya dan rawa.
- Sumber telah dilombong selama lebih 3,000 tahun.
- Digunakan untuk menghasilkan elektrik dan stim pada permulaan Revolusi Perindustrian.
- Bahan bakar fosil paling popular digunakan.
Minyak Mentah
- Minyak mentah adalah gabungan antara hidrogen dan karbon.
- Terhasil di dalam dasar laut selama berjuta-juta tahun.
- Diproses menjadi pelbagai bentuk seperti petroleum, petrol, diesel dan petrokimia lain.
- Banyak digunakan dalam pengeluaran plastik berbahaya di seluruh dunia.
- Menyumbang kepada pencemaran udara, laut (tumpahan minyak) dan kesan kepada sistem ekologi.
Gas Asli
- Gas yang terdapat bawah tanah ini terdiri daripada metana
- Melalui proses sama seperti arang batu tetapi dalam keadaan berbeza.
- Pengekstrakan gas asli semakin meningkat dari masa ke semasa.
- Kurang berbahaya berbanding arang batu dan minyak tetapi masih menyumbang kepada krisis iklim.
Walaupun bahan bakar fosil ini mengambil masa ratusan juta tahun untuk dibentuk, ia diesktrak secara mendadak pada awal abad ke-19 apabila Revolusi Perindustrian memerlukan lebih banyak penggunaan tenaga.
Ramai yang peka dan risau mengenai bekalan tenaga di planet ini. Kita mungkin akan kehabisan bahan bakar fosil suatu hari nanti sekiranya terus 'mengeringkan' tenaga asli dunia.
Pendapat pakar mengenai hal ini
Terdapat pelbagai pendapat bagaimana untuk menganggarkan jumlah bahan bakar fosil yang sedang digunakan secara ketara. Pada tahun 1950-an, ahli geologi bernama Marion King Hubbert telah membangunkan idea "peak oil" atau "puncak minyak".
Ia berlaku apabila pengeluaran minyak menjadi semakin merosot kerana sumber itu semakin terbatas. Pada tahun 1956, Hubbert telah meramalkan bahawa Amerika akan melalui fasa "puncak minyak" pada tahun 1970 dan ia menjadi kenyataan.
Pada tahun 1979 dan 1980, Hubbert sekali lagi meramalkan bahawa "puncak minyak" global akan berlaku pada tahun 2000 dan 2012.
Mengikut Kajian Statistik Tenaga Dunia yang dilakukan British Petroleum (BP), Bumi dianggarkan mempunyai kira-kira 115 tahun pengeluaran arang batu, 53 tahun untuk minyak dan 54 tahun untuk gas asli sebelum planet ini kehabisan sumber.
Antara faktor rumit dalam perkiraan ini adalah mengenai perubahan iklim yang tidak konsisten. Pemanasan global telah menyebabkan berlakunya peningkatan suhu global, pencairan ais di Artik dan Antarktika serta paras air laut semakin meningkat,
Keadaan ini akan memberi kesan kepada bekalan bahan bakar fosil. Berbillion-billion ringgit telah dibelanjakan untuk pembangunan kaedah pengekstrakan, penapisan yang lebih cekap dan pencarian rizab tenaga baru.
Sebenarnya, penemuan rizab minyak di seluruh dunia meningkat sejak 50 tahun yang lalu walaupun penggunaannya semakin tinggi. Ia adalah hasil daripada kaedah moden yang memudahkan penemuan bahan bakar ini.
Penyelidik telah mengambil masa lebih daripada 60 tahun untuk mengkaji jumlah bekalan bahan bakar fosil yang masih ada. Namun, persoalan bilakah sumber bahan bakar akan kehabisan mungkin tidak begitu tepat.
Apa yang kita perlu ditanya kepada diri sendiri adalah berapa banyakkah lagi sumber yang masih boleh digunakan?
Penggunaan bahan bakar fosil akan melepaskan semula sejumlah karbon ke atmosfera, sekaligus menjurus kepada Kesan Rumah Hijau (Greenhouse Effect). Keadaan ini menyebabkan haba terperangkap di atmosfera dan suhu global meningkat secara berperingkat.
Pencemaran juga akan menjadi lebih buruk dengan penggunaan bahan api berasaskan karbon kerana air laut akan menjadi lebih berasid dan udara menjadi semakin tidak sesuai untuk pernafasan. Ia akan menjurus kepada penyakit pernafasan dan memendekkan lagi jangka hayat seseorang.
Perjanjian PBB Paris merupakan inisiatif paling agresif serta disokong secara meluas dalam membendung pelepasan karbon global dan perubahan iklim. Ia ditubuhkan bagi mengekalkan suhu purata global tidak meningkat melebihi dua darjah sejak era pra Revolusi Perindustrian.
Pakar telah mengira anggaran karbon yang masih boleh digunakan iaitu kira-kira 250 billion tan daripada anggaran 750 billion - 1 trillion tan yang kini dirizabkan. Ini bermakna, manusia mesti menyimpan 65-80 peratus daripada rizab bahan bakar fosil bagi mengelak malapetaka iklim berlaku.
Adakah kita sudah benar-benar bersedia sekiranya sumber minyak dunia habis 53 tahun lagi iaitu pada tahun 2073?
Rujukan:
1. Bilakah sumber minyak bumi akan habis?