Kita tahu di stesen-stesen minyak di seluruh dunia, ada dua jenis minyak yang dijual atau tiga sekiranya stesen itu turut menawarkan jualan NGV. Satu daripadanya adalah minyak petrol yang digunakan majoriti kenderaan di seluruh dunia.

Satu lagi jenis adalah minyak diesel, yang biasanya digunakan oleh kenderaan-kenderaan berat seperti lori, bas dan juga trak berikutan harganya yang lebih murah, mampu menurunkan kos perjalanan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda terfikir kenapa minyak itu dinamakan atau dilabelkan sebagai 'diesel'? Mari kita baca kisah berkenaan Rudolf Diesel yang jasanya kepada masyarakat dunia sangatlah besar dalam menjana sistem pengangkutan di zaman moden.

Cita-cita sejak awal ingin menjadi jurutera

rudolf dieselpencipta enjin diesel

Rudolf Christian Karl Diesel lahir pada 18 Mac 1858, di Paris, Perancis. Walaupun begitu Rudolf adalah seorang individu berketurunan Jerman, kerana ayahnya Theodore dan ibunya Elise, adalah pendatang Bavaria yang berhijrah ke Paris sebelum beliau dilahirkan. Ayahnya datang ke Perancis pada tahun 1848 sebelum berkenalan dengan ibunya yang turut sama berstatus pendatang pada 1855. Tiga tahun kemudian Rudolf dilahirkan.

Ekoran perang di antara Perancis dan Jerman yang melanda, keluarga Rudolf dihalau keluar daripada Paris pada tahun 1870 ke London, England. Elise mengambil keputusan menghantar Rudolf yang ketika itu baru berusia 12 tahun kembali ke Augsburg, Jerman untuk tinggal bersama pakcik dan makciknya, Christoph dan Barbara.

Elise berharap agar Rudolf dapat belajar bahasa asal mereka dengan lebih baik seterusnya belajar dengan Christoph, yang ketika itu menjadi tenaga pengajar di Royal County Vocational College dalam bidang matematik.

Pada usia 14 tahun, Rudolf mengambil keputusan melatih dirinya menjadi seorang jurutera. Dia tamat persekolahan pada tahun 1873 ketika berusia 15 tahun dan masuk sekolah perindustrian Augsburg, sebelum menyambung pendidikan di Royal Bavarian Polytechnic of Munich. Bagaimanapun, langkah ini mendapat tentangan ibu bapanya yang mahu dia terus mencari pekerjaan tetapi Rudolf nekad mahu menambah ilmunya.

Membentuk idea baru semasa belajar

rudolf diesel gambar ketika tua

Semasa belajar di Munich, Rudolf mendapat bantuan pensyarahnya yang juga layak digelar mentornya, seorang saintis dan jurutera terkenal Jerman yang menemui cara melakukan penyejukan menggunakan mesin bernama Carl von Linde. Carl adalah individu yang menjadi pengasas kepada teknologi yang kita gunakan dalam peti sejuk sekarang.

Hasil daripada sokongan Carl serta sistem enjin kecil yang dibina beliau, Rudolf menyimpan hasrat mahu membina sebuah enjin yang mampu mencapai tahap efisien yang digelarkan dalam bidang kejuruteraan sebagai 'pusingan Carnot.'

Pusingan Carnot adalah teori di mana bahan bakar dalam enjin berupaya menghasilkan kuasa berdasarkan empat pusingan atau putaran enjin, dengan pertukaran suhu panas ke sejuk dengan sekata dan konsisten. Cita-cita Rudolf ketika itu adalah untuk menggantikan enjin berkuasa stim yang banyak digunakan, namun memerlukan bahan bakar yang banyak serta kurang efisien.

Idea dan kajiannya diterbitkan dalam bentuk penerbitan dan diberi tajuk 'Theory and Construction of a Rational Heat-engine to Replace the Steam Engine and The Combustion Engines Known Today' pada tahun 1886.

Dalam tulisannya, Rudolf berjaya membuktikan teori bagaimana ideanya mampu menggantikan enjin stim, seterusnya menambah baik teori yang dikeluarkan melalui Pusingan Carnot sendiri, yang menjadi asas idea awalnya. Ciptaan enjinnya yang pertama berjaya dipatenkan menggunakan namanya sendiri pada tahun 1893 sepatutnya menjadi titik tolak kejayaan Rudolf.

Rudolf mula mengorak langkah menguji enjin ciptaannya dari tahun 1893 sehinggalah tahun 1897, dengan bantuan pembina kenderaan dan kejuruteraan bernama MAN AG. Pasti anda pernah melihat lori atau bas bernama MAN kan? Itulah produk mereka.

Namun, langit tak selalu cerah, bak kata pepatah orang Melayu.

Mula berdepan tekanan jiwa

setem peringatan rudolf diesel

Dalam siri ujian pertamanya bersama MAN, enjin yang meletup hampir mengorbankan nyawa Rudolf. Enjin yang dihasilkan selepas itu turut sama mempunyai masalah, dengan saiz yang terlalu besar, berat yang terlalu tinggi serta didapati berisiko untuk beroperasi.

Berdepan tekanan ekoran pelabur yang mula mempersoalkan hasil kerja beliau, jurutera-jurutera lain mula ditugaskan untuk membantu Rudolf menambah baik ciptaan asal beliau. Ini menyebabkan Rudolf mula rasa lebih tertekan namun penambahbaikan pada enjin ciptaannya mula kelihatan.

Melakukan pembaharuan bagi mengelakkan kejadian sama berulang selepas tragedi pertama, Rudolf dan kumpulannya berjaya meningkatkan tahap keupayaan enjin diesel beliau ke tahap 26.2% pada tahun 1897, jauh lebih tinggi berbanding 10% yang dicapai enjin stim. Ini dianggap sebagai satu kejayaan pada Rudolf kerana usahanya selama ini mula membuahkan hasil.

Satu tahun berikutnya, penambahbaikan yang lebih terperinci pada enjin itu berjaya meningkatkan lagi tahap efisien enjin tersebut kepada tahap 75%. Bagaimanapun, keadaan hidup Rudolf mula menjunam. Dirinya semakin tidak terurus dan tahap kewangannya mula sempit selepas dia diisytiharkan bankrap, walaupun ciptaannya mula diterima ramai.

Enjin diselnya mula digunakan dalam enjin bot, sebagai generator kilang, keretapi dan bermacam peralatan melombong. Oleh kerana ciptaannya boleh menggunakan minyak petroleum atau minyak bio-kimia, enjin itu diterima baik penggiat-penggiat industri ketika itu.

Mati di tengah lautan

kapal di mana rudolf meninggal dunia

Rudolf hidup seperti biasa selepas itu, mula pulih daripada beban kewangan ekoran statusnya sebagai pemegang hakcipta enjin diesel. Pada 29 September 1913, Rudolf menaiki sebuah kapal dari Antwerp, Belgium secara sendirian untuk ke London bagi satu mesyuarat bersama wakil syaraikat-syarikat pembina enjin diesel.

Selesai makan malam, Rudolf kembali ke biliknya untuk tidur dan meminta dikejutkan pada jam 6.15 pagi. Itu adalah kali terakhir Rudolf dilihat masih hidup. Keesokannya, Rudolf hilang tanpa ada sebarang kesan yang meragukan dapat dilihat di kamarnya.

10 hari selepas itu, sebuah kapal menemui mayat seorang lelaki di lautan berdekatan dengan Norway. Oleh kerana keadaannya yang sudah reput, pekerja kapal itu hanya bertindak mengambil barangan peribadi yang ada pada mayat tersebut dan mengembalikan semula tubuh itu ke lautan. Barangan peribadi yang ditemui berjaya dikenalpasti oleh anak Rudolf, Eugen Diesel sebagai milik ayahnya.

Pendapat paling popular mengatakan Rudolf telah membunuh diri disebabkan tekanan perasaan, namun keluarga beliau menafikan sekeras-kerasnya pendapat ini.

Berikutan status Rudolf sebagai pemegang paten enjin diesel, wujud pelbagai teori bagi menyokong pendapat keluarga mendiang. Salah satu teori paling popular adalah berkenaan buku Rudolf yang mengkritik kebergantungan manusia dengan minyak dari sumber bumi, iaitu petroleum. Pendapat mengatakan Rudolf ketika itu sudah pun berjaya mencipta sejenis minyak berasaskan bahan kimia yang mampu menggantikan petrol serta berharga lebih murah, serta menamatkan monopoli syarikat minyak.

Ada pendapat mengatakan kematian Rudolf adalah disebabkan persetujuan beliau untuk bekerjasama dengan kerajaan Britain dalam memajukan lagi ciptaan asal beliau, yang menyebabkan kerajaan Jerman mengambil langkah membunuh beliau bagi mengelakkan perkara itu berlaku. Rudolf didakwa sudah bersetuju untuk membina enjin diesel bagi digunakan kapal selam kegunaan tentera British ketika itu.

Walau apa pun teori serta konspirasi yang ada, ciptaan Rudolf telah digunapakai serta ditambah baik tahun ke tahun sehinggakan ketika ini sudah wujud enjin diesel yang mampu menyaingi enjin petrol, bukan saja dari segi keupayaan malahan kebersihan.

Legasi yang terhasil daripada idea Rudolf semasa muda lagi, kini membantu terlalu ramai manusia menyelesaikan segala urusan kita.

Rujukan

German Culture




Hakcipta iluminasi.com (2017)