Bayangkan anda sedang bergegas ke tempat kerja tetapi indikator petrol kereta anda menyala. Risau takut tersekat di tengah jalan, anda ke stesen minyak untuk mengisi.

Malangnya sampai ke stesen minyak terdekat anda diberitahu minyak habis. Anda cari stesen lain. Sama. Anda bergerak lagi ke stesen ketiga - hasilnya serupa. Indikator mula menghampiri sifar. Anda perlu ke tempat kerja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang akan anda lakukan?

Itulah situasi yang sedang dihadapi penduduk United Kingdom ketika ini, disebabkan oleh beberapa perubahan dasar yang diperkenalkan kerajaan yang gagal ditangani dengan cermat.

Dasar baru UK memperlahankan edaran bekalan minyak 

krisis minyak uk united kingdom eu brexit

Di UK, masyarakat mereka sedang berdepan krisis berikutan perubahan dasar besar yang sedang dilaksanakan di wilayah tersebut.

Selepas dasar BREXIT mula diguna pakai di United Kingdom mengasingkan negara-negara di dalamnya daripada gabungan Kesatuan Eropah, berlaku pengurangan jumlah pemandu kenderaan berat secara drastik terus kekal bekerja di UK.

Sebelum pandemik Covid-19 lagi dianggarkan UK mengalami penurunan jumlah pemandu sehingga 60,000 ribu orang mengakibatkan banyak proses pembekalan ke negara-negara dalam kesatuan itu terjejas. Peraturan visa UK yang lebih ketat mengakibatkan ramai pemandu dari negara Kesatuan Eropah memilih keluar daripada UK - kembali ke negara asal atau negara Eropah lain bagi mencari rezeki.

Covid-19 memburukkan lagi keadaan meningkatkan defisit tenaga kerja pemandu yang sedang ditanggung UK pada tahap 100,000 pemandu 'heavy goods vehicle' atau HGV, paling ketara merencatkan proses pengedaran minyak ke stesen-stesen pam minyak.

Syarikat BP mengumumkan penutupan beberapa buah stesen minyak pada 24 September 2021 akibat ketiadaan bekalan.

Pengumuman itu yang terpaksa syarikat tersebut dibuat dikatakan berpunca daripada ketiadaan pemandu lori mencukupi, menyemarakkan sentimen bimbang dan takut sehingga mengakibatkan masalah ini jadi semakin meruncing sekarang.

Peraturan dasar cukai dan imigresen yang tidak lagi kompetitif

lori penghantaran bekalan minyak

Perubahan dasar imigresen UK baru memerlukan seseorang pekerja asing (bukan warga United Kingdom) mendapatkan visa bagi memasuki UK menjadi punca utama kenapa ratusan ribu pekerja memilih untuk keluar.

Selain keperluan visa, dasar cukai kerajaan yang tidak lagi setara menghalang syarikat-syarikat pengendali pengangkutan di UK terus menawarkan insentif yang mampu menarik minat warga bukan-UK kekal berkhidmat di sana.

Syarikat pengangkutan bukan  tempatan yang mahu menjalankan perniagaan di UK juga perlu menanggung beberapa kos tambahan yang sebelum ini tidak perlu ditanggung.

Faktor-faktor ini menyumbang kepada terjejasnya kadar pendapatan yang diterima pemandu, berbeza sebelum ini selain pemandu sendiri khasnya pemandu bukan warga UK terkesan disebabkan potongan cukai yang lebih tinggi. 

Selain minyak, industri lain yang turut terjejas berkaitan masalah ketiadaan pemandu ini adalah sektor kesihatan dan pertanian.

Walaupun lebih 8,000 stesen minyak di UK sedang mengalami ketiadaan atau surut bekalan, pemimpin kerajaan UK seperti Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menyifatkan apa yang berlaku sebenarnya berpunca daripada pembelian panik orang ramai yang tergesa-gesa berebut mendapatkan bekalan.

Jurucakap wakil kerajaan di UK juga direkodkan berkata masalah ketiadaan bekalan minyak di UK sebenarnya tidak mencerminkan situasi sebenar yang benar berlaku.

Walaupun menafikan wujud isu dan masalah besar apabila berkait dengan keperluan penting masyarakat ini, kerajaan UK dalam masa sama telahpun memperkenalkan beberapa langkah dan perubahan dasar yang dilihat pengkritik sebagai terdesak, mencerminkan betapa kritikalnya masalah ini.

Solusi jangka pendek untuk masalah jangka panjang 

stesen tiada bekalan minyak uk

Banyak pihak melihat masalah bekalan ini bukanlah sesuatu yang dapat diatasi dengan mudah, dalam tempoh singkat khasnya dalam usaha menggantikan jumlah pemandu yang kini tidak lagi mahu berkhidmat di UK.

Pengkritik berpendapat apa saja langkah yang diumumkan sekarang hanyalah solusi sementara disebabkan wujudnya masalah dasar yang harus diperbetulkan terlebih dahulu bagi memastikan masalah kekurangan pemandu yang mahu bekerja dapat diselesaikan untuk jangka masa panjang.

Kerajaan UK baru saja mengumumkan pengeluaran lebih 5,000 visa khas sementara pekerja asing bekerja sebagai pemandu kenderaan berat untuk membawa bekalan minyak dan makanan bagi menampung masalah ini.

Malangnya, tawaran visa hanya selama 4 bulan itu yang bakal berakhir bulan Disember tahun 2021 dilihat bukanlah satu insentif yang mampu menarik minat pekerja di Eropah untuk masuk atau kembali ke UK. 

Selain itu 150 orang anggota tentera yang layak serta berlesen untuk memandu kenderaan berat juga sedang dikerah bagi membantu melancarkan proses pembekalan minyak ke stesen-stesen tumpuan.

Dana pendidikan sebanyak £10 juta (RM56.5 juta) telah diperuntukkan bagi membentuk program latihan pelesenan intensif bagi melayakkan lebih 4,000 pemandu kenderaan berat menaiktaraf kelayakan lesen mereka secara percuma agar dapat mengisi kekosongan yang ada.

Kerajaan UK juga dilihat kekal bertindak tegas, enggan tunduk kepada tekanan ekonomi serantau luar UK yang didakwa sekian lama telah menyebabkan kadar pendapatan rakyat UK menjadi rendah, ekoran kebergantungan UK kepada pekerja asing.

Johnson dalam ucapan beliau menyeru agar seluruh warga UK bersatu  menangani masalah ini, meminta kerjasama syarikat-syarikat pengangkutan untuk menawarkan gaji yang lumayan kepada warga tempatan sebagai kaedah terbaik menurunkan kebergantungan UK kepada tenaga luar - dengan sokongan dana dan insentif dari kerajaan.

Tiada pemandu lori, industri akan terhenti

pemandu hgv uk kurang

Sebagai solusi jangka panjang, kerajaan UK berharap semakin ramai warga tempatan akan menampakkan minat untuk menceburi industri pengangkutan sebagai kerjaya pilihan mereka.

Dalam aspek positif, kekurangan pemandu tempatan yang berkelayakan ini telah pun membantu meningkatkan purata pendapatan pemandu HGV dilaporkan sudah mencecah £20 satu jam (RM113.25) pada bulan Julai tahun 2021 - membolehkan seorang pemandu HGV menerima gaji tahunan sekitar £50,000 (RM283,135) untuk kerja 55 jam seminggu.

Bagi meredakan krisis ketiadaan bekalan minyak, kerajaan UK meminta agar orang ramai tidak mengisi minyak penuh melebihi kadar biasa sekiranya tiada keperluan. Langkah itu sedikit sebanyak membantu dalam memastikan tiada stesen yang terputus bekalan sebelum lori pembekal dapat hadir menghantar tambahan.

Kita di Malaysia juga bolehlah mengambil iktibar daripada apa yang sedang berlaku di UK.

Hargailah usaha penat lelah pemandu kenderaan berat yang setiap hari ke sana sini memastikan bekalan keperluan kita berlangsung tanpa henti. Jika mereka memandu perlahan dan menghalang anda yang bergegas, ingatkan diri anda tanpa mereka, anda mungkin tidak dapat ke tempat kerja.

Itulah yang sedang berlaku di UK apabila keluarga terpaksa mencatu kegunaan minyak, bagi memastikan mereka boleh melunaskan tanggungjawab harian mereka.

Sekiranya situasi sama berlaku di Malaysia mengakibatkan bekalan minyak kita terjejas, apa yang penting adalah janganlah mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri.

Isi apa yang perlu dan teruskan hidup seperti biasa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)