Oleh pada 20 Jun 2019 kategori

Demam merupakan antara penyakit yang akan kerap melanda kita. Ada individu yang pasti kena demam sekurang-kurangnya sebulan sekali, dua bulan sekali sehingga menyebabkan demam itu sendiri sudah jadi seolah rutin pada dia.

Sekiranya dilihat daripada segi sains, demam sebenarnya adalah satu reaksi atau tindak balas sistem imunisasi badan melawan jangkitan bakteria atau virus. Walau bagaimanapun, ada pendapat di kalangan orang Muslim yang menyebutkan sakit demam ini juga sebenarnya satu cara penghapus dosa. Betul ke atau hanya sekadar pepatah kosong saja?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Betul. Memang dalam Islam, sakit demam disebutkan sebagai salah satu bentuk penghapus dosa kita, manusia.

Musibah sebagai pembersih diri

demam penebus dosa hadis islam

Secara logiknya dan apabila kita berfikir daripada perspektif sains semata-mata, memang kita tidak akan nampak wujudnya hubungan spiritualiti di antara musibah dengan status seseorang ketika dia berhadapan sakit.

Bagaimanapun, dek lengkapnya Islam - wujud hubungan yang amat jelas di antara penyakit atau musibah, dengan dosa seseorang Muslim. Perkara ini disebutkan secara am dalam sebuah hadis sahih yang berbunyi:

Daripada Abu Sa'id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya." (Hadith riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714)

Hadis ini secara luas menerangkan bahawa sebarang bentuk musibah yang kita hadapi walau sekecil atau sebesar mana sekalipun, merupakan musibah yang terkandung kebaikan kepada mana-mana diri seorang Muslim. Asalkan dia menghadapi musibah atau kesusahan itu dengan cara yang sabar dan memahami semua itu dugaan Allah swt.

Konsep penghapus dosa melalui musibah atau 'kifarah' ini, merupakan kaedah penyucian diri yang amat berharga dalam hidup seorang Muslim. Amat rugilah jika kita tidak menjadikan musibah yang kita hadapi sebagai satu bentuk ibadat.

Betul ke demam penghapus dosa?

demam influenza

Kita dah lihat hadis yang menyebutkan musibah secara amnya yang bertindak sebagai proses kifarah seseorang. Jadi persoalannya sekarang - ada tak bukti yang mengatakan sakit demam itu secara spesifiknya adalah proses penyucian diri? Memang ada.

Penyakit demam ada disebutkan dalam beberapa hadis secara terperinci. Ada hadis yang popular mengaitkan penyakit demam itu sama seperti merasai pengalaman di bakar neraka berbunyi;

“Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka. Jadi,sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim)

Wujud sebuah lagi hadis panjang yang menerangkan kaedah merawat demam yang berbunyi:

“Apabila salah seorang di antara kamu diserang demam dan demam itu adalah percikan api neraka, maka hendaklah dipadamkan demam itu dengan air sejuk dan hendaklah berendam di dalam sungai yang mengalir. Hendaklah dia mandi selepas fajar (subuh) dan sebelum terbit matahari. Hendaklah dia mengucapkan yang bermaksud: “Dengan nama-Mu ya Allah, sembuhkanlah penyakit hamba -Mu dan benarkan bimbingan Rasul-Mu.” (Riwayat at-Tirmizi).

Demam adalah bahang neraka?

doorway to hell

Walaupun status hadis yang mengaitkan demam dengan bahang api neraka di atas adalah sahih, wujud perbincangan yang besar dalam memahami apakah yang dimaksudkan dengan 'punca daripada bahang api neraka' seperti yang disebutkan.

Pendapat pertama mengambil bahang api neraka itu sebagai satu metafora atau konsep yang patut dijadikan iktibar dan pengajaran bagi individu yang sakit. Pendapat kedua pula memang menyamakan bahang panas yang dirasai ketika demam itu, umpama bahang panas neraka dalam skala yang lebih kecil.

Wujud juga kisah berkaitan demam yang berlaku semasa hayat Rasulullah saw. Salah satu kisah popular yang ada adalah kisah yang menyebut tentang seorang wanita bernama Ummu Al-Musayyib yang menggigil demam semasa bertemu Rasulullah saw. Apabila ditanyakan, Ummu menjawab dia demam kerana tidak mendapat keberkatan Allah swt.

Ekoran daripada itu, Rasulullah saw. mengingatkan Ummu agar tidak mencela penyakit demam, kerana demam dapat menghapuskan dosa anak-anak Adam as. ibarat api yang menghilangkan karat pada besi.

Begitulah serba sedikit penerangan bagaimana agama Islam melihat penyakit demam, salah satu penyakit paling kerap berlaku di seluruh dunia. Jelaslah bagi umat Islam, demam harus dilihat daripada dua perspektif iaitu daripada segi kepercayaan seperti yang telah dijelaskan di atas dan juga daripada perspektif sains yang berjaya menerangkan apa yang berlaku pada tubuh kita semasa demam.

Moga tulisan ini mampu mengukuhkan pandangan anda bahawa demam adalah penghapus dosa, bukan hanya sakit dan kesusahan semata-mata.

Rujukan

Konsep Sehat Berdasarkan Hadits dan Medits

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia




Hakcipta iluminasi.com (2017)