Bunyi titisan jatuh menandakan kedatangan hujan, merupakan fenomena semula jadi yang kerap berlaku di negara seperti kita yang beriklim khatulistiwa.
Hujan membawa aspek positif dan aspek negatif serta rahmat Tuhan. Ini sesuatu yang kita semua akui ada. Dalam masa yang sama, fenomena hujan juga mempunyai mitos yang tersebar luas: idea membuatkan kita sakit.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun kesejukan hujan menyegarkan, kepercayaan bahawa titis hujan membawa patogen atau bendasing halus adalah salah faham yang lazim berlaku. Kami garapkan artikel ini untuk cuba membongkar mitos yang telah lama disebarkan turun temurun.
Adakah titisan hujan mengandungi virus?
Titisan hujan yang jatuh dari langit, bukanlah pembawa virus.
Ini kerana semua patogen yang bertanggungjawab menyebabkan penyakit seperti selsema atau influenza disebarkan melalui sentuhan langsung dengan individu yang dijangkiti atau dengan menyentuh permukaan yang tercemar.
Idea bahawa titis hujan boleh mengandungi virus ini adalah tidak berasas apatah lagi selepas kita menempuh zaman Covid-19, di mana kesedaran masyarakat tentang jangkitan meningkat ke tahap lebih tinggi.
Walau bagaimanapun, kita juga tidak boleh menafikan faktor-faktor seperti seperti suhu sejuk dan kelembapan, mempengaruhi ketersediaan dan penularan virus dalam alam sekitar.
Apa Yang Menyebabkan Kita Sakit Selepas Hujan?
Hubungan antara keadaan basah semasa berlangsungnya hujan dan jatuh sakit, tidak berkait tetapi seperti kami katakan ada faktor yang terjadi akibat hujan menyumbang kepada akibat tersebut.
Apabila badan kita terdedah kepada keadaan sejuk dan lembap akibat hujan, suhu badan kita akan mengalami proses hipotermia yang mengakibatkan suhu badan kita menurun.
Hipotermia ini walaupun ringan, memberikan kesan ke atas tindakbalas sistem imun tubuh kita. Satu kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa penurunan suhu tisu hidung sebanyak 5°C boleh mengurangkan respons imun hampir separuh, menjadikan badan kita kurang kuat terhadap jangkitan.
Virus sendiri secara sifatnya membiak dengan baik dalam keadaan persekitaran kelembapan rendah semasa musim hujan, meningkatkan kemungkinan terjadinya penularan.
Adakah Cara Tidak Jatuh Sakit Ketika Musim Hujan?
Mencegah penyakit semasa musim hujan merupakan satu perkara yang sering diberikan perhatian tinggi oleh ibu bapa, kerana kanak-kanak memang mudah terkena jangkitan.
Ada beberapa tips perlu kita amalkan untuk memastikan kita kekal hangat dan kering yang disokong secara saintifik untuk mengurangkan risiko jatuh sakit:
1. Pakai pakaian yang sesuai:
Memakai lapisan pakaian yang panas dapat membantu mengekalkan suhu badan dan mencegah pelemahan sistem imun.
2. Pastikan kita kering:
Menggunakan payung dan pakaian hujan boleh melindungi kita daripada basah kuyup, memastikan kadar penurunan suhu badan tidak berlaku pada kadar tinggi.
3. Jaga kebersihan tangan:
Pencucian tangan yang kerap dan menyeluruh mampu mencegah penyebaran virus dan bakteria.
4. Menguatkan sistem pertahanan badan:
Amalkan pengambilan makanan yang kaya dengan Vitamin C dan nutrien lain, seperti minyak ikan bagi menguatkan sistem imun.
5. Elakkan Tempat Sesak:
Elakkan diri kita daripada perlu berada di kawasan sesak, sekaligus mengurangkan risiko penularan virus.
Kesimpulannya?
Hujan bukanlah pembawa penyakit. Itu sesuatu yang perlu kita fahami dan betulkan pemahaman kita.Hujan hanyalah fenomena semulajadi yang berlaku, membantu kitaran alam sekitar.
Perbuatan dan tindakan kita dalam menangani kesan yang timbul akibat hujan itulah yang menentukan tahap kesihatan kita semasa musim hujan.
Dengan memahami punca sebenar di sebalik selsema, demam dan penyakit lain yang membolehkan kita mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang sesuai, bolehlah kita berjalan kaki semasa hujan tanpa bimbang akan jatuh sakit selepas itu.
Best tau jalan kaki masa hujan.