Isu berkaitan kumpulan penunggang basikal seringkali menimbulkan polemik masyarakat, bukan saja di negara kita malahan di seluruh dunia.

Kategori penunggang basikal yang kurang jelas di mana kedudukannya, membuatkan perbincangan berkenaan peraturan yang perlu mereka ikuti sama ada mereka adalah sebahagian daripada 'pejalan kaki' atau perlu dikira sebagai kenderaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Disebabkan oleh kekeliruan ini, kumpulan penunggang basikal sendiri seringkali mengamalkan cara kayuhan yang tunggang langgang, membahayakan nyawa sendiri serta keselamatan orang lain. Berikut adalah lima kaedah yang sering menyusahkan orang ramai seringkali berlaku.

1. Tak ikut peraturan jalan raya

penunggang basikal langgar lampu merah

Sudah acapkali penulis menghadapi situasi di mana penunggang basikal dalam bentuk kumpulan memilih untuk melanggar lampu merah, mungkin disebabkan kesukaran untuk mereka berhenti.

Bagi penunggang 'road bike' yang baru belajar menggunakan pengunci kaki di pedal pengayuh, wujud kesukaran untuk mereka berhenti dengan sempurna disebabkan tinggi kemungkinan untuk mereka jatuh; sekiranya mereka gagal melepaskan kaki yang dikunci.

Jadi ada kemungkinan kumpulan penunggang ini memilih untuk meredah saja lampu merah kerana bimbangkan ada kawan mereka jatuh dalam keadaan memalukan, apatah lagi bila sut yang dipakai serta basikal yang dikayuh - harganya tahap kayangan.

Kami tidak nampak ada sebab lain kenapa ada keperluan untuk kumpulan penunggang perlu untuk tidak mengikut peraturan jalan raya, melainkan memang kumpulan itu sengaja mencari nahas mahu merasai impak dilanggar.

2. Memperlahankan trafik

pengguna basikal bahayakan keselamatan

Bagi penduduk kawasan pinggir bandar seperti penulis yang kawasannya penuh dengan jalan-jalan lama, setiap hujung minggu pasti akan ada ramai kumpulan penunggang yang hadir ke situ bagi menjalankan aktiviti mereka.

Malangnya kehadiran mereka ini dalam kumpulan kecil dan besar mula menyebabkan aliran trafik terganggu disebabkan oleh saiz lorong yang agak sempit, menyukarkan orang ramai memintas mereka.

Tidak seronok sebenarnya memandu dalam kelajuan 20 ke 30km/j terpaksa membuntuti kumpulan penunggang sejauh beberapa kilometer.

Yang sangat menyukarkan adalah apabila ada kumpulan memilih untuk mengayuh rapat-rapat dalam jumlah besar, mengakibatkan pemandu kenderaan lain terpaksa menggunakan jarak memotong yang panjang serta berisiko tinggi hanya untuk memintas kumpulan penunggang itu.

Bagi pengguna jalan raya dua lorong dua hala yang cukup digemari sesetengah kumpulan penunggang, risiko yang dibawa oleh kumpulan ini setiap hujung minggu harus diakui menyusahkan.

3. Gemar berhenti di mana saja suka

puluhan basikal parkir di kawasan hentian bas

Bercakap tentang menyusahkan, kumpulan yang paling terkesan dengan trend hobi berbasikal setakat apa yang penulis nampak - adalah penduduk kawasan kampung sendiri.

Kehadiran kumpulan penunggang yang rata-ratanya memilih cara akses paling mudah setiap kali hadir mengakibatkan wujud beberapa lokasi 'pilihan' djadikan kawasan berkumpul serta bertemu dan dijadikan kawasan parkir kenderaan, yang membawa mereka dan basikal mereka ke situ.

Sudahlah begitu, semasa menunggang pun ada kalanya wujud kumpulan penunggang yang gemar berhenti di tepi jalan untuk membolehkan mereka berkumpul semula menunggu pengayuh yang ketinggalan. Ada beberapa poin yang dirancang dijadikan lokasi berhenti ini dan bukan semuanya sesuai.

Keadaan jalan yang sempit amat tidak sesuai untuk anda berkumpul di tepi jalan beramai-ramai, apatah lagi jalan-jalan kawasan kampung ni.

4. 'Park' basikal merata-rata

basikal parkir merata rata

Sejak dahulu, isu penunggang motorsikal nak juga parkir motorsikal mereka di kawasan letak kereta dah berlaku.

Sekarang ini situasi hampir serupa berulang dengan kehadiran penunggang basikal yang turut sama mula meletakkan basikal mereka di kawasan tidak sepatutnya, mungkin kerana bimbang basikal dicuri.

Penulis pernah terserempak dengan beberapa orang penunggang yang memilih untuk meletakkan basikal mereka betul-betul di hadapan pintu masuk kedai disebabkan rasa bimbang itu.

Basikal mereka pula perlu disandarkan ke dinding kedai hanya kerana basikal mereka tidak dipasangkan tongkat.

5. Mampu merayap ke tempat tidak sepatutnya

penunggang basikal masuk ke kawasan tidak sepatutnya

Gambar hiasan kredit : MyMetro

Berbeza dengan kenderaan berenjin lain, basikal memberikan penunggangnya akses kepada kawasan yang terbuka kepada pejalan kaki. Kemudahan itu malangnya mula disalah guna segelintir pengayuh, apabila mereka mula masuk ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya diakses membabi buta.

Sudah tular berkenaan perangai sekumpulan pengayuh yang sengaja mendaki sebuah bulatan di kawasan Shah Alam hanya untuk mendapatkan peluang bergambar.

Begitulah juga yang berlaku di sebuah lebuh raya kerap dilalui penulis satu ketika dahulu, apabila ada sebuah bukit kerap menjadi lokasi berehat pengayuh sambil menyaksikan pemandangan luas yang cantik untuk bergambar.

Hanya selepas kempen pasukan polis serta usaha pihak pengendali lebuh raya menahan pengayuh-pengayuh ini daripada masuk ke dalam lebuh raya itu, barulah kumpulan-kumpulan ini mula hilang daripada pandangan tidak lagi membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Sebenarnya, ada banyak kawasan-kawasan khas untuk anda menjalankan hobi berbasikal anda yang layak dikatakan selamat, serta tidak mengganggu orang lain.

Artikel ini bukanlah ditulis untuk menyerang semua penunggang basikal sebaliknya hanya ingin menegur segelintir mereka, yang mungkin terlepas pandang isu-isu ini.

Seandainya anda selama ini gemar mengkritik cara pemanduan motorsikal rakyat Malaysia, anda harus sedar risiko yang dibawa pengayuh basikal atas jalan raya berkali-kali ganda tingginya apatah lagi dilaluan sempit yang perlu kita kongsi bersama.

Hendak tak hendak perbincangan berkenaan polemik ini akan berterusan, jadi penulis ingin bertanya semula soalan utama awal tadi; penunggang basikal mahu dikategorikan sebagai pejalan kaki atau sebuah kenderaan?

Jika mahu diambil serius sebagai kenderaan, cara pengendalian basikal juga perlulah mula mencerminkan pandangan tersebut.

Rujukan

Is a Bicycle Considered a Car or a Pedestrian?




Hakcipta iluminasi.com (2017)